
KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Muhammad Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA), Pakistan pada 6 Oktober 2025 di Putrajaya. Pertukaran MoU di antara YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan TYT Syed Tariq Fatemi, Special Assistant to the Prime Minister of Pakistan on Foreign Affairs ini adalah bersempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober 2025.
1 MoU ini mewujudkan rangka kerja asas untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempercepat pembangunan PKS di kedua-dua negara. Kerjasama ini menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutamanya dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran. Matlamat kedua-dua organisasi adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan PKS di kedua-dua negara dipertingkat untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ekonomi.
Pemeteraian MoU antara Malaysia dan Pakistan ini membuka potensi pertumbuhan yang kukuh untuk PKS kedua-dua negara. Dengan populasi penduduk Pakistan yang besar dan muda, kemajuan urbanisasi serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, ianya menyumbang kepada perkembangan permintaan pasaran seperti makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan (modest wear) dan teknologi bersih (clean technology). Kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan inovasi digital juga memberikan kelebihan daya saing kepada PKS untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.
“Kami melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan. Ini termasuk dalam bidang yang mempunyai kelebihan daya saing berikutan peningkatan permintaan di Pakistan seperti pakaian sopan (modest wear) berjenama, perkhidmatan platform (platform services), pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS”, menurut YBrs. Encik Rizal.
MoU ini menandakan komitmen padu kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan menyediakan sokongan untuk pertumbuhan dan kemakmuran PKS. SME Corp. Malaysia kekal komited menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan melalui penyelarasan yang berkesan dan penyediaan sokongan perniagaan, yang kini bakal dipertingkat melalui kerjasama antarabangsa strategik dengan SMEDA, Pakistan.