Usaha Literasi Kewangan Perlu Dipertingkat Seawal Peringkat Sekolah – Ahmad Maslan 

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Usaha menggalakkan literasi atau celik kewangan masih perlu diperbaiki khususnya di peringkat sekolah supaya rakyat tidak ketinggalan dan ‘buta’ dalam pengurusan kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Justeru itu, beliau berkata berharap pengenalan mata pelajaran ‘Kewangan dan Keusahawanan’ dapat direalisasikan sebagai subjek khususnya di sekolah menengah agar golongan muda khususnya mendapat pendedahan dan pendidikan lebih awal mengenai pengurusan kewangan dan keusahawanan sebelum menamatkan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Dalam satu mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai belia beberapa bulan lepas, yang dipengerusikan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kita di Kementerian Kewangan (MoF) telah mengesyorkan cadangan ini secara rasmi iaitu pendidikan keusahawanan dimulakan di sekolah menengah supaya akhirnya anak-anak yang hanya ada SPM boleh menyara kehidupan dengan lebih baik.

“Jika tidak ada ilmu kewangan dan menjadi sihat kewangan, mereka yang hanya memiliki SPM terpaksa makan gaji dengan gaji yang rendah dan akhirnya menjadi kumpulan B40,” katanya ketika berucap pada Program Literasi Kewangan ‘Kembara Bijak Wang 2023’ (KBW2023) di sini hari ini.

Ahmad berkata dalam 400,000 ke 500,000 calon SPM setiap tahun, hanya 40 peratus daripada mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), vokasional atau teknikal, diploma dan ijazah ke atas. 

Sehubungan itu, beliau berharap Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan (2019-2023) akan diteruskan sebagai usaha mempromosikan tingkah laku kewangan yang bertanggungwajab dan sikap yang positif terhadap pengurusan kewangan. 

Program KBW2023 yang dianjurkan buat kali keempat sejak 2019 adalah hasil kerjasama antara Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan HSBC Malaysia bertujuan meningkatkan literasi kewangan menggunakan pendekatan digital dan menawarkan aktiviti mencabar serta pengalaman yang menyeronokkan. 

Program tahun ini melibatkan 3,202 pelajar dari universiti tempatan, politeknik, kolej komuniti dan MySkills Foundation. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Denda AEON Credit RM520,000 Susulan Pelanggaran Sekatan Kewangan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sebanyak RM520,000 ke atas AEON Credit Service (M) Bhd atas pelanggaran keperluan sekatan kewangan bersasar.

Bank pusat itu memaklumkan, AEON Credit yang juga unit Malaysia milik syarikat Jepun, Aeon Co, telah mengambil langkah pembetulan susulan pelanggaran berkenaan, selain mengadakan latihan penyegaran kepada kakitangan berkaitan bagi memastikan pematuhan diperkukuh.

BNM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan pelanggaran terhadap keperluan sekatan kewangan bersasar yang ditetapkan.

AEON Credit bagaimanapun telah melaksanakan langkah penambahbaikan dalaman sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas pematuhan terhadap keperluan kawal selia. – Reuters