Bosch Akan Labur RM1.62 Bilion Di Pulau Pinang

BATU KAWAN, 1 Ogos (Bernama) — Bosch, syarikat kejuruteraan dan teknologi dari Jerman, merancang melabur sebanyak RM1.62 bilion secara berfasa dalam operasinya di sini pada dekad akan datang untuk  mengukuhkan rantaian bekalan global bagi semikonduktor.

Ahli Bosch Mobility Sector Board, Klaus Maeder berkata pelaburan jangka panjang itu membuktikan komitmen syarikat tersebut terhadap Malaysia.

“Salah satu sebab mengapa kami yakin untuk membuat pelaburan yang besar bagi membuka operasi kami di sini adalah ekosistem semikonduktor sedia ada, kerana pembekal kami dan banyak pemain semikonduktor lain turut berada di sini.

“Semikonduktor adalah kunci kepada kejayaan semua bahagian perniagaan Bosch dan tapak back-end Pulau Pinang merupakan komponen utama dalam strategi pertumbuhan kami dalam sektor mobiliti ketika kami berusaha menampung peningkatan permintaan terhadap semikonduktor,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tapak Semiconductor Back-End Bosch, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  Datuk Arham Abdul Rahman; penasihat khas Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.

Maeder berkata syarikat itu memilih untuk melabur di Pulau Pinang disebabkan oleh tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan tinggi manakala jarak yang dekat dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan di sini akan memendekkan masa penghantaran cip. 

Menurutnya, tapak back-end itu yang menjangkau lebih 18,000 meter persegi, merupakan satu daripada tapak backend semikonduktor paling canggih di Asia bagi pengujian akhir cip dan sensor automotif. 

Kemudahan itu akan mengukuhkan secara bersistematik perniagaan semikonduktor dan pembuatan Bosch bagi memenuhi permintaan cip global.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser berkata Malaysia merupakan hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global Bosch, menyumbang kira-kira 13 peratus daripada pengeluaran back-end global. 

“Kami mengembangkan ekosistem semikonduktor tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami di Malaysia susulan sambutan ulang tahun ke-100 kami. 

“Kilang baharu kami di Pulau Pinang akan mendekatkan rangkaian pembuatan global Bosch kepada vendor pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar di rantau ini serta kepada pelanggan automotif kami di pasaran Asia,” katanya.

Kilang baharu di Pulau Pinang itu dijangka menyediakan kepada sehingga 400 syarikat sekutu pada pertengahan 2030. 

Dengan sejumlah 4,200 syarikat sekutu dan pelaburan bernilai hampir RM400 juta di Malaysia setakat 31 Dis, 2022, Pulau Pinang menjadi lokasi bagi bilangan kilang pembuatan terbesar Bosch di Asia Tenggara.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.