Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$112.9 Bln Setakat 31 Julai 2023

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$112.9 bilion setakat 31 Julai 2023, berbanding US$111.8 bilion (US$1=RM4.56) pada 14 Julai, 2023.

Bank pusat itu berkata paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.1 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (US$100.7 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$2.4 bilion), dan aset-aset rizab lain (US$2.7 bilion).

Sementara itu, jumlah aset berjumlah RM627.66 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM529.26 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.59 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.66 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM58.01 bilion). 

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM183.56 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.44 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM174.72 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM9.27 bilion), deposit-deposit lain (RM37.22 bilion), kertas Bank Negara (RM29.75 bllion), peruntukan SDR (RM29.96 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.64 bilion).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA