Sime Darby Motors Melancarkan BYD Secara Rasmi Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Disember 2022 – Sime Darby Motors, bahagian automotif Sime Darby Berhad, dan BYD telah meraikan satu mercu jaya hari ini dengan membawa masuk kenderaan elektrik (EV) sulung BYD ke pasaran kenderaan penumpang di Malaysia.  BYD Energy Awaken ATTO 3, sebuah kenderaan utiliti sport (SUV) elektrik sepenuhnya, telah dilancarkan berikutan pelantikan Sime Darby Motors sebagai pengedar eksklusif rasmi kenderaan BYD di Malaysia. 

Bagi memacu pasaran EV di Malaysia, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan dalam masa dua tahun akan datang bagi mewujudkan rangkaian luas bilik pameran BYD serta infrastruktur mengecas bagi memenuhi permintaan EV di negara ini yang semakin meningkat, dengan bilik pameran pertama dijangka dibuka pada pertengahan Disember 2022 di TREC KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tiga lagi bilik pameran akan dibuka di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor menjelang separuh pertama 2023. Menjelang akhir 2023, dengan sokongan rakan kongsi pengedar, Sime Darby Motors dan BYD menjangkakan bilik pameran di negara ini akan meningkat kepada 20. Jumlah ini akan meningkat dua kali ganda pada 2024.

Kerjasama Sime Darby Motors dan BYD adalah sebahagian daripada komitmen syarikat automotif itu untuk mempercepatkan peralihan kepada EV dan menerajui kaedah pengangkutan rendah karbon yang mesra alam di Malaysia pada masa akan datang. Dengan kemunculan EV BYD yang bakal mempelopori sektor ini ke pasaran, Sime Darby Motors merintis jalan untuk memacu ekosistem EV Malaysia dan menyokong pembangunan negara sebagai hab lestari di rantau ini. Langkah tersebut juga bakal meluaskan operasi global BYD. Usaha ini juga bakal meluaskan operasi global BYD. 

Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah hadir untuk merasmikan majlis pelancaran. Turut hadir untuk meraikan mercu jaya ini ialah YBhg. Dato’ Zailani Hj. Hashim Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Darby Motors; Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia; Liu Xueliang, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD; dan Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT. BYD Motor Indonesia.

Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Darby Motors berkata, “Sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi pemimpin dalam sektor EV dan mencapai aspirasi EV Malaysia, kami teruja untuk membuka lembaran baharu ini bersama BYD berikutan kejayaan kami di Singapura. Dengan setengah bilion ringgit yang akan dilaburkan ke arah rancangan perkembangan untuk jenama di sini, ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap tarikan universal jenama itu. Barisan kenderaan bertaraf dunia BYD yang menampilkan spesifikasi premium pada harga yang menarik, dan ini akan membawa perubahan dalam merangsang penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia.” 

Liu Xueliang, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik mengulas, “Sebagai sebahagian daripada wawasan kami untuk membina masa depan lestari yang berpacukan tenaga elektrik, kami sukacita untuk mengukuhkan kerjasama kami dengan Sime Darby Motors untuk menceburi pasaran Malaysia. Dengan rekod pencapaian dan keupayaan terbukti Sime Darby Motors sebagai peserta serantau dalam industri automotif, terutamanya dengan rangkaian pengedarannya yang luas di Malaysia, dan digabungkan dengan teknologi perintis dan kepakaran BYD, kami bertekad untuk membekalkan kenderaan inovatif kepada pengguna Malaysia dan menyokong cita-cita negara ini mengurangkan penghasilan karbon.”

BYD ATTO 3  pacuan kuasa elektrik sepenuhnya ialah SUV pertama yang dibina berasaskan e-platform 3.0 lanjutan BYD. Kenderaan ini direka khas sebagai EV berprestasi tinggi, dengan tahap kepintaran, kecekapan dan keselamatan dan estetika yang tiada tandingan. Dengan julat bateri yang cemerlang, ATTO 3 boleh bergerak sehingga 480km sekali cas, membolehkan pemandu pergi lebih jauh dan menjimatkan masa pengecasan. Menampilkan reka bentuk moden dan anggun serta ciri-ciri pantas, bertenaga dan dinamik,  ATTO 3 mempertingkatkan taraf segmen SUV. 

BYD ATTO 3 boleh didapati dalam dua pilihan, berharga RM149,800 untuk Pilihan Standard (Standard Range) dan RM167,800 untuk Pilihan Lanjutan (Extended Range). Untuk maklumat lanjut sila layari http://byd.simedarbymotors.my/ atau ikuti perkembangan terkini di www.facebook.com/BYDCarsMalaysia atau www.instagram.com/bydcarsmalaysia/.

Mereka yang berminat boleh melayari https://byd.simedarbymotors.my/book-a-test-drive untuk membuat janji temu bagi memandu uji BYD ATTO 3.

Mengenai Sime Darby Motors 

Sime Darby Motors adalah salah satu daripada kumpulan automotif yang terkemuka di Asia Pasifik, mewakili jenama-jenama mewah seperti BMW, Rolls-Royce, Jaguar, Land Rover dan Porsche; jenama pasaran umum seperti BYD, Ford dan Hyundai, dan juga kenderaan komersial. Sime Darby Motors terlibat secara aktif dalam perniagaan automotif dari segenap sudut – daripada import dan pemasangan, kepada pengedaran, peruncitan dan sewa. Operasi runcitnya menyediakan kemudahan terbaik dan terkini di rantau ini. Di Malaysia, Sime Darby Motors mengendalikan 29 pusat jualan yang mewakili jenama BMW, MINI, Hyundai, Ford, Jaguar, Land Rover, Porsche, Volvo, BYD dan Auto Selection.

Mengenai BYD 

BYD ialah sebuah syarikat teknologi tinggi yang mengkhusus dalam inovasi teknologi untuk menambah baik kehidupan. Ditubuhkan pada tahun 1995 sebagai pembuat bateri boleh dicas semula, BYD kini mempunyai skop perniagaan yang pelbagai meliputi kereta, transit kereta api, tenaga baharu dan elektronik, dengan lebih 30 taman perindustrian di China, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Brazil, Hungary dan India. Baik penjanaan dan simpanan tenaga mahupun aplikasinya, BYD berusaha gigih untuk menyediakan penyelesaian tenaga emisi sifar yang mengurangkan pergantungan global terhadap bahan api fosil. Kenderaan tenaga baharunya kini meliputi 6 benua, lebih 70 negara dan wilayah, dan lebih 400 bandar. Disenaraikan di kedua-dua Bursa Saham Hong Kong dan Shenzhen, syarikat itu dikenali sebagai perusahaan Fortune Global 500 yang melaksanakan inovasi untuk mewujudkan persekitaran yang lebih hijau.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.