Syarikat Minyak Utama SKDS 2.0 Sedia Sejuta Stok ‘Fleet Card’ – Armizan

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) — Sebanyak sejuta stok ‘fleet card’ disediakan lima syarikat minyak utama yang terlibat dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubdisi 2.0 (SKDS 2.0) bagi memastikan bekalan kad tersebut sentiasa tersedia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata ketersediaan kad itu akan dapat mempercepat proses permohonan 410,000 kenderaan daripada 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah SKDS 2.0.

“Kalau dulu di peringkat awal (SKDS), syarikat minyak beri komitmen bahawa pengeluaran ‘fleet card’ boleh dikeluarkan dalam tempoh antara empat dan enam minggu, tetapi kini ada (syarikat minyak) yang keluarkan dalam tempoh kurang tujuh hari.

“Ini akan memudahkan kelancaran proses (pengeluaran ‘fleet card’). Kita anggarkan 410,000 kenderaan akan dapat manfaat daripada SKDS.

“Insya-Allah dengan adanya pendekatan ini, kita yakin dari segi kawal selia SKDS 1.0 dan SKDS 2.0 akan dapat dilaksanakan sehabis baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0, di sini, hari ini

Lima syarikat minyak utama yang terlibat dalam SKDS ialah Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

Sehubungan itu, Armizan menyarankan semua syarikat sektor pengangkutan darat yang layak mendapatkan diesel subsidi di bawah SKDS 2.0 agar tidak menangguhkan permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 dan memohon ‘fleet card’ daripada syarikat minyak.

Ditanya kemungkinan penggunaan hanya satu ‘fleet card’ berbanding tiga ketika ini, beliau berkata bagi peringkat permulaan kerajaan memutuskan untuk menggunakan sistem sedia ada yang disediakan syarikat minyak.

“Pada peringkat awal ini, kita tidak mahu berbelanja untuk sistem baharu. Kita guna infrastruktur sedia ada, jadi ia akan dapat menjimatkan kos kerana sistem ini sudah ada di syarikat minyak. Kita hanya intergrasikan dengan SKDS,” katanya sambil menambah kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya ada cadangan seumpama itu pada masa akan datang.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalinkan kerjasama bagi mengintegrasikan sistem berkenaan dengan MySikap yang dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini mekanisme semakan waktu nyata dengan MySikap dan semakan nombor pendaftaran syarikat melalui SSM tanpa memerlukan pemohon memuat naik dokumen sokongan tambahan,” katanya.

Pada 1 Februari lepas, Armizan dilaporkan berkata SKDS 2.0 yang melibatkan 23 jenis pengangkutan barangan telah bermula bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka diperkenalkan suku kedua tahun ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/