Kadar Inflasi 2024 Boleh Diurus – Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Walaupun inflasi diunjur meningkat sedikit pada 2024, namun kadar itu masih terkawal dan boleh diuruskan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.

“Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

“Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus,” tambah Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis bertarikh 5 Mac yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai inisiatif untuk menghadapi krisis inflasi berikutan MIDF Research menjangkakan inflasi Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.

Kementerian Ekonomi menjelaskan kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

“Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat,” tambahnya.

Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara seperti meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu. 

Kerajaan turut meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.

— BERNAMA

TAG: Inflasi, MIDF Research, STR, Tinjauan Ekonomi 2024

Previous ArticleNext Article

Harga Keluli, Simen Dari Bulan Ke Bulan Kekal Tidak Berubah Pada Mac

KUALA LUMPUR, 4 April  (Bernama) — Indeks harga seunit bagi keluli dan simen dari bulan ke bulan  kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mac 2024 berbanding Februari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata harga purata seunit keluli, yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar cacat tegangan tinggi Mycon 60, ialah RM3,683.51 setan, naik sedikit kepada 0.1 peratus pada Mac 2024, berbanding RM3,679.54 setan pada Februari 2024.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga seunit keluli di kawasan Kota Kinabalu (0.2 peratus) dan Sandakan (1.1 peratus) pada Mac 2024.

“Perbandingan tahunan harga purata seunit keluli mencatatkan penurunan kecil  iaitu negatif 0.2 peratus pada Mac 2024 berbanding RM3,690.90 setan pada Mac 2023,” katanya.

Selain itu, beliau berkata harga purata simen mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.2 peratus, dengan harga purata RM23.01 setiap beg 50 kilogram (kg) pada Mac 2024 berbanding RM22.97 bagi beg 50 kg pada Februari 2024.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.3 peratus untuk indeks harga simen di Terengganu dan Kelantan sepanjang Mac 2024.

“Manakala purata harga seunit simen meningkat 2.7 peratus pada Mac 2024 berbanding RM22.41 setiap beg 50 kg pada Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata perbandingan tahunan bagi Mac 2023 dan Mac 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat di antara 0.9 peratus hingga 7.7 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, tetapi indeks harga seunit bahan itu mencatatkan sedikit penurunan di Kota Kinabalu (-0.7 peratus) dan Kuching (-0.1 peratus).

“Selain itu, perbandingan tahunan untuk indeks harga seunit keluli menunjukkan penurunan di antara negatif 0.8 peratus hingga negatif 4.9 peratus untuk Mac 2024 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, hanya Johor mencatatkan peningkatan dalam indeks harga seunit keluli (2.1 peratus),” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, mulai Januari 2024 Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori dan kawasan bangunan diasaskan semula kepada Januari 2023 bersamaan dengan 100 (Januari 2023=100).

Jabatan itu berkata IKB dari bulan ke bulan (termasuk bar keluli) untuk semua kategori bangunan pada Mac 2024 meningkat di antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan sedikit penurunan direkodkan untuk IKB (termasuk bar keluli) untuk bangunan kayu dan cerucuk kayu di Terengganu dan Kelantan (masing-masing -0.6 peratus).

Ia berkata IKB (termasuk bar keluli) di Sabah juga lebih tinggi antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus untuk hampir semua kategori bangunan.

“IKB (termasuk bar keluli) untuk semua kategori di Kota Kinabalu dan Tawau menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus dan 0.2 peratus pada Mac 2024 berbanding bulan sebelumnya.

“Sementara itu, indeks untuk hampir semua kategori bangunan di Sandakan meningkat di antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus untuk hampir semua kategori bangunan berbanding Februari 2024,” katanya.

— BERNAMA