Majoriti Penduduk Setuju Projek Pembangunan Semula Flat PKNS RM1.2 Bilion Dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) akan meneruskan projek pembangunan semula Flat PKNS Jalan Tun Razak bernilai RM1.2 bilion di Kampung Bharu di sini memandangkan ia telah mendapat persetujuan daripada majoriti penduduk tempatan.

Dalam kenyataan pada Khamis, MRSB menjelaskan projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh syarikat usaha samanya dengan Jiankun International Bhd, Menara Rezeki Properties Sdn Bhd.

Pihaknya akan mengemukakan cadangan berkaitan dengan projek pembangunan semula itu kepada kerajaan tempatan tidak lama lagi, tambahnya.

Awal tahun ini, pihak pemaju mengadakan perjumpaan tertutup dengan para penduduk dan Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS, Kampung Bharu untuk membentangkan cadangan projek pembangunan semula tersebut.

Menurut MRSB, antara syarat yang diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) kepada pihaknya ialah mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus persetujuan pemilik tanah/petak bagi membolehkan pengambilan tanah dilakukan.

Menerusi usaha MRSB, persetujuan tawaran itu telah melebihi 80 peratus sehingga kini, melebihi syarat yang ditetapkan, jelasnya.

Pengarah Urusan MRSB, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff berkata syarikat itu turut mempertimbangkan keperluan dan masalah yang dihadapi pemilik tanah sedia ada di samping telah merangka rancangan terperinci.

“Berasaskan keupayaan MRSB dan rakan kongsi kami, saya teruja untuk menyaksikan projek pembangunan semula ini menjadi kenyataan dalam tempoh empat tahun dari sekarang,” katanya.

Rancangan pembangunan semula itu meliputi menara pangsapuri 52 tingkat, dibina untuk pemilik Flat PKNS sedia ada selain tiga menara tambahan untuk unit kediaman dan runcit.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/majoriti-penduduk-setuju-projek-pembangunan-semula-flat-pkns-rm1-2-bilion-dilaksanakan/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA