Ekonomi Malaysia Bakal Raih Manfaat Sektor Semikonduktor, Pelancongan Tahun Ini – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Ekonomi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada eksport semikonduktor, didorong oleh aliran peningkatan teknologi global selain momentum dalam sektor pelancongan pada 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sentimen optimis Malaysia itu didorong oleh kekukuhan angka makroekonomi pada 2023 seperti unjuran pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus, inflasi dan kadar pengangguran lebih rendah serta prospek ringgit.

“Malah, di sebalik cabaran itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensinya telah berjaya meraih banyak pencapaian penting.

“Salah satu contoh adalah kejayaan kita meraih pelaburan langsung asing (FDI) komited bernilai hampir US$76 bilion (RM354 bilion) pada 2023,” kata beliau ketika berucap pada sesi dialog S Rajaratnam Endowment Dialogue yang diadakan di Singapura, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata seiring dengan kestabilan politik yang kembali pasca pilihan raya umum pada 2022, Malaysia kini bersandarkan hala tuju ekonomi paling lebih sebagaimana digariskan dalam agenda Ekonomi MADANI.

Penekanan itu boleh dilihat menerusi dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Industri Kimia dan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG)

Menyentuh tumpuan MITI bagi tahun ini, beliau berkata ini membabitkan pembaharuan perindustrian dan pelaburan yang digariskan dalam NIMP 2030.

“(Walaupun) kementerian saya menerajui usaha itu, namun pelaksanaannya turut melibatkan kementerian-kementerian lain, termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kestabilan (politik) yang dinikmati itu telah membolehkan kita untuk menggerakkan agenda pembaharuan dengan lebih pantas sejak setahun lepas,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menekankan peranan besar NIMP dalam anjakan industri dan ekonomi kedua dan adalah penting untuk negara ini melaksanakannya secara tepat.

“Perindustrian semula ini adalah satu keperluan strategik untuk masa depan ekonomi kita,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepentingan untuk Malaysia berusaha melonjakkan sebanyak mungkin syarikat-syarikat peringkat pertengahan ke dalam rantaian bekalan global dan memacu pembangunan kilang pintar di bawah NIMP agar lebih dikenali di mata pelabur sebagai destinasi bagi pembuatan bernilai tinggi.

Bagi industri hijau, Tengku Zafrul berkata Malaysia yang memainkan peranan bagi mengurangkan perubahan iklim, telah mula melaksanakan i-ESG dalam usaha membolehkan industri mempercepat aspek dedahan kemampanan.

“Jika ini tidak dilakukan, pengeluar dan pengeksport Malaysia berisiko untuk diketepikan daripada pasaran utama yang sensitif ESG. Ini kerana dari sudut lain, terdapat peluang bernilai US$12 trilion dalam pasaran yang menumpukan ESG global untuk direbut oleh kalangan industri kita,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Pastikan Pasaran Kewangan Kekal Teratur Hadapi Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pasaran kewangan kekal teratur dan sistem kewangan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global melalui pemantauan pasaran yang berterusan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata BNM melaksanakan pelbagai rangka kerja pengurusan risiko yang menyeluruh bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara.

Katanya, pergerakan ringgit terus ditentukan oleh pasaran.

“BNM tidak menyasarkan sebarang paras nilai ringgit. Tumpuan BNM adalah untuk memastikan nilai ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur.

“BNM akan terus memantau keadaan pasaran pertukaran asing domestik dan sentiasa bersedia mengambil langkah yang sewajarnya sekiranya terdapat pergerakan mata wang yang tidak teratur,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai bentuk pengurusan risiko yang dilaksanakan BNM bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara dan apakah petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan oleh BNM bagi menilai kejayaan pengurusan risiko ini.

Bagaimanapun, MOF berkata kerajaan serta BNM juga mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing yang seterusnya dapat menstabilkan nilai ringgit.

“Ini termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten.

“BNM juga melaksanakan program syarikat pelabur pemastautin yang berkelayakan (QRI) pada Julai 2025 untuk terus menyokong aliran dana dua hala dalam pasaran tukaran asing,” katanya.

Menurut MOF, setakat 1 Mac, 2026, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding US dolar. Kadar kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ini merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan mata wang serantau.

“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus bagi 2025 dan 2.8 peratus setakat pertengahan Februari 2026,” katanya.
— BERNAMA