Pertumbuhan Ekonomi Dijangka Terus Meningkat Pada Suku Kedua, Ketiga – Azmin Ali

ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada suku kedua dan ketiga tahun ini, didorong oleh usaha berterusan kerajaan untuk menarik pelaburan asing selain kejayaan program vaksinasi COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pertumbuhan sebanyak lima peratus yang dicapai pada suku pertama tahun ini, turut menjadi petunjuk bahawa prestasi ekonomi negara akan terus bertambah baik.

“Ini ekoran daripada dasar-dasar dan program yang telah dimulakan oleh (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan program vaksinasi COVID-19 negara dapat disegerakan. Malah, kini lebih daripada 98.5 peratus populasi dewasa telah mendapat suntikan dan seterusnya membolehkan sempadan negara dibuka.

“Susulan itu, permintaan luaran semakin meningkat dan syarikat-syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mengadakan pertemuan tertutup dengan kepimpinan Bersatu Kedah.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata pihaknya berserta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.

Kerajaan juga akan terus memastikan situasi dan ekosistem perniagaan di negara ini kekal diyakini oleh para pelabur, katanya.

Beliau juga optimis bahawa ekonomi negara kini di landasan tepat untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19 dan kerajaan memerlukan sedikit masa dalam memastikan semua program pemulihan berjalan lancar.

Atas alasan itu, beliau menolak sebarang gesaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa terdekat ini.

“Kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara, rakyat sebagai keutamaan dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa-masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pertumbuhan-ekonomi-dijangka-terus-meningkat-pada-suku-kedua-ketiga-azmin-ali/

Previous ArticleNext Article

WE2025 Umum Berjaya Food Sebagai Penaja Korporat

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) diumumkan sebagai penaja korporat bagi Persidangan Kepimpinan WE2025: Future in Motion, yang akan diadakan pada 25-26 Nov, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu, turut diumumkan rakan kongsi strategik baharu persidangan termasuk Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Polity, Peniagawati, Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China, Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antarabangsa Wanita (WISTA Malaysia), WEConnect International serta rakan media Ekonomi Rakyat.

Pengarah Projek WE2025 Michelle Lau berkata kisah BFood sentiasa berkaitan dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman sambil menyokong inisiatif yang mewujudkan penanda aras baharu bagi tanggungjawab korporat.

“Ia menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memberi inspirasi kepada orang lain dan mencetuskan perkongsian yang melangkaui sempadan mana-mana kedai atau pejabat apabila mereka menerapkan unsur keterangkuman dalam nilai utama mereka.

“Atas sebab itulah, perkongsian mereka dengan WE2025 sebagai entiti korporat amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman penajaan, rakan kongsi dan inisiatif komuniti WE2025 di sini hari ini.

WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia (Qube Integrated), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Dalam satu kenyataan, ia berkata acara julung kali itu menyasarkan untuk menarik 10,000 penyertaan dan menyelaraskan potensi pelaburan serta perdagangan berjumlah RM100 juta.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 39.5 peratus daripada ekonomi negara, dengan usahawan wanita memainkan peranan yang semakin penting iaitu setakat 2022 lebih 20 peratus daripada perniagaan dimiliki oleh golongan wanita.

“Dalam konteks ini, WE2025 menjadi platform penting untuk menyediakan PKS dengan pendedahan peringkat kebangsaan sambil melengkapkan usahawan wanita dengan bimbingan dan pandangan bersesuaian daripada pemimpin industri yang berkongsi kisah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Qube Integrated Jessie Tan berkata WE2025 mempunyai potensi dan berpeluang menjadi titik perubahan penting bagi wanita yang terlibat dalam perdagangan dan kepimpinan, kerana ia membolehkan perniagaan, pembuat dasar dan media bekerjasama bagi mewujudkan peluang dan menyuarakan pandangan yang penting.

Beliau berkata persidangan itu akan menjadi acara penting bagi keusahawanan dan kepimpinan wanita di Malaysia – yang terbesar seumpamanya-kerana ia dapat memacu hasil bagi memupuk perkongsian rentas sempadan dan antara industri, mengukuhkan kepimpinan dan mempamerkan inovasi yang inklusif.

“Dengan gabungan suara dan peluang yang akan dipamerkan, kami yakin WE2025 boleh membuktikan bahawa ia penting dalam membentuk masa depan dan gerakan perdagangan, kepimpinan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.

WE2025 menampilkan empat komponen utama iaitu Ekspo Perdagangan dan Pelaburan WE2025 yang akan melibatkan lebih 100 pempamer, dan Persidangan Kepimpinan WE2025 yang mengumpulkan 1,000 delegasi dari pelbagai sektor.

Selain itu, ia turut melibatkan WE dalam Dialog dengan lebih 10 acara utama dan WE dalam Pertukaran, yang menawarkan padanan perniagaan terpilih bagi memupuk perkongsian dan perdagangan.
–BERNAMA