Pelaburan Tambahan Infineon Bukti Keyakinan Terhadap Dasar Negara – PM Anwar


KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) — Dasar ekonomi negara yang jelas dan kestabilan politik menjadi antara faktor yang menarik syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) untuk mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM30.1 bilion semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan mereka untuk melabur tentunya mengambil kira kedudukan politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas,” kata beliau pada Majlis Peluncuran Garis Panduan mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini.

Beliau berkata transisi tenaga, pendigitalan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut mempengaruhi pelaburan terbesar Infineon di Malaysia.

Semalam, penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman itu mengumumkan akan menambah pelaburan lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.

Jumlah itu adalah tambahan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) membabitkan Fasa 1.

Anwar berkata sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan daripada pelaburan Infineon di Malaysia, termasuk dalam bidang kejuruteraan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Oleh itu, beliau mahu universiti menggerakkan usaha untuk memastikan negara mampu menyediakan kemahiran yang diperlukan.

“Universiti perlu dikerahkan dalam perkara itu. Pertama, ini kerana kita kurang jurutera dan kedua, kita kurang kemahiran dalam bidang digital peringkat tinggi dan AI. Perkara itu yang perlu kita teliti,” kata beliau.

Beliau turut menyarankan Malaysia membuat perbandingan dengan kemajuan negara di peringkat serantau untuk meningkatkan aspek mudah cara perniagaan dan daya saing berikutan prestasi beberapa elemen seperti kelulusan pelaburan yang masih ketinggalan.

“Ada elemen di peringkat kelulusan, kita tercorot. Kalau ikut pengalaman saya pada tahun 1990-an, melainkan Singapura, prestasi kita baik,” katanya.

Anwar berkata aspek kelulusan antara yang sering disentuh pelabur yang membandingkan dengan negara seperti Vietnam apabila berada di kedudukan yang lebih baik berbanding Malaysia.

Merujuk unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, Perdana Menteri menyifatkan angka itu sebagai antara yang tertinggi di Asia.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, meningkat daripada 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong oleh peningkatan penggunaan isi rumah dan pemulihan eksport berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

Bank Negara Malaysia akan mengumumkan angka ekonomi bagi suku kedua pada Jumaat depan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.