Kerajaan Sasar Bentang Akta Anti-Ali Baba Pada Akhir 2024

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Kerajaan kini dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir 2024, kata Kementerian Ekonomi.

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian berkata proses kajian itu termasuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Tujuannya bagi mendapatkan perspektif yang jelas mengenai isu berkaitan Ali Baba. Ini berikutan isu berkenaan merentasi pelbagai sektor serta (memerlukan) tindakan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perkembangan terkini berkaitan perkara itu dan soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung rasional memperkenalkan akta terbabit.

Pada Disember lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang anti-Ali Baba yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi berkata cadangan Akta Anti-Ali Baba itu dibuat selepas kerajaan mendapati tiada undang-undang berkaitan pada masa ini yang dapat membendung isu terbabit secara menyeluruh dan berkesan. 

Malah, akta sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009; Akta Persaingan 2010; Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti Ali Baba.

“Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti Ali Baba ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA