UOB Malaysia Dan PAAB Lancar Program Pembiayaan Vendor Untuk Perkukuh Rantaian Bekalan Infrastruktur Air

Kuala Lumpur, Malaysia, 6 April 2026 – UOB Malaysia dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini melancarkan Program Pembiayaan Vendor UOB-PAAB (Program) yang bertujuan meningkatkan akses pembiayaan untuk pembekal dan vendor dalam ekosistem rantaian bekalan PAAB. Selaras dengan pelancaran Program tersebut, Bank akan menyediakan pembiayaan kepada vendor PAAB yang menyertai kemudahan Aku Janji Pembayaran Tak Boleh Batal Pembiayaan Pembekal (Supplier-Financing Irrevocable Payment Undertaking atau SF-IPU).

Di bawah Program ini, para vendor yang kebanyakannya terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), berada dalam kedudukan lebih baik untuk mendapat pembiayaan, menjadikannya lebih mudah bagi mereka dipilih untuk projek baharu. Program ini juga menawarkan fasiliti pembiayaan yang dipermudahkan selepas penghantaran. Berlandaskan aku janji pembayaran projek PAAB, Program ini menawarkan pembiayaan tanpa berbantuan yang kompetitif bagi membantu vendor menguruskan aliran tunai dengan lebih baik, mengurangkan kekangan kewangan sambil mengekalkan kesinambungan operasi.

Encik Lucas Chew, Ketua Negara Perbankan Transaksi, UOB Malaysia, berkata, “Pelancaran Program Pembiayaan Vendor dengan PAAB menunjukkan komitmen UOB Malaysia untuk meningkatkan ekosistem infrastruktur air negara di samping menyokong pembekal dan vendor yang memainkan peranan penting dalam penyediaan projek air negara.

“Dengan menawarkan pembiayaan yang boleh diramal dan tanpa berbantuan serta mendigitalkan proses rantaian bekalan utama, kami membantu vendor mengurus aliran tunai dengan lebih cekap, memendekkan kitaran pemprosesan dan meningkatkan kesiapsiagaan operasi keseluruhan. Ini membawa kepada pelaksanaan yang lebih pantas, daya tahan rantaian bekalan yang lebih kukuh dan ekosistem yang lebih baik, sekali gus menyokong pembangunan jangka panjang infrastruktur air dengan lebih berkesan di Malaysia.”

Malaysia terus memberi keutamaan kepada usaha pengembangan dan penaiktarafan infrastruktur air negara, di mana lebih 700 projek berkaitan air telah dilancarkan di bawah pelan pembangunan baru-baru ini. Akses kepada modal kerja dan pembiayaan yang cekap amat penting dalam membantu vendor beroperasi dengan lancar, memenuhi garis masa projek dan menyokong pertumbuhan sektor.

Pelancaran Program ini sememangnya tepat pada masanya kerana ia memperkukuh penyampaian projek, meningkatkan kesediaan rantaian bekalan selain menyumbang kepada usaha lebih luas Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan, kualiti dan kemampanan jangka panjang dalam industri perkhidmatan air di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Puan Zaleha Abdul Hamid, Ketua Pegawai Kewangan, PAAB, berkata, “Program ini secara langsung mengukuhkan keupayaan pelaksanaan projek PAAB dengan meningkatkan kesiapsiagaan kewangan para vendor.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia dalam program ini kerana ia berupaya membantu kontraktor, perunding dan pembekal kami mengurus aliran tunai, mengendalikan kos yang semakin meningkat dan merancang kerja mereka dengan kepastian yang lebih tinggi dari segi kewangan. Selain itu, Program ini membolehkan vendor kami menyampaikan perkhidmatan dengan lebih dipercayai, justeru menyumbang kepada pelaksanaan projek yang lebih lancar di seluruh negara. Inisiatif ini adalah sejajar dengan komitmen PAAB untuk menyediakan infrastruktur air yang mampan, cekap dan berkualiti tinggi kepada komuniti kami.”

Pelancaran ini merupakan peristiwa penting dalam kerjasama antara UOB Malaysia dan PAAB, selain memperkukuh komitmen bersama mereka dalam menyokong sektor air Malaysia melalui inovasi kewangan, kecekapan operasi dan pembangunan ekosistem.

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.