KDNK Suku Pertama Menggalakkan, Prospek 2025 Kekal Dipengaruhi Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) — Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi suku pertama 2025 yang memberangsangkan sekali gus mengatasi prestasi beberapa negara rakan serantau.

Bagaimanapun, kalangan pakar ekonomi mengingatkan bahawa tarif yang tinggi, gangguan rantaian bekalan, pelaburan tertunda dan ketidaktentuan keseluruhan boleh menjejaskan trajektori pertumbuhan negara.

Tarif “Hari Pembebasan” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah meningkatkan ketegangan perdagangan global di samping menimbulkan ketakutan dalam pasaran dan kalangan pelabur namun, asas ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas-asas kukuh akan melindungi negara daripada kejutan luaran yang buruk.

Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata pertumbuhan Malaysia pada 4.4 peratus bagi suku pertama sememangnya dalam jangkaan.

Beliau berkata kadar itu lebih pantas daripada 4.2 peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas, dan walaupun lebih perlahan berbanding 4.9 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2024.

“Berbanding dengan negara rakan serantau kita, pertumbuhan suku pertama Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura dan Thailand, tetapi kurang daripada Vietnam yang kukuh pada 6.9 peratus dan Filipina pada 5.4 peratus.

“Memandangkan status negara kita berpendapatan sederhana atas, prestasi ini mencerminkan daya tahan ekonomi yang agak baik,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata ekonomi Malaysia yang pelbagaian, permintaan domestik berdaya tahan dan keadaan makroekonomi yang menggalakkan — termasuk inflasi yang rendah, kestabilan pasaran buruh dan aliran kredit — sewajarnya membantu mengurangkan kejutan luaran.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia mungkin mencatatkan paras terendah dalam unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh oleh kerajaan iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Nungsari Ahmad Radhi juga senada dengan Yeah mengenai kebimbangan itu.

Walaupun prestasi suku pertama 2025 Malaysia adalah memberangsangkan berbanding negara jiran Singapura pada 3.8 peratus dan Thailand pada 2.9 peratus, angka itu masih mengekori pertumbuhan Indonesia pada 4.8 peratus, katanya.

“Keadaan global berubah dengan ketara pada April, terutama selepas tarif AS yang menjejaskan 168 negara termasuk Malaysia, yang kini telah ditangguhkan selama 90 hari,” katanya.

Beliau berkata “ini telah secara berstruktur telah mengubah landskap perdagangan sepanjang tahun ini.”

Nungsari mengingatkan bahawa perubahan dasar tarif AS-China boleh mengganggu rantaian bekalan dan aliran pelaburan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang bergantung kepada eksport Malaysia.

“Kesemua ketidaktentuan ini boleh melembapkan momentum ekonomi — bukan sahaja melalui harga pengguna yang lebih tinggi disebabkan oleh tarif, malah juga melalui keputusan pelaburan tertunda apabila kalangan syarikat mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Penjajaran semula dasar perdagangan AS boleh menjejaskan Malaysia melalui dua saluran: perdagangan langsung dengan AS, khususnya perdagangan intra-industri yang melibatkan firma Amerika, dan kesan tidak langsung ke atas pembekal tempatan yang terikat dalam rantaian nilai yang sama,” katanya.

Bagi separuh kedua 2025, Nungsari berkata kelembapan ekonomi global dijangka memberi tekanan lanjut terhadap prestasi perdagangan Malaysia dan trajektori pertumbuhan keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan pertumbuhan Malaysia pada suku pertama 2025 sebagai “sederhana” namun, disokong oleh permintaan domestik dan eksport bersih, yang masing-masing meningkat 6.0 peratus dan 19.6 peratus.

Beliau berkata keputusan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas — menyuntik mudah tunai RM19 bilion ke dalam sistem perbankan — serta peningkatan jaminan kerajaan bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan langkah proaktif untuk mengatasi cabaran luaran.

“Dasar-dasar ini penting kerana keadaan masih tidak menentu. Tindak balas ekonomi yang khusus diperlukan untuk membantu ekonomi menyerap kejutan dan mengekalkan keyakinan perniagaan,” kataya.

Awal hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta dasar kerajaan.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prestasi suku pertama itu turut disokong oleh aktiviti pelaburan yang stabil dan pertumbuhan eksport berterusan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Moody’s Turunkan Penarafan Kredit AS, Petanda Hutang Negara Semakin Membimbangkan

Agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s Ratings, telah menurunkan penarafan kredit kerajaan Amerika Syarikat (AS) daripada AAA kepada Aa1 pada hari Jumaat lepas (16 Mei 2025). Penurunan ini dibuat berikutan beban hutang negara yang semakin meningkat dan kegagalan pihak kerajaan AS untuk mengawal defisit tahunan.

Dalam kenyataan pada 16 Mei, Moody’s menjelaskan bahawa perbelanjaan yang tinggi dan ketidakmampuan untuk mengurangkan defisit adalah antara punca utama penurunan ini. Menurut mereka:

“Kami tidak melihat sebarang pengurangan ketara dan berterusan dalam perbelanjaan wajib atau defisit melalui cadangan fiskal yang sedang dipertimbangkan. Sepanjang dekad akan datang, kami menjangkakan defisit yang lebih besar apabila perbelanjaan untuk pencen dan bantuan sosial terus meningkat, manakala hasil pendapatan kerajaan pula kekal mendatar.”

Penurunan kepada Aa1 ini adalah hanya satu tahap di bawah penarafan tertinggi AAA, dalam sistem 21-tahap yang digunakan oleh Moody’s untuk menilai tahap kesihatan kewangan sesebuah entiti.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata alasan utama untuk langkah tersebut ialah hutang kerajaan AS dijangka terus meningkat dan defisit fiskalnya yang akan merosot.

“Bagaimanapun, agensi penarafan kredit itu terus mengiktiraf status istimewa dolar AS sebagai mata wang rizab global.

Untuk rekod, S&P Global Ratings telah menurunkan penarafan kredit AS pada tahun 2011, diikuti oleh Fitch Ratings pada tahun 2023. Dengan situasi kewangan yang semakin meruncing, langkah Moody’s ini dilihat sebagai langkah yang dijangka akan berlaku, melengkapkan senarai tiga agensi penarafan utama dunia yang kini tidak lagi meletakkan AS pada tahap kredit tertinggi.

Sumber: The Star, BERNAMA

Berminat Nak Teroka Pasaran Saham Wall Street?

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street!