Actiforce Bangunkan Kilang Pengeluaran RM50 Juta Di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 5 Mac (Bernama) — Actiforce Mechatronics Technology Sdn Bhd (Actiforce) yang juga pengilang perabot Netherlands, membangunkan kilang pengeluaran serba moden bernilai RM50 juta di Pulau Pinang.

Actiforce yang diambil alih oleh Hettich Holding GmbH & Co oHG, syarikat berpangkalan di Jerman, pada 2021, telah beroperasi sejak 2004 di Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Hettich Michael Lehmkul berkata kilang baharu itu berperanan sebagai hab bagi penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran dan pengedaran kelengkapan perabot bagi memenuhi pasaran antarabangsa seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

“Actiforce tidak hanya memasuki satu episod baharu tetapi mara ke arah masa depan inovasi dan kecemerlangan.

“Sebagai satu entiti global, Hettich sentiasa mencari peluang bagi pertumbuhan serta pengembangan dan kami melihat potensi yang besar dalam rantau yang pesat dan dinamik ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian kilang baharu berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yew.

Lehmkul berkata kilang baharu yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dan berkeluasan kira-kira 0.12 hektar, dijangka menjana perolehan hasil sebanyak RM148 juta bagi 2024 dengan 99 peratus daripadanya menyumbang kepada pasaran eksport.

Sementara itu, Pengarah Operasi Actiforce Koen Davina berkata kilang berkenaan merupakan yang kedua di Pulau Pinang dengan kedua-duanya berperanan untuk saling melengkapi.

“Kilang baharu itu menyaksikan kami menyepadukan aspek pengeluaran logam yang kemudiannya dibawa untuk ke kilang lain bagi tujuan pemasangan,” katanya.

Dalam ucapannya, Chow berkata kilang baharu itu membuktikan ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang mantap selain menyuntik keyakinan kepada penggiat industri serta peluang berkembang ke tahap baharu.

Beliau juga menyifatkan pelaburan dari Netherlands memberi sumbangan besar kepada negeri itu yang mencecah RM26.6 bilion pada 2023, sekali gus membuktikan kepentingan peranan syarikat dari negara berkenaan sebagai pelabur utama sektor berkaitan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

WE2025 Umum Berjaya Food Sebagai Penaja Korporat

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) diumumkan sebagai penaja korporat bagi Persidangan Kepimpinan WE2025: Future in Motion, yang akan diadakan pada 25-26 Nov, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu, turut diumumkan rakan kongsi strategik baharu persidangan termasuk Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Polity, Peniagawati, Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China, Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antarabangsa Wanita (WISTA Malaysia), WEConnect International serta rakan media Ekonomi Rakyat.

Pengarah Projek WE2025 Michelle Lau berkata kisah BFood sentiasa berkaitan dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman sambil menyokong inisiatif yang mewujudkan penanda aras baharu bagi tanggungjawab korporat.

“Ia menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memberi inspirasi kepada orang lain dan mencetuskan perkongsian yang melangkaui sempadan mana-mana kedai atau pejabat apabila mereka menerapkan unsur keterangkuman dalam nilai utama mereka.

“Atas sebab itulah, perkongsian mereka dengan WE2025 sebagai entiti korporat amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman penajaan, rakan kongsi dan inisiatif komuniti WE2025 di sini hari ini.

WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia (Qube Integrated), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Dalam satu kenyataan, ia berkata acara julung kali itu menyasarkan untuk menarik 10,000 penyertaan dan menyelaraskan potensi pelaburan serta perdagangan berjumlah RM100 juta.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 39.5 peratus daripada ekonomi negara, dengan usahawan wanita memainkan peranan yang semakin penting iaitu setakat 2022 lebih 20 peratus daripada perniagaan dimiliki oleh golongan wanita.

“Dalam konteks ini, WE2025 menjadi platform penting untuk menyediakan PKS dengan pendedahan peringkat kebangsaan sambil melengkapkan usahawan wanita dengan bimbingan dan pandangan bersesuaian daripada pemimpin industri yang berkongsi kisah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Qube Integrated Jessie Tan berkata WE2025 mempunyai potensi dan berpeluang menjadi titik perubahan penting bagi wanita yang terlibat dalam perdagangan dan kepimpinan, kerana ia membolehkan perniagaan, pembuat dasar dan media bekerjasama bagi mewujudkan peluang dan menyuarakan pandangan yang penting.

Beliau berkata persidangan itu akan menjadi acara penting bagi keusahawanan dan kepimpinan wanita di Malaysia – yang terbesar seumpamanya-kerana ia dapat memacu hasil bagi memupuk perkongsian rentas sempadan dan antara industri, mengukuhkan kepimpinan dan mempamerkan inovasi yang inklusif.

“Dengan gabungan suara dan peluang yang akan dipamerkan, kami yakin WE2025 boleh membuktikan bahawa ia penting dalam membentuk masa depan dan gerakan perdagangan, kepimpinan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.

WE2025 menampilkan empat komponen utama iaitu Ekspo Perdagangan dan Pelaburan WE2025 yang akan melibatkan lebih 100 pempamer, dan Persidangan Kepimpinan WE2025 yang mengumpulkan 1,000 delegasi dari pelbagai sektor.

Selain itu, ia turut melibatkan WE dalam Dialog dengan lebih 10 acara utama dan WE dalam Pertukaran, yang menawarkan padanan perniagaan terpilih bagi memupuk perkongsian dan perdagangan.
–BERNAMA