EVE Energy Bina Kilang Pembuatan Baharu Bernilai US$422 Juta Di Kedah

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Pengeluar bateri litium global, EVE Energy Co Ltd, hari ini mengumumkan majlis pecah tanah bagi kilang pembuatan baharunya dengan pelaburan awal sebanyak US$422 juta (RM1.924 bilion) di Kulim, Kedah.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan bersama berkata, kemudahan baharu itu, yang akan menjadi kilang ke-53 EVE, bakal menumpukan pada pengeluaran bateri litium ion silinder untuk menyokong alatan kuasa dan pembuatan kenderaan beroda dua elektrik di negara ini dan di seluruh Asia Tenggara.

Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn Bhd Joe Chen berkata projek awal itu akan dibina secara berperingkat dan tempoh pembinaan tidak akan melebihi tiga tahun. 

“Ini merupakan satu peristiwa penting bagi EVE untuk mengembangkan perniagaan global kami, meningkatkan daya saing komprehensif dan mengembangkan lagi bahagian pasaran global kami.

“Bersandarkan kepada kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, kami akan membina kilang pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan beroda dua elektrik dan alatan kuasa di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (pembangunan pelaburan) MIDA Lim Bee Vian berkata projek tersebut sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP) ke arah mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050.

“Dengan pembinaan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, ia menunjukkan komitmen kita terhadap daya saing di pasaran antarabangsa.

“Upacara hari ini menandakan peristiwa penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada EVE tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.