Prospek Ekonomi Asia 2023: Permulaan Suram Untuk Sementara, Malaysia Dilihat Agak Berdaya Tahan Dalam Kalangan ASEAN

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Negara-negara Asia dijangka menyaksikan permulaan yang suram pada 2023, tetapi ia tidak akan lama dengan Malaysia dilihat agak berdaya tahan dalam kalangan negara-negara ASEAN, menurut Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

ICAEW berkata pakar dan penganalisis telah memberi amaran mengenai kemelesetan yang akan berlaku pada 2023 dengan inflasi menjejaskan banyak negara di seluruh dunia, dengan gangguan rantaian bekalan.

“Kenaikan harga komoditi dan kadar barangan muatan telah diperbetulkan berikutan penurunan mendadak permintaan pengguna.

“Walaupun terdapat petunjuk jelas bahawa kemelesetan akan berlaku, Asia dijangka terus kukuh dalam persekitaran prospek yang suram,” menurut ICAEW dalam Economic Insight Forum bagi suku keempat 2022.

Katanya walaupun ekonomi global dijangka menghadapi kemerosotan pada dua suku tahun pertama tahun depan, kemelesetan akan lebih sederhana berbanding kemelesetan sebelum ini dalam sejarah.

Walaupun terdapat potensi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini, pembuatan berorientasikan eksport Asia dijangka akan terjejas pada 2023 dengan Korea dan Taiwan diunjurkan akan menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 40 peratus dalam nilai pertumbuhan eksport barangan mereka manakala negara-negara ASEAN akan mencatatkan penurunan sebanyak 20 peratus.

“Pada amnya, penurunan dalam pengeluaran pembuatan di negara-negara maju akhirnya akan menjejaskan pertumbuhan pengeluaran Asia,” katanya.

ICAEW turut menekankan bahawa antara tonggak utama pertumbuhan – pelancongan – dijangka menghadapi kelembapan pada 2023 berbanding peningkatan yang besar dilihat pada 2021 dan 2022 apabila sempadan mula dibuka semula.

Perjalanan antarabangsa ke Asia Tenggara turut dijangka menyaksikan kadar pemulihan yang perlahan pada 2023 berbanding rantau Asia Selatan dan Oceania.

“Berdasarkan KDNK Malaysia secara relatifnya kurang bergantung kepada perdagangan bersih dan pelancongan berbanding negara-negara sedang pesat membangun yang lain di ASEAN, ia turut diunjurkan kurang terjejas oleh faktor luaran dan kemelesetan global yang dijangka pada tahun depan,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran, ICAEW berkata prospek pertumbuhan jangka panjang kekal positif dengan ‘plus one strategy’ China, yang melibatkan kepelbagaian pelaburan perniagaan dan ekosistem rantaian bekalan, penting kepada pertumbuhan negara-negara ASEAN.

“Terletak dalam kepelbagaian ekosistem, Malaysia, misalnya, berada pada kedudukan yang baik untuk meraih sistem rantaian bekalan bernilai sederhana kepada tinggi dengan Indonesia merancang untuk berkembang maju secara agresif.

“Selain itu, negara-negara seperti Vietnam kekal sebagai sumber utama pembuatan dan pengeluaran berteraskan buruh. Oleh itu, ASEAN dijangka masih menyaksikan pertumbuhan yang baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Bagi Malaysia, negara ini dijangka mencatatkan rekod permintaan domestik pada 2022 dan diunjurkan menyumbang peratusan tertinggi kepada KDNK sejak dua dekad yang lepas.

Katanya Malaysia mempunyai antara nisbah hutang kasar kerajaan kepada KDNK tertinggi di rantau ini dan berdasarkan defisit bajet diunjurkan tidak berkurangan dengan banyak, terdapat ruang fiskal yang terhad untuk mengimbangi dasar.

Pertumbuhan KDNK di Malaysia diunjurkan merosot daripada 9.2 peratus pada 2022 kepada 2.7 peratus pada 2023, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA