Takaful dan Insurans Konvensional

Kita sebagai umat islam disarankan untuk mengambil Takaful yang berlandaskan Islam agar mematuhi syariat agama Islam. Insuran konvensional telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga tidak boleh diiktiraf pampasan yang diterima darinya. Rujuk Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi.

Namun, masih ramai yang keliru untuk membezakan di antara insurans konvensional dan takaful ini.

Berikut adalah penerangan daripada perkongsian Tuan Ariff Shah berkenaan takaful dan insurans konvensional.

Apa beza ketara di antara kedua-duanya?

Kalau nak cerita pendek dia, takaful ni adalah produk yang fungsinya sama macam insurans konvensional. Cuma ia lebih terjamin kesuciannya.

Manakala insuran konvensional pula tak terjamin kesuciannya. Kalau nak cerita panjang, teruskan pembacaan.

Apa yang anda patut tahu tentang insurans konvensional?

Konsep yang digunakan dalam produk insurans konvensional ni mudah dan boleh diterangkan dalam beberapa poin di bawah ini:

1) Pemegang polisi bayar premium kepada syarikat insurans. Semua duit dipegang oleh syarikat insurans.

2) Syarikat insurans akan laburkan duit kutipan premium ni tadi ke mana sahaja yang mereka rasakan sesuai. Contohnya melabur dalam saham tidak patuh syariah seperti Genting Berhad atau Magnum Berhad (perjudian).

 

Objektif adalah untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Bila keuntungan diutamakan, status pelaburan sama ada halal atau tak akan ditolak tepi.

3) Lebihan keuntungan pelaburan tadi adalah kepunyaan syarikat insurans.

4) Syarikat insurans akan membayar tuntutan daripada pemegang polisi berdasarkan pelan yang diambil.

Apa yang anda patut tahu tentang takaful?

Dalam konsep takaful, pemegang sijil menggunakan konsep menyumbang kepada tabung takaful.

Dana dalam tabung takaful kemudiannya akan digunakan untuk menyumbang kepada ahli takaful lain yang memerlukan.

Secara asasnya, konsep takaful lebih kepada konsep tolong-menolong antara sesama penyumbang tabung takaful.

Selain itu, takaful lebih mementingkan konsep keadilan dan kesamarataan, di mana takaful tak mengambil semua pendapatan daripada pelaburan.

Ini adalah konsep takaful:

1) Pemegang polisi menyumbang ke dalam tabung takaful. Sebahagian daripada bayaran sumbangan bulanan dibayar kepada syarikat pengendali tabung takaful dan bayaran ini dikenali sebagai fi wakalah.

2) Bayaran fi wakalah adalah jelas dan nyata, dan tak ada bayaran lain yang tersembunyi. Dalam dokumen polisi, akan ditunjukkan berapa fi wakalah yang kita bayar sehingga tempoh matang polisi.

3) Sumbangan yang terkumpul di dalam tabung takaful akan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah. Walaupun matlamat pelaburan ini adalah untuk mendapatkan pulangan yang maksimum, status pelaburan sentiasa dipantau oleh panel syariah yang dilantik oleh syarikat pengendali takaful.

4) Pulangan daripada pelaburan tabung takaful dipulangkan semula ke dalam tabung ini.

5) Mana-mana lebihan daripada tabung takaful akan diagihkan semula kepada pemegang polisi.

6) Mana-mana tuntutan perubatan pemegang polisi akan dibayar menggunakan dana yang dikumpulkan dalam tabung takaful tadi. Pembayaran tuntutan adalah berdasarkan konsep derma / tolong-menolong.

Kelebihan konsep takaful terletak pada saiz dananya. Syarikat takaful yang popular, sudah lama bertapak dan dikenali ramai mempunyai dana takaful yang besar.

Bermakna, kalau apa-apa yang buruk berlaku, tabung takaful mampu bertahan lama.

Selain daripada itu, syarikat yang sudah lama bertapak mempunyai portfolio dana yang teguh, dan pulangan dana pelaburan yang lebih baik berbanding syarikat yang lebih muda.

Kenapa pelan takaful tak sehebat pelan insurans konvensional?

Kalau dibandingkan manfaat takaful dengan insurans konvensional, kita akan nampak sedikit perbezaan pada plan takaful. Ini memang wujud kat mana-mana sahaja syarikat takaful yang mempunyai produk insurans konvensional.

Hal ini adalah kerana produk takaful masih baru, kira-kira 10 tahun sahaja sejak ia mula dilancarkan dulu. Daripada segi pembangunan dana dalam tabung takaful, ia masih lagi di peringkat awal.

Untuk insurans konvensional, dana insurans adalah kepunyaan syarikat dan sudah lama bertapak biasanya mempunyai aset yang lebih banyak. Majoriti syarikat insurans konvensional sudah bertapak berpuluh tahun lamanya.

Adalah tanggungjawab kita untuk menyokong produk takaful supaya produk ini terus berkekalan sehingga ke generasi seterusnya.

Mungkin anda atau saya tak dapat rasa manfaat yang lebih baik atau setara berbanding insurans konvensional.

Tapi siapa tahu. Satu hari nanti, mungkin generasi kita yang seterusnya akan dapat merasainya.

Kenapa kita patut utamakan pelan takaful dulu daripada insurans konvensional?

Sebagai orang Islam, diwajibkan untuk kita mencari rezeki daripada sumber yang halal.

Disebabkan segala tuntutan daripada pelan insurans konvensional datang daripada dana syarikat insurans (yang mendapat pendapatan daripada sumber yang tak patuh syariah), secara automatiknya ia dianggap mendapat manfaat daripada sumber yang tak patuh syariah.

Bukankah kita dah menyusahkan diri bila ambil pelan insurans konvensional?

Bayangkan, kita berusaha setiap hari mencari rezeki yang halal dan tak buat apa-apa yang melanggar syariat untuk mencari pendapatan.

Tapi bila sakit, manfaat perubatan yang kita dapat datang daripada sumber yang kita cuba elakkan ini.

Lebih teruk lagi, sekiranya kita meninggal dunia nanti, pampasan nyawa datang daripada sumber yang tak diberkati.

Dan pampasan inilah yang akan digunakan oleh anak-anak kita untuk teruskan hidup. Adakah kita tak rasa bersalah ke dengan hakikat ini?

Sekiranya kita masih memegang polisi insurans konvensional, bertukarlah ke polisi takaful sekarang.

Sumber Rujukan: Gila Hartanah

Nama syarikat kadang-kadang akan membuatkan kita terkeliru. Misalnya Great Eastern Takaful Bhd dan Great Eastern Life Assurance Bhd merupakan dua entiti yang berbeza. AIA Public Takaful Bhd dengan AIA Bhd juga adalah entiti berbeza.

Senarai penuh operator Takaful boleh dilihat di laman web Bank Negara Malaysia.

AIA PUBLIC Takaful Bhd
AmMetLife Takaful Berhad
Etiqa Family Takaful Berhad
Etiqa General Takaful Berhad
Great Eastern Takaful Berhad
Hong Leong MSIG Takaful Berhad
Prudential BSN Takaful Berhad
Sun Life Malaysia Takaful Berhad
Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad
Takaful Ikhlas Family Berhad
Takaful Ikhlas General Berhad
Zurich General Takaful Malaysia Berhad
Zurich Takaful Malaysia Berhad

Dual-license yang dipraktikkan di Malaysia hari ini sememangnya banyak menimbulkan kekeliruan. Semoga akan ada penambahbaikan di masa akan datang.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Kekal Momentum Stabil Sebagai Rangkaian Keselamatan Sosial Utama

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Industri Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan sepanjang tahun 2025 menerusi prestasi yang stabil, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat. Mencerminkan trajektori pasca-pandemik yang semakin stabil dan asas industri yang jauh lebih besar, sektor ini berkembang sebanyak 4.73% pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion

Didorong oleh prestasi stabil ini, pengendali Takaful secara kolektif telah mengagihkan sebanyak RM10.61 bilion dalam bentuk manfaat kepada pemegang sijil pada 2025. Langkah ini memperkukuh semangat teras Takaful sebagai perlindungan yang diyakini ketika rakyat Malaysia amat memerlukannya. 

Segmen Takaful Keluarga terus mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar. Jumlah ini berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranannya yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial. 

Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran. 

Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama (shared value) menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti. Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025. Usaha ini menzahirkan prinsip teras Takaful yang berasaskan kerjasama mutlak, kesaksamaan serta tanggungjawab bersama.   

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan meraih manfaat daripada kelebihan unik perlindungan Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) terus mempergiat inisiatif jangkauan di seluruh negara di bawah agenda strategik Takaful4All dan Hijrah27. Menerusi program celik kewangan, aktiviti di kampus, kerjasama strategik, dan libat urus komuniti, usaha ini berjaya mendekati lebih 120,000 rakyat Malaysia merangkumi komuniti di bandar, luar bandar dan terpinggir. Langkah ini secara langsung memupuk daya tahan kewangan yang lebih kukuh serta meluaskan akses kepada perlindungan Takaful. 

Takaful Keluarga

Jumlah bayaran yang lebih besar pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan kecil dalam bilangan sijil Takaful Keluarga berkuat kuasa. Sejumlah 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu telah dikeluarkan sepanjang tahun, membawa kepada jumlah keseluruhan 6.74 juta sijil berkuat kuasa selepas mengambil kira faktor matang semula jadi, tamat tempoh, penggantian dan penamatan sijil. Berbanding 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang dicatatkan pada 2024, kadar pertumbuhan ini menunjukkan pasaran perolehan perniagaan baharu yang lebih stabil kesan daripada persekitaran pasaran yang terus berkembang.   

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi mendatar namun stabil pada RM9.74 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM10.00 juta berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, sumbangan perniagaan berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun 2024, sebahagian besarnya disokong oleh produk produk jenis simpanan dalam segmen Perniagaan Takaful Keluarga Biasa Individu. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas, dengan sebahagian sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44% berbanding 39.16% pada tahun 2024.  

Prestasi mampan segmen ini menunjukkan kualiti sumbangan yang semakin kukuh serta keyakinan tinggi pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh Syariah. Lonjakan 15.34% bagi purata saiz kes kepada RM11,300 daripada RM9,797 membuktikan bahawa program jangkauan industri sebelum ini telah mula membuahkan hasil dalam bentuk komitmen perlindungan jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi dan bukan sekadar bersandarkan pertumbuhan kuantiti. 

Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha bersama industri untuk mendekati rakyat Malaysia. Ini membolehkan kadar penembusan Takaful Keluarga kekal stabil pada paras 19.63% pada tahun 2025 (2024: 19.57%), meskipun jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). Prestasi yang stabil ini menunjukkan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap Takaful sebagai jaringan keselamatan sosial, hasil sokongan program jangkauan serta usaha kesedaran. Selain itu, penyediaan produk Mikrotakaful yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh komuniti oleh komuniti yang kurang mendapat liputan turut menyumbang kepada kestabilan kadar penembusan ini. 

Usaha industri juga mendorong lebih ramai peserta mengekalkan sijil mereka, yang menghasilkan kadar luput sijil lebih rendah biarpun dalam persekitaran inflasi. Peningkatan bilangan sijil berkuat kuasa (2025: 6.74 juta, 2024: 6.69 juta) jelas membuktikan perkembangan positif ini. 

Takaful Am

Prestasi positif segmen Takaful Am berterusan bagi tahun 2025, dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion daripada RM5.91 bilion pada tahun 2024. 

Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen ini dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69.00% daripada sumbangan bertulis kasar (RM4.59 bilion). Angka ini mencatatkan pengembangan sebanyak 12.57%, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.  

Sehubungan itu, tuntutan kenderaan membentuk peratusan terbesar bagi pembayaran tuntutan Takaful Am. Pengendali Takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97% daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan.  

Perniagaan Takaful bukan kenderaan turut berkembang pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 11.95%. Takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dlaam sumbangan bertulis kasar, iaitu kenaikan 10.43% berbanding tahun 2024, manakala Takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.93%. Prestasi positif segmen bukan kenderaan ini didorong oleh pengenalan produk khusus bagi menyokong PKS, selaras dengan komitmen industri dalam menghasilkan impak sosial, memperkasakan pembangunan

PKS, serta menyediakan penyelesaian inovatif demi memelihara ketahanan ekonomi. 

Bagi saluran pengedaran, saluran agensi terus mendominasi pasaran pada 2025 dengan pegangan 61.50% daripada sumbangan bertulis (2024: 62.67%). Ini diikuti oleh Bancatakaful sebagai penyumbang kedua terbesar sebanyak 13.37% (2024: 13.63%). Sementara itu, saluran perniagaan langsung serta platform dalam talian terus berkembang secara berfasa, masing-masing merekodkan 8.45% dan 6.73% (2024: 7.64% dan 6.58%).

Pengerusi Interim MTA, Encik Borhanudin Samsudin berkata, “Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian Takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai. Memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks. Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.”

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai. Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60% daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025. Melangkah ke hadapan, perluasan program seperti Program Perlindungan iTEKAD bakal memainkan peranan kritikal bagi membantu golongan rentan, ini termasuk usahawan mikro dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat.”

“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27. Tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek Kesedaran Takaful serta Pembangunan Bakat. Usaha ini akan dipacu dengan sokongan kuat melalui kerjasama baharu kami bersama Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Asian Institute of Insurance (AII), dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF),” tambah beliau. 

Melangkah ke hadapan, MTA telah menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026: memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas perlaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu perlaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran. Bagi menyokong keutamaan ini, MTA akan memberi fokus kepada pengukuhan rangka kerja industri dan keselarasan regulasi, memperbanyak kolaborasi strategik di peringkat serantau mahupun global, serta meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja agensi. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan daya tahan, daya saing, dan keupayaan industri dalam memenuhi keperluan peserta yang sentiasa berubah dalam persekitaran yang semakin kompleks.  “Tatkala berdepan dengan fasa yang penuh cabaran, jaringan keselamatan sosial yang kukuh menjadi satu keperluan mutlak dan bukannya sekadar pilihan. Di sebalik landskap pasaran yang lebih mengecil tahun ini, komitmen berterusan peserta untuk mengekalkan sijil mereka akan menjadi asas utama yang membolehkan pengendali Takaful menunaikan janji perlindungan bersama secara konsisten,” tambah Encik Borhanudin.