Sektor Pembuatan Malaysia Lapor Situasi Tidak Banyak Berubah Pada Mei 2022

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Perniagaan memberi isyarat bahawa sektor pembuatan Malaysia mengalami keadaan permintaan berkurangan pada pertengahan suku kedua 2022 ekoran kapasiti produktif dikekang oleh tekanan harga dan kekurangan bekalan.

Menurut S&P Global tahap pengeluaran mencatatkan penyederhanaan selanjutnya yang merupakan yang kelima dalam beberapa bulan, manakala pertumbuhan pesanan baharu susut ketara mulai April 2022.

“Kekurangan kapasiti produktif juga berlanjutan ke dalam pasaran buruh apabila kadar pekerjaan susut dengan pantas kepada paling ketara sejak Ogos 2020,” jelasnya.

Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim susut daripada 51.6 pada April kepada 50.1 pada Mei 2022, menunjukkan situasi pengoperasian pembuatan mengalami tidak banyak perubahan secara keseluruhannya.

“Pertumbuhan pesanan baharu juga lembap ketika tempoh tinjauan terkini,” menurut S&P Global dalam nota penyelidikannya pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan, S&P Global Market Intelligence, Chris Williamson berkata perintah sekatan pergerakan di China khususnya terus memburukkan keadaan bekalan di samping kesukaran penyumberan pekerja dan ini mengakibatkan aliran pengeluaran sektor pembuatan merosot.

Beliau berkata bagaimanapun, kalangan syarikat menjadi lebih optimis mengenai unjuran.

“Optimis itu disokong jualan eksport yang lebih kukuh serta tanda-tanda kemungkinan kelewatan bekalan dan inflasi kos input telah berada di kemuncaknya.

“Rantaian bekalan mengalami kelewatan kepada tahap sekurang-kurangnya hampir setahun pada Mei, dan kos input meningkat walaupun kadar paling perlahan sejak September lepas, kedua-duanya memberi petunjuk bahawa krisis bekalan dan inflasi mungkin mula reda,” katanya.

Menurut S&P Global, pembuat juga melaporkan kekurangan bahan mentah dan kenaikan harga telah menjejaskan permintaan pelanggan dan kapasiti pengeluaran.

Sementara itu, permintaan asing untuk barangan perkilangan Malaysia terus meningkat pada Mei.

Kadar pertumbuhan meningkat dari angka yang dicatatkan pada April untuk mencecah paling ketara bagi 13 bulan apabila beberapa kalangan panel melaporkan permintaan lebih kukuh dalam pasaran utama di luar China apabila kesan pandemik reda, menurut firma itu.

Ia menambah, walaupun terdapat pelaksanaan semula sekatan pergerakan di China, pihak pembuat semakin yakin bahawa pengeluaran akan meningkat pada tahun depan, di samping berharap dengan berakhirnya pandemik itu akan mendorong pelonggaran perintan sekatan sepenuhnya.

“Ini akan membantu pemulihan menyeluruh ke atas permintaan pasaran dan rantaian bekalan,” jelasnya.

— BERNAMA

Berita asal:

https://thekapital.my/sektor-pembuatan-malaysia-lapor-situasi-tidak-banyak-berubah-pada-mei-2022/

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA