Google Labur RM9.4 Bilion Di Malaysia, Sokong Lebih RM15.04 Bilion Dalam Impak Ekonomi Positif

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Syarikat gergasi teknologi, Google akan melabur US$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc (Alphabet), yang juga Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat berkata pusat data pertama Google dan Wilayah Awan Google adalah pelaburan terbesar kumpulan yang dirancang setakat ini di Malaysia – lokasi yang Google dengan bangganya sudah bertempat selama 13 tahun. 

“Pelaburan ini dibina atas kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan ‘Dasar Cloud First,’ termasuk piawaian keselamatan siber yang tertinggi.

“Dengan pengumuman hari ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan usaha bersama kami dalam mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alphabet ialah syarikat induk Google.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menyokong lebih US$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dalam impak ekonomi yang positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Katanya pusat data itu akan memperkasakan perkhidmatan digital popularnya seperti Search, Maps dan Workspace, yang digunakan setiap hari oleh berbilion individu dan organisasi di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Ia (pusat data itu) juga akan memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara.  

“Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang mengendalikan pusat data untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai Wilayah Awan Google, katanya ia akan menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi dan latensi rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula dan organisasi sektor awam.

Katanya pelanggan Google Cloud akan mendapat manfaat daripada kawalan utama yang membolehkan mereka mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi, residensi data dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data khusus.

“Wilayah awan ini akan dilengkapi dengan lokasi Dedicated Cloud Interconnect sedia ada Google Cloud di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, yang menyediakan sambungan langsung antara rangkaian di premis organisasi dan rangkaian global Google Cloud. 

“Wilayah awan Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia,” katanya.

Mengulas pengumuman tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaburan US$2 bilion oleh Google di Malaysia akan memajukan lagi matlamat digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Beliau berkata pusat data Google dan Wilayah Awan Google di Greater Kuala Lumpur, khususnya, akan memperkasakan industri pembuatan dan perkhidmatan negara dengan penggunaan AI dan teknologi canggih lain yang bakal meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global.

“Kami yakin kerjasama dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara kita, menyumbang kepada visi MADANI ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju teknologi,” katanya.

Pada November 2023, kerajaan dan Google memeterai kerjasama strategik untuk mencipta peluang pertumbuhan inklusif untuk lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan yang menggunakan teknologi Al dan awan.  

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Google untuk menubuhkan pusat data pertamanya di Malaysia mencerminkan keyakinan mereka terhadap infrastruktur yang kukuh, tenaga kerja mahir dan iklim perniagaan yang menggalakkan. 

“Pusat data ini bukan sahaja membawa perkhidmatan awan canggih, analitik data dan perkhidmatan AI Google lebih dekat kepada perniagaan tempatan, institusi pendidikan dan rakyat, ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau, memperkasa pengguna dan pemain ekosistem untuk memanfaatkan teknologi terkini untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA kekal komited untuk memudahkan pelaburan selanjutnya dan menyokong pertumbuhan berterusan Google di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee