Pengelasan Semula Data Dagangan Ekuiti Berkuat Kuasa Pada 6 April 2026

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) telah melaksanakan pengelasan semula data dagangan pelabur ekuiti berkuat kuasa hari ini, bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai penyertaan pelabur dan aliran dana merentas segmen runcit, institusi dan domestik.

Pengelasan semula ini meningkatkan ketelitian statistik penyertaan pelabur dan aliran dana dengan memperhalusi cara aktiviti dagangan di peringkat transaksi diklasifikasikan dan dikaitkan merentas segmen pelabur. Ini merupakan kemas kini pertama bagi pengasingan pelabur sejak statistik ini diperkenalkan pada tahun 2008.

Pengelasan semula ini memperkenalkan perubahan berikut:
• Pengasingan akaun penama: Dagangan penama kini dikategorikan sama ada sebagai runcit atau institusi di peringkat transaksi, berdasarkan maklumat pemilik benefisiari akhir yang diberikan oleh Organisasi Peserta. Sebelum ini, semua dagangan penama diklasifikasikan sebagai pelabur institusi.

• Gambaran lebih tepat terhadap aktiviti pelaburan domestik: Institusi milik asing yang diperbadankan di Malaysia diklasifikasikan berdasarkan sumber dana pelaburan di peringkat transaksi, berpandukan tempat pemerbadanan. Ini lebih sejajar dengan data pegangan saham yang direkodkan pada tarikh penyelesaian (T+2). Sebelum ini, semua dagangan oleh institusi milik asing tanpa mengira tempat pemerbadanan diklasifikasikan sebagai asing.

Pelaksanaan ini hanya terpakai kepada pelaporan data penyertaan pelabur di peringkat transaksi dan tidak mengubah data jumlah nilai dagangan harian. Ia juga tidak memberi kesan kepada data pegangan saham.

Pengelasan semula ini, yang sebelum ini diumumkan pada 24 Februari 2026, adalah tepat pada masanya memandangkan peningkatan penggunaan struktur penama dalam beberapa tahun kebelakangan ini khususnya selari dengan pertumbuhan platform broker digital serta kemajuan dalam keupayaan pelaporan yang membolehkan pengelasan lebih terperinci di peringkat transaksi dilaksanakan secara konsisten. Bursa Malaysia akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan bagi menyokong pemahaman terhadap data yang telah diklasifikasikan semula serta penafsiran aktiviti pasaran yang lebih baik.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengelasan semula ini, pembaca boleh merujuk kepada Soalan Lazim yang tersedia di laman web Bursa Malaysia di LINK.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.