Projek Limbungan Kapal Di Melaka Akan Wujudkan Lebih 3,000 Peluang Pekerjaan

MELAKA, 15 April (Bernama) — Projek limbungan kapal bernilai lebih RM2 bilion yang akan dibangunkan di Tanjung Bruas, Melaka bakal memberi pulangan ekonomi terbaik selain mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peluang pekerjaan itu merangkumi kategori pekerja tidak mahir, pekerja mahir serta pekerja berkemahiran tinggi khususnya dalam industri perkapalan.

“Kira-kira 90,000 kapal melalui perairan di Melaka dalam tempoh setahun dan pembangunan limbungan kapal ini akan menjadikan Melaka sebagai pusat maritim sekali gus mengangkat kedudukan negeri ini di mata dunia.

“Kerajaan negeri akan memberi sokongan terhadap cadangan ini untuk menjadikan Melaka sebagai satu lokasi industri maritim dunia di tengah-tengah kesibukan Selat Melaka,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas majlis iftar santai Ketua Menteri Melaka di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang disertai kira-kira 1,000 rakyat.

Ab Rauf berkata pembangunan limbungan kapal untuk pembaikan dan pembinaan kapal di Tanjung Bruas itu turut dijangka merancakkan lagi aktiviti maritim khususnya di kawasan pelabuhan itu.

Beliau berkata projek itu perlu direalisasikan dalam tempoh setahun selepas Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunannya ditandatangani pada Khamis 13 April, 2023.

Pada Khamis, media melaporkan anak syarikat tidak langsung LBS Bina Group Bhd, Leaptec Engineering Sdn Bhd, menandatangani MoU dengan penyedia penyelesaian limbungan yang berpangkalan di Türkiye, Desan Deniz Ins San AS untuk meneroka cadangan membangunkan limbungan kapal di atas tanah tebus guna seluas 485.62 hektar di Melaka.

MoU itu ditandatangani di ibu pejabat Desan di Istanbul, Turkiye dan disaksikan Ab Rauf.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA