Penggunaan Elektrik Sehingga 600 kWj, Bil Air Tidak Dikenakan Cukai Perkhidmatan – Ketua Setiausaha Perbendaharaan

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Lebih 85 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata hanya isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj elektrik sebulan akan terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.

“Kami tidak menukar peraturan untuk mereka yang dikenakan cukai perkhidmatan; kami hanya ingin menjelaskan bahawa pada masa ini, cukai perkhidmatan (enam peratus) dikenakan ke atas segmen ini (penggunaan elektrik lebih daripada 600 kWj sebulan), yang mana segmennya agak kecil,” katanya pada sesi taklimat bersama editor, di sini, hari ini.

Johan Mahmood berkata pengguna elektrik komersial dan industri juga tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan, kerana selama ini mereka tidak dikenakan cukai itu.

Begitu juga, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan ke atas bil air, katanya.

Kerajaan dijadual menaikkan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus mulai 1 Mac 2024, daripada enam peratus pada masa ini.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi, ruang parkir kereta dan perkhidmatan logistik yang merangkumi penghantaran barangan.

Ditanya sama ada fisioterapi di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) boleh menikmati pengecualian cukai perkhidmatan seperti pengamal perubatan tradisional dan komplementari (TCM) yang berdaftar di bawah Akta T&CM 2016 (Akta 775), Johan Mahmood berkata kerajaan masih sedang mengkaji perkara tersebut.

“Kami cuba untuk konsisten berhubung rawatan untuk jenis perkhidmatan yang serupa, tetapi kami belum memuktamadkan lagi kajian itu,” katanya.

Menurut Johan Mahmood, kenaikan dua peratus cukai perkhidmatan itu dijangka membawa  tambahan hasil RM3 bilion kepada kerajaan tahun depan.

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan hasil negara, beliau berkata ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pelaksanaan semula cukai tersebut. 

“Kerajaan akan meneruskan (usaha) mengurangkan defisit fiskal dengan memperkenalkan langkah-langkah secara beransur-ansur, yang boleh meningkatkan hasil kerajaan dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.

Mengenai cukai barang bernilai tinggi (HVGT), juga dikenali sebagai cukai mewah sebelum ini, Johan Mahmood berkata kerajaan masih sedang meneliti butiran terperinci mengenainya dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lepas berkata kerajaan akan menggubal undang-undang baharu untuk melaksanakan HVGT pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barangan bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan, berdasarkan nilai ambang barang.

Menurut Kementerian Kewangan, cukai itu dijangka dilaksanakan mulai 1 Mei, 2024.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.