Harga MSM Dijangka Tidak Akan Turun Di Bawah Paras RM4,500 Satu Tan

ALOR GAJAH, 3 Julai (Bernama) — Kerajaan menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) tidak akan turun di bawah paras RM4,500 satu tan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Katanya beliau sebelum ini menjangka harga komoditi tersebut akan merosot pada akhir tahun ini tetapi ia berlaku lebih awal berikutan faktor larangan eksport oleh Indonesia dan perang Ukraine.

“Harga sawit tidak jatuh sampai kepada tahap RM2,500 seperti dulu, tetapi seperti yang saya telah jangkakan dahulu saya kata harga sawit norma baharu akan jatuh antara RM4,500 dan RM5,000 satu tan. Oleh itu, kita kini dalam fasa tersebut.

“Jangkaan saya harga tersebut berlaku pada akhir tahun ini tetapi berikutan gangguan dalam pasaran pada masa ini, (iaitu) Indonesia melarang eksport minyak sawit dan kemudian perang Ukraine menyebabkan harga sawit mula turun.

“Itu yang saya jangka dan ia akan naik semula tetapi norma baharu antara RM4,500 dan RM5,000 satu tan. Jadi apa pun pekebun sawit masih menikmati harga yang tinggi dan masih lagi mendapat pendapatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke plot penanaman ‘single origin’ Panchor di Ladang Koko Ting Agro Enterprise (TAE) di Kampung Panchor di sini.

Harga MSM menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun lepas iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun atau penurunan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Dalam pada itu, Zuraida berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik atau menggantung lesen mana-mana pengilang minyak masak paket 1 kilogram (kg) jika terbukti mereka menjualnya di pasaran gelap.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi untuk kegunaan kira-kira 32 juta rakyat di negara ini.

“Kita dah kira rakyat Malaysia seramai 32 juta orang. Kalau 60,000 tan metrik, setiap rakyat Malaysia akan mendapat sekurang-kurangnya 2 kg (minyak masak) setiap bulan. Satu keluarga (secara purata) boleh mendapat 10 kg satu bulan,” katanya.

Terdahulu, Zuraida menyerahkan sumbangan daripada Majlis Getah Malaysia (MRC), Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berjumlah RM250,000 kepada 50 penerima dalam kalangan pekebun kecil getah dan keluarga B40 di Kampung Bukit Payung di sini.

Sumbangan itu merupakan bakul makanan terdiri daripada beras, gula pasir, tepung gandum, minyak masak dan wang tunai.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/harga-msm-dijangka-tidak-akan-turun-di-bawah-paras-rm4500-satu-tan/

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.