IC Design Park Dijangka Tarik Pulangan Ekonomi RM500 Juta Hingga RM1 Bilion – SIDEC

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Inisiatif Malaysia Semiconductor Accelerator and IC Design Park (Selangor Hub) yang diterajui kerajaan negeri Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dijangka dapat menarik pulangan ekonomi antara RM500 juta dan RM1 bilion.

Ketua pegawai eksekutif SIDEC Yong Kai Ping berkata pusat hab IC itu yang dibangunkan secara kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan beberapa firma semikonduktor utama antarabangsa bakal beroperasi pada Julai depan di Puchong, Selangor dan dijangka dapat menarik ramai pelabur yang sekali gus mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Yong berkata inisiatif strategik itu akan membuka peluang kerjaya terutamanya melibatkan bidang kejuruteraan dengan tawaran gaji tinggi antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Dalam tempoh setahun beroperasi, kita jangkakan dapat lebih 300 peluang kerja profesional dapat ditawarkan dan ia bakal bertambah untuk tahun seterusnya.

“Pusat ini juga akan menjadi kluster perindustrian dan lebih banyak pelaburan akan dibawa masuk. Banyak syarikat terutama yang memerlukan kilang bakal bertapak di sini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. 

Terdahulu Yong mewakili kerajaan Selangor menandatangani surat hasrat (LoI) bagi perkongsian strategik dengan empat syarikat iaitu ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China), Phison Malaysia dan SkyeChip.

Majlis permeteraian itu yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak KL20 2024 disaksikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Digital Gobin Singh Deo, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim serta Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Yong berkata buat permulaan, pusat berkenaan akan melibatkan bangunan berkeluasan 45,000 kaki persegi namun akan ditambah sehingga 60,000 kaki persegi bagi menampung keperluan industri.

“Daripada bangunan tiga tingkat, kita akan luaskan kepada enam tingkat. Sekarang pun kita sudah terima permintaan tinggi dari pemain antarabangsa yang mahu melabur,” katanya.

Sementara itu Ng berkata hab ini merupakan satu inisiatif yang baik kerana selain menawarkan peluang pekerjaan ia juga akan mewujudkan sektor sampingan seperti logistik serta makanan dan minuman (F&B).

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor akan memberikan tumpuan kepada sektor itu kerana ia memberi jaminan pulangan ekonomi yang lebih tinggi kepada negara.

“Kita akan membantu negara untuk memperkukuhkan industri semikonduktor. Selangor akan menyediakan modal di bawah kerajaan negeri,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA