Kerajaan Akan Pastikan Inisiatif Kemampanan Tidak Jejas Kepentingan Golongan Miskin, PMKS – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Kerajaan sedang giat berusaha untuk memastikan peralihan kepada kemampanan, sama ada menerusi insentif cukai, inisiatif sektor swasta, atau kemudahan pembiayaan dan pelaburan, tidak menjejaskan hak golongan miskin atau meminggirkan secara bersistematik perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).  

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ekonomi hijau tidak menjadi sinonim dengan kelab eksklusif yang hanya boleh disertai oleh mereka yang mempunyai sumber untuk membina kapasiti yang sewajarnya bagi pematuhan dan pelaporan berkala inisiatif mampan. 

“Jika rumah berkonsepkan hijau berada dalam pasaran, adakah ia mampu dibeli oleh pembeli berpendapatan rendah? Jika kos pematuhan terlalu tinggi, perniagaan kecil dan mikro mungkin kelaknya akan terpinggir dari pasaran.

“Peralihan yang adil juga memerlukan kami menimbang dengan serius potensi kehilangan pekerjaan menerusi pengoperasian pengeluaran atau teknik pembuatan yang lebih mesra alam,” katanya dalam ucap tama beliau pada persidangan Cagamas Bhd bertajuk ‘Developing and Financing Green Housing in Asia’, di sini, hari ini. 

Tengku Zafrul berkata kementeriannya menyedari bahawa pembiayaan hijau boleh menjadi pemangkin untuk memajukan pembangunan hijau. 

“Contohnya adalah penerbitan Sukuk Kelestarian Berdaulat Berdenominasi Dolar AS yang pertama di dunia oleh kerajaan pada April 2021 berjumlah US$800 juta yang mendapat lebihan langgan sebanyak 6.4 kali di seluruh dunia. Hasil daripada terbitan itu digunakan untuk membiayai program dan projek berkaitan kelestarian,” katanya. 

Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022, beliau berkata kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian Berdenominasi Ringgit berjumlah RM10 bilion dengan hasilnya juga akan disalurkan ke projek mesra alam atau sosial yang layak.

Dari segi pengoperasian objektif kemampanan Malaysia, beliau berkata pelbagai usaha telah dimulakan menerusi ekosistem Kementerian Kewangan (MoF), termasuk pelancaran Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memudahkan penerbitan Sukuk berkaitan SRI oleh syarikat ke arah peralihan kepada aktiviti karbon rendah. 

Usaha lain ditunjukkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (JC3), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan SC, katanya.

JC3 disasarkan untuk mempercepat tindak balas sektor kewangan kepada risiko iklim serta cadangan perubahan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia yang bertujuan untuk menambah baik pendedahan kemampanan bagi syarikat tersenarai di segenap sektor susulan cadangan Panduan Permohonan Pasukan Petugas Kewangan Berkaitan Pendedahan Iklim (TCFD) bagi Institusi Kewangan Malaysia awal tahun ini. 

“MoF juga telah melaksanakan dasar dan langkah-langkah untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana bagi menerima pakai amalan karbon rendah dan lestari. Ini termasuk langkah-langkah seperti Kemudahan Peralihan Karbon Rendah berjumlah RM1 bilion menerusi Bajet 2022. 

“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kita juga, seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah memulakan usaha kemampanan mereka masing-masing terutamanya dari segi memperuntukkan lebih banyak pembiayaan kepada aset dan pelaburan mampan,” katanya. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata ekosistem kewangan dan pelaburan turut bertanggungjawab memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan dalam menangani isu-isu struktur tertentu dan menjana peluang pertumbuhan seimbang dalam semua saiz perniagan dan segenap lapisan masyarakat.  

Jika tidak, katanya, kerajaan mungkin tidak dapat meneruskan agenda kemampanan dan keterangkumannya bagi tempoh jangka panjang.

“Oleh itu, saya berharap Cagamas dan semua pemain industri di sini juga memainkan peranan utama dalam bidang ini dan menjadi pemangkin untuk menyokong bukan sahaja pertumbuhan perumahan hijau tetapi juga agenda keterangkuman di Malaysia,” katanya.  

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kerajaan-akan-pastikan-inisiatif-kemampanan-tidak-jejas-kepentingan-golongan-miskin-pmks-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.