MOF Pertimbang Bentang RUU Tanggungjawab Fiskal Pada Sesi Parlimen Akan Datang: Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) bercadang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal pada sesi parlimen akan datang, yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata RUU itu melibatkan usaha untuk memperluas asas cukai negara, termasuk mengenakan cukai kepada ekonomi bayangan, serta meningkatkan pematuhan dan pentadbiran cukai ke arah membantu mendorong kutipan cukai.

“Ini adalah penting untuk menambahkan lagi tabung negara bagi menyokong agenda pembaharuan pembangunan dan jangka panjang kita,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia 2022 (Persidangan MIA 2022) secara maya, di sini, hari ini.

Mengenai usaha kerajaan untuk menyokong aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara ke arah mencapai daya tahan iklim dan sosioekonomi, Tengku Zafrul berkata tiga strategi utama telah diberikan keutamaan untuk memacu pembangunan negara yang lestari.

Beliau berkata, yang pertama adalah untuk memperkukuh pembiayaan berkaitan kemampanan, bagi melengkapi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menyelaraskan inisiatif dan program yang menerapkan elemen ESG, yang akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pembiayaan mampan.

“Antara usaha kami termasuk: pada peringkat kementerian dan negara, menerusi bajet tahunan, MOF telah meletakkan semua program dan projek di bawah perbelanjaan pembangunan kepada SDG,” katanya sambil memaklumkan tidak banyak negara yang peka bahawa Malaysia adalah antara 10 negara di dunia yang telah menjadikan pendekatan bajet negara yang dijajarkan sepenuhnya dengan SDG.

Tengku Zafrul berkata strategi kedua adalah membangunkan kapasiti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai satu daripada blok pembangunan utama untuk mencapai aspirasi ESG Malaysia dan matlamat karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Melalui Prinsip Tadbir Urus yang Baik (PGG) yang dilancarkan baru-baru ini untuk dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan, kami menyasarkan untuk memangkin penggunaan prinsip ESG dalam kalangan PKS,” katanya.

Beliau berkata, strategi ketiga adalah penubuhan Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) oleh kerajaan, melalui MOF dan dengan kerjasama PBB di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata Malaysia terus membolehkan pelaksanaan projek dan program pembangunan yang menumpukan ESG di bawah kenyataan pra-bajet Bajet 2023 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Kami telah menggariskan beberapa keutamaan termasuk peralihan strategik Malaysia dari fasa pemulihan semasa kepada pembaharuan jangka panjang.

“Ini termasuk memudahkan peluang pendapatan yang lebih baik dan meningkatkan kesejahteraan holistik bagi mencapai visi pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Bertemakan, “Leading ESG, Charting Sustainability”, Persidangan MIA 2022 secara maya selama dua hari menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran akauntan dengan kecekapan yang relevan pada masa depan untuk meneraju dan menyokong kemampanan perniagaan dalam landskap risiko berkaitan iklim dan tadbir urus yang lemah dan mengancam keseimbangan kemanusiaan dan planet.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/mof-pertimbang-bentang-ruu-tanggungjawab-fiskal-pada-sesi-parlimen-akan-datangtengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

[TERKINI] Bank Negara Malaysia Kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 2.75%.

Berlandaskan kekukuhan pada tahun 2025, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari. Walau bagaimanapun, konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik.

Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global. Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.

Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negeri yang giat. Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan. Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi. Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik terkini di Timur Tengah.

Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6% dan 2.3% pada bulan Januari 2026. Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan pada tahun 2026 dijangka kekal sederhana. Walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal. Sementara itu, inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

MPC mengambil maklum tentang ketidaktentuan yang timbul susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Impak kepada ekonomi global dan Malaysia akan bergantung pada perkembangan situasi ini. Ekonomi Malaysia menghadapi cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan pertumbuhan dalam negeri yang mantap, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang teguh dan kedudukan luaran yang berdaya tahan.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil. MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.