Jaminan Pinjaman 1MDB Berjumlah RM18.17 Bil Sehingga 2022- LKAN

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Jaminan pinjaman syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM18.17 bilion sehingga akhir 2022, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini.

Jaminan pinjaman berkenaan terdiri daripada bon berjumlah US$3 bilion atau RM13.17 bilion yang perlu dilunaskan pada 2023 dan bon sebanyak RM5 bilion yang akan matang menjelang 2039.

Laporan itu menjelaskan bon 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) telah matang dalam  2022.

Disamping itu, prinsipal bon berjumlah US$3.5 bilion atau RM15.524 bilion telah dilunaskan menggunakan dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA), manakala faedah pinjaman 1MDB yang mencecah RM1.541 bilion pada 2022 dilunaskan menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.53 bilion dan dana AAMKA berjumlah RM11 juta.

Dana AAMKA berbaki RM1.927 bilion pada akhir tahun lalu.

Secara keseluruhan, komitmen jaminan kerajaan yang dilaporkan adalah berjumlah RM224.116 bilion pada 2022, menyusut sebanyak RM5.276 bilion atau 2.3 peratus berbanding 2021 yang berada pada RM229.392 bilion.

Pengurangan dalam kedudukan komitmen jaminan disebabkan oleh bayaran prinsipal pinjaman syarikat terutamanya 1MDB yang berjumlah US$3.5 bilion atau RM15.524 bilion, Govco Holdings Bhd (RM1.075 bilion), SRC International Sdn Bhd sebanyak (RM985 juta), Turus Pesawat Sdn Bhd (RM500 juta), Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (RM468 juta) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd berjumlah RM94.62 juta).

Selain itu, laporan itu menyatakan terdapat terbitan pinjaman baharu antaranya oleh syarikat DanaInfra Nasional Bhd, Malaysia Rail-Link Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Bhd dan TRX City Sdn Bhd bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur negara.

Menurut laporan itu, Liabiliti Persekutuan berjumlah RM1.399 trilion iaitu terdiri daripada Hutang Persekutuan sebanyak RM1.080 trilion dan Liabiliti Kewangan berjumlah RM319.571 bilion.

Liabiliti Kewangan ini merangkumi Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berjumlah RM34.492 bilion, Komitmen Kewangan sebanyak RM284.924 bilion serta Pelbagai Liabiliti berjumlah RM0.155 bilion.

Katanya, Liabiliti Persekutuan meningkat RM94.116 bilion atau 7.2 peratus berbanding 2021 yang berjumlah RM1.305 trilion.

Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah 78.1 peratus berbanding 84.3 peratus pada 2021.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA