Malaysia Cadang Perlindungan Teknologi Kepada AS, Jaminan Rantaian Bekalan – Tengku Zafrul


KUALA LUMPUR  11 April (Bernama) — Malaysia terlibat secara proaktif dengan pihak berkuasa dan syarikat Amerika Syarikat (AS), termasuk mencadangkan perjanjian perlindungan teknologi bagi meyakinkan pihak berkepentingan serta memastikan kestabilan rantaian bekalan terus terjamin.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kesediaan Malaysia untuk meneliti satu perjanjian perlindungan teknologi, akan turut memberi jaminan kepada kerajaan serta syarikat-syarikat AS.

“Satu perkara yang perlu anda ingat adalah syarikat yang ada di Malaysia dan mengeksport ke AS itu adalah syarikat AS sendiri.

“Sehubungan itu, kita sedang bekerjasama erat dengan syarikat-syarikat AS yang akan terjejas jika semikonduktor turut dimasukkan dalam senarai pelaksanaan tarif,” katanya dalam wawancara dengan stesen media CNBC.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata 30 peratus daripada eksport Malaysia ke AS adalah semikonduktor manakala 30 peratus lagi merangkumi produk elektrik dan elektronik (E&E).

Selain itu, ditanya sama ada persekitaran tarif global yang meluas boleh memberi kesan ke atas Pelan Induk Perindustrian Malaysia, Tengku Zafrul tidak menolak potensi berkenaaan. “Kita sedang mengkaji kesannya kerana Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka. Seperti saya katakan, kita adalah pengeksport utama semikonduktor dan produk E&E dan oleh itu, berdasarkan penilaian kita, akan ada kesan negatif.

“Bukan sahaja akibat tarif di AS, tetapi juga tarif ke atas China berikutan banyak syarikat AS dan multinasional, termasuk firma Malaysia dalam rantaian bekalan, akan terjejas oleh kelembapan ekonomi global. Syarikat-syarikat ini bukan hanya mengeksport ke AS,” katanya.

Menyentuh kebolehlaksanaan nyahgandingan teknologi AS-China, terutama dalam kecerdasan buatan dan pembuatan cip, Tengku Zafrul mengingatkan perpecahan sedemikian akan hanya menyumbang kepada kenaikan kos serta menjejaskan rantaian bekalan.

“Kita melihat perkara itu sudah pun berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, masalahnya ialah kos akan meningkat dan trend itu sudah berlaku.

“Susulan pelaksanaan tarif ke atas China dan seluruh dunia, saya fikir kosnya akan meningkat lagi dan ini boleh menjejaskan permintaan serta bekalan,” katanya

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA