Equinix Labur US$140 Juta Bina Pusat Data IBX Di Cyberjaya, Nusajaya 

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Syarikat infrastruktur digital yang tersenarai di Nasdaq, Equinix Inc melabur sejumlah US$140 juta (US$1=RM4.65) untuk membina dua pusat data International Business Exchange (IBX) baharu terletak di Cyberjaya dan Nusajaya Johor. 

Naib Presiden Pembangunan Korporat Equinix Asia Pasifik Cyrus Adaggra berkata Malaysia akan menjadi pasaran penting untuk Equinix pada skala global dan syarikat komited untuk meneruskan pelaburan dan pengembangannya di negara ini.

“Apabila kita memasuki pasaran, kita tidak keluar. Dalam sejarah kami selama 25 tahun, kami tidak pernah menghentikan operasi, kecuali atas sebab peraturan.

“Saya memuji pendekatan kerajaan, yang memfokuskan bukan sahaja kepada membawa masuk pusat data tetapi juga memanfaatkan kami untuk menggalakkan pembangunan ekonomi digital.

“Selain itu, syarikat merancang untuk memperluas ekosistemnya dan menggalakkan pelanggan multinasional kami, berjumlah lebih 10,000, untuk mewujudkan operasi di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan mereka kepada penduduk tempatan,” katanya pada sesi meja bulat media hari ini.

Sementara itu, Equinix mengumumkan pelantikan Cheam Tat Inn sebagai Pengarah Urusan Equinix Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

“Cheam akan mengetuai strategi pengembangan dan pertumbuhan Equinix di Malaysia serta beliau akan melapor kepada Presiden Equinix Asia Pasifik Jeremy Deutsch.

“Cheam akan membawa pengalaman dalam industri teknologi maklumat selama lebih tiga dekad, selain memegang jawatan kepimpinan utama di syarikat teknologi terkemuka,” menurut syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PKNS Akan Bangunkan 7,500 Unit Kediaman Di Cyberjaya, GDV RM3 Bilion

CYBERJAYA, 14 Julai (Bernama) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia untuk membangunkan projek kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang, melibatkan 7,500 unit pangsapuri mampu milik, teres dan bertingkat tinggi di Cyberjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mahmud Abbas berkata sebahagian daripada unit itu merupakan rumah mampu milik yang menyasarkan terutama pembeli generasi muda.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Aludra Residensi, iaitu projek ketiga PKNS di Cyberjaya di sini hari ini, beliau berkata PKNS komited untuk memastikan pembeli rumah generasi muda yang mempunyai tahap pendapatan tertentu berpeluang membeli rumah pertama serta menawarkan rumah mampu milik pada harga lebih rendah berbanding pesaingnya.

Aludra Residensi yang terdiri daripada 218 unit rumah bandar, dibangunkan di kawasan seluas 4.52 hektar dengan GDV RM125 juta.

Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dengan keluasan antara 1,035 kaki persegi dan 1,055 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM555,000.

Mahmud berkata 60 peratus daripada unit kediaman berkenaan telah terjual.

“Melangkah ke hadapan, kami mempunyai beberapa projek sedang dalam perancangan, dan antara projek utama adalah projek Shah Alam Central,” katanya sambil memaklumkan projek itu melibatkan pembinaan kawasan pusat perniagaan, yang dijangka dilancarkan September ini.

Simpanan tanah PKNS pada masa ini berjumlah 607 hektar.

Aludra Residensi menawarkan kemudahan komuniti berpagar dan berkawal, trek joging, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi berlandskap selain rumah kelab persendirian yang eksklusif serta surau.

Keunikan projek ini terletak pada reka bentuknya serta pemilihan bahan yang menekankan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, rumah kelab dan rumah pengawal dilengkapi dengan panel solar fotovoltan untuk menghasilkan elektrik rendah karbon.

Terletak di lokasi strategik, Aludra Residensi mudah diakses melalui dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Selain itu, lokasi projek ini juga berhampiran dengan beberapa bandar utama antaranya Cyberjaya iaitu 4 kilometer (km), Putrajaya (12km), Kuala Lumpur (35km), Shah Alam (28km) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (26km).

Layari laman sesawang www.pkns.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek hartanah PKNS.

— BERNAMA