Keputusan BNM Kekalkan OPR Bantu Stabilkan Pasaran Perumahan – Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus akan menstabilkan pasaran perumahan berikutan pengguna terbiasa dengan kadar faedah semasa dan masih sanggup membuat pinjaman untuk gadai janji.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata pinjaman isi rumah bagi tujuan ini dan tujuan lain meningkat enam peratus pada Januari, menunjukkan bahawa pengguna selesa dengan kedudukan kewangan dan prospek masa depan mereka.

“Tinjauan pasaran kami menunjukkan harga kediaman dan sewa mampu meningkat sehingga hampir 10 peratus pada 2024. Julat harga paling popular bagi kediaman mamu milik tahun ini bernilai sehingga RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan mengekalkan kadar BNM itu adalah bagi mengimbangi keinginan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengelak peningkatan inflasi.

Juwai IQI juga menjangka BNM mengekalkan kadar dasar semalaman tidak berubah pada tiga peratus sehingga sekurang-kurangnya 2025, katanya.

“Inflasi merupakan kebimbangan besar bagi BNM dan bank itu merupakan salah satu bank pusat pertama di dunia yang mula menaikkan kadar dalam kitaran semasa bagi menurunkan kadar inflasi ke paras semasa,” kata Kashif.

Beliau mengunjurkan ekonomi Malaysia akan pulih tahun ini berikutan kekuatan permintaan dalam dan luar negeri.

“Kami percaya pertumbuhan di China akan meningkat apabila langkah rangsangan kerajaan mula memberi kesan dan itu akan menyumbang kepada permintaan global yang lebih kukuh untuk eksport Malaysia,” katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada 3.00 peratus dan berkata pendirian dasar monetari itu kekal menyokong ekonomi serta konsisten dengan penilaian semasa terhadap inflasi dan prospek pertumbuhan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian