Inflasi Keseluruhan Kekal Sederhana Bawah 3.0 Peratus Pada 2025 – BNM

Duit inflasi


KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) — Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka kekal sederhana di bawah paras tiga peratus pada 2025, memandangkan keadaan kos global yang terus menyusut serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bagaimanapun, beliau berkata unjuran baharu bagi julat inflasi kemungkinan akan diumumkan apabila bank pusat menilai semula unjuran terkini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam masa terdekat.

“Harga komoditi global yang terus menjadi sederhana dijangka menyumbang kepada persekitaran kos yang lebih stabil.

“Dalam persekitaran yang lebih baik ini, kesan keseluruhan daripada pelaksanaan dasar domestik yang diumumkan terhadap inflasi dijangka terhad,” katanya pada sidang media berkaitan prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2025 hari ini.

Dari segi luaran, risiko terhadap inflasi boleh berpunca daripada ketidaktentuan global, terutamanya harga komoditi dan pasaran kewangan, selain dasar perdagangan antara negara ekonomi utama yang boleh mempengaruhi hala tuju inflasi, katanya.

Dari aspek domestik, Abdul Rasheed berkata prospek inflasi bergantung kepada kesan keseluruhan pelaksanaan reformasi dasar dalam negara, khususnya penstrukturan semula subsidi.

Pada suku pertama 2025, inflasi keseluruhan mencatat penurunan kepada 1.5 peratus, manakala inflasi teras meningkat kepada 1.9 peratus, didorong oleh penurunan inflasi utiliti dan perkhidmatan mudah alih, yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan inflasi sewa.

“Penurunan inflasi keseluruhan sejajar dengan persekitaran kos yang semakin reda. Perkembangan ini mencerminkan kesan dasar domestik sebelum ini yang semakin berkurangan, yang menurunkan inflasi utiliti serta inflasi perkhidmatan mudah alih di tengah-tengah pengurangan harga untuk pelan pasca bayar terpilih.

“Sebaliknya, inflasi teras meningkat sedikit pada suku ini akibat kenaikan kadar sewa,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Khazanah Buka Permohonan Kohort Kedua Program Pengurus Dana

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan anak syarikatnya, Jelawang Capital mengumumkan pembukaan permohonan untuk kohort kedua Program Pengurus Dana Baharu Muncul (EMP).

Ia mencerminkan komitmen berterusan Khazanah, melalui Dana Impak, untuk memangkinkan ekosistem modal teroka (VC) dan syarikat baharu Malaysia dalam memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata pihaknya mempelawa permohonan untuk kohort kedua EMP 2026, yang kini dipertingkatkan dengan penyerahan sepanjang tahun.

Beliau berkata, sejak pemilihan tiga pengurus dana EMP pertama pada Jun 2025, pihaknya berbesar hati dengan kemajuan awal, termasuk menarik lebih RM30 juta daripada penyedia modal lain di luar komitmen Jelawang dan secara kolektif menggunakan lebih RM60 juta merentasi lebih 10 syarikat peringkat awal, yang kebanyakannya adalah syarikat baharu Malaysia.

Justeru, ia mencerminkan sumbangan EMP dalam menyokong pembangunan pengurus dana baru muncul dan ekosistem modal teroka domestik, katanya.

“Memperkukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia kekal sebagai komponen penting di bawah strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk tahun 2026.

“Melalui Dana Impak, kami kekal komited untuk membina ekosistem modal teroka yang lebih mendalam dan lebih bertenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai National Fund-of-Funds Malaysia, Jelawang Capital menyalurkan pelaburannya melalui pengurus dana VC di bawah EMP dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) yang menggunakan pendekatan programatik untuk memupuk dan mengukuhkan ekosistem VC.

EMP direka bentuk untuk menyokong generasi pengurus dana Malaysia yang akan datang melalui pengumpulan modal dan menginstitusikan pengurus dana.

Tiga pengurus dana EMP pertama dalam kohort pertama ialah Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move.

Kohort EMP yang akan datang memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk permintaan untuk cadangan (RFP) dan proses penyerahan yang diperkemas yang membolehkan permohonan sepanjang tahun, saiz dana minimum yang lebih rendah untuk strategi pra-benih dan benih, dan fleksibiliti yang lebih besar semasa fasa permohonan berhubung dengan kemajuan pengumpulan dana awal.

Khazanah dan Jelawang Capital mempelawa pengurus dana VC Malaysia layak yang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka untuk memohon EMP.

Inisiatif di bawah Dana Impak dan Jelawang Capital menyokong rangka kerja Ekonomi MADANI yang lebih luas dan membentuk sebahagian daripada komitmen RM1 bilion Khazanah kepada inisiatif GEAR-uP kerajaan untuk memacu ekosistem modal teroka Malaysia, memupuk usahawan pertumbuhan tinggi dan mengumpul modal dalam pengumpulan dana peringkat awal.