Pulau Pinang Catat Pelaburan Pembuatan Diluluskan RM411.8 Juta Dari China


GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) — Pulau Pinang mencatat pelaburan pembuatan diluluskan bernilai RM411.8 juta dari China bagi tempoh separuh pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata pada masa ini sebanyak 53 syarikat China beroperasi di Pulau Pinang iaitu masing-masing 46 terlibat dalam bidang pembuatan, lima dalam perkhidmatan perniagaan global manakala dua lagi dalam segmen logistik.

“Hubungan lama kita dengan China terus kukuh, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Dalam tempoh 10 tahun (2014-2023), Pulau Pinang mencatat sejumlah RM13.2 bilion (6.8 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan membabitkan pelaburan pembuatan dari China dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun 50.5 peratus,” katanya pada majlis meraikan ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China di sini, malam ini.

Chow berkata Pulau Pinang akan terus mengalu-alukan pelaburan strategik dari China dalam sektor yang digalakkan, khususnya yang dapat menjana kesan pengganda dari segi kaitan ekosistem, nilai tambah tinggi, pendedahan rantaian nilai global serta peluang penyetempatan rantaian bekalan.

Menyentuh bidang pelancongan, beliau berkata dalam tempoh lapan bulan pertama 2024, Pulau Pinang menerima masing-masing 74,891 dan 8,391 pelawat China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Terminal Kapal Pesiaran Swettenham Pier (SPCT).

“Ini merupakan peningkatan ketara berbanding tempoh masa sama pada tahun lepas iaitu masing-masing 21,529 (PIA) dan 5,819 (SPCT). Sehubungan itu, faktor-faktor ini terus menjadi asas kepada kerjasama kukuh kita,” katanya.

Sementara itu Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin berkata Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak telah menyaksikan kemajuan berterusan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala di rantau ini dengan aliran perusahaan China terus hadir melakukan tinjauan pelaburan ke negeri-negeri itu.

Pada masa sama, katanya, perusahaan China yang sudah beroperasi di daerah konsular itu juga memutuskan untuk meningkatkan pelaburan dan mengembangkan perniagaan bagi menyokong kemajuan ekonomi tempatan.

Zhou berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala China-Malaysia melonjak kepada US$135.23 bilion (US$1=RM4.155) yang juga peningkatan 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. 

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia serta sumber FDI utama dan tahun lepas menyaksikan China antara lima sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai US$3.15 bilion.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

WE2025 Umum Berjaya Food Sebagai Penaja Korporat

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) diumumkan sebagai penaja korporat bagi Persidangan Kepimpinan WE2025: Future in Motion, yang akan diadakan pada 25-26 Nov, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu, turut diumumkan rakan kongsi strategik baharu persidangan termasuk Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Polity, Peniagawati, Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China, Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antarabangsa Wanita (WISTA Malaysia), WEConnect International serta rakan media Ekonomi Rakyat.

Pengarah Projek WE2025 Michelle Lau berkata kisah BFood sentiasa berkaitan dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman sambil menyokong inisiatif yang mewujudkan penanda aras baharu bagi tanggungjawab korporat.

“Ia menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memberi inspirasi kepada orang lain dan mencetuskan perkongsian yang melangkaui sempadan mana-mana kedai atau pejabat apabila mereka menerapkan unsur keterangkuman dalam nilai utama mereka.

“Atas sebab itulah, perkongsian mereka dengan WE2025 sebagai entiti korporat amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman penajaan, rakan kongsi dan inisiatif komuniti WE2025 di sini hari ini.

WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia (Qube Integrated), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Dalam satu kenyataan, ia berkata acara julung kali itu menyasarkan untuk menarik 10,000 penyertaan dan menyelaraskan potensi pelaburan serta perdagangan berjumlah RM100 juta.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 39.5 peratus daripada ekonomi negara, dengan usahawan wanita memainkan peranan yang semakin penting iaitu setakat 2022 lebih 20 peratus daripada perniagaan dimiliki oleh golongan wanita.

“Dalam konteks ini, WE2025 menjadi platform penting untuk menyediakan PKS dengan pendedahan peringkat kebangsaan sambil melengkapkan usahawan wanita dengan bimbingan dan pandangan bersesuaian daripada pemimpin industri yang berkongsi kisah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Qube Integrated Jessie Tan berkata WE2025 mempunyai potensi dan berpeluang menjadi titik perubahan penting bagi wanita yang terlibat dalam perdagangan dan kepimpinan, kerana ia membolehkan perniagaan, pembuat dasar dan media bekerjasama bagi mewujudkan peluang dan menyuarakan pandangan yang penting.

Beliau berkata persidangan itu akan menjadi acara penting bagi keusahawanan dan kepimpinan wanita di Malaysia – yang terbesar seumpamanya-kerana ia dapat memacu hasil bagi memupuk perkongsian rentas sempadan dan antara industri, mengukuhkan kepimpinan dan mempamerkan inovasi yang inklusif.

“Dengan gabungan suara dan peluang yang akan dipamerkan, kami yakin WE2025 boleh membuktikan bahawa ia penting dalam membentuk masa depan dan gerakan perdagangan, kepimpinan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.

WE2025 menampilkan empat komponen utama iaitu Ekspo Perdagangan dan Pelaburan WE2025 yang akan melibatkan lebih 100 pempamer, dan Persidangan Kepimpinan WE2025 yang mengumpulkan 1,000 delegasi dari pelbagai sektor.

Selain itu, ia turut melibatkan WE dalam Dialog dengan lebih 10 acara utama dan WE dalam Pertukaran, yang menawarkan padanan perniagaan terpilih bagi memupuk perkongsian dan perdagangan.
–BERNAMA