Sekolah Sarawak Dinobatkan Sebagai Juara Kebangsaan VIA Safe Mobility 2025

Petaling Jaya, Januari 8, 2025 – TotalEnergies, bersama Arus Academy, terus memperkukuh pembelajaran dan kepimpinan murid melalui VIA Safe Mobility, sebuah inisiatif pendidikan global bertujuan menambahbaik tahap keselamatan mobiliti bagi golongan muda. Kini menjelang tahun keempat pelaksanaan di Malaysia, Pasukan Safety Squad dari SJKC Chung Hua Tudan, Miri, Sarawak, merupakan  Juara Kebangsaan program VIA bagi tahun 2025 atas inisiatif advokasi yang berimpak tinggi serta penglibatan aktif warga sekolah.

Sebagai pemenang kebangsaan, sekolah tersebut telah menerima geran bernilai EUR 5,000 daripada TotalEnergies untuk melaksanakan dan mempromosikan inisiatif keselamatan jalan raya di persekitaran sekolah mereka. Penyertaan mereka juga menandakan detik membanggakan bagi Malaysia di peringkat akhir antarabangsa serantau VIA Safe Mobility, di mana mereka bersaing dalam kumpulan bersama juara kebangsaan dari negara India, Iraq, dan Romania — sebahagian daripada penglibatan 24 buah negara di bawah program ini.

“Keselamatan adalah nilai tunjang di TotalEnergies, terutamanya bagi komuniti di mana kami beroperasi,” kata Patricia Law, Pengarah Jualan TotalEnergies Marketing Malaysia. “Program VIA Safe Mobility mencerminkan komitmen kami untuk melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan praktikal dan tabiat bertanggungjawab bagi menyokong perjalanan yang lebih selamat setiap hari. Kami berharap dapat terus memperkasakan murid untuk membina persekitaran sekolah yang lebih selamat serta menjadi pendorong kepada perubahan positif.”

“Di Arus Academy, kami percaya bahawa setiap murid dapat belajar dengan baik apabila mereka diberikan peluang untuk menyelesaikan masalah sebenar yang penting bagi mereka,” kata David Chak, Pengasas Bersama Arus Academy. “Program VIA Safe Mobility merupakan bukti keberkesanan pendekatan ini. Setiap tahun, kami dapat menyaksikan murid mengambil tanggungjawab terhadap projek mereka, mengasah pemikiran kritis , dan bekerjasama demi mobiliti yang lebih selamat. Usaha pasukan Safety Squad adalah contoh terbaik bagaimana pembelajaran autentik boleh menghasilkan impak yang bermakna.”

SJKC Chung Hua Tudan yang mempunyai lebih 1,200 murid terletak di pinggir Jalan Pintas Kuala Baram yang sesak dan muridnya berdepan dengan risiko keselamatan setiap hari. Laluan tersebut merupakan antara lima kawasan ‘blackspot’ atau lokasi kerap kemalangan di Miri, menjadikan usaha advokasi keselamatan jalan raya sangat kritikal bagi sekolah ini.

Menyedari hakikat ini, pasukan Safety Squad telah menumpukan projek VIA mereka kepada cabaran mobiliti di sekitar sekolah. Di bawah bimbingan guru, pasukan yang terdiri daripada 10 orang ahli ini telah melaksanakan audit pemerhatian di kawasan menurunkan penumpang serta zon pejalan kaki bagi mendokumentasikan aliran kenderaan semasa waktu puncak. Antara cadangan utama yang dikemukakan termasuk pembinaan lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah. Selain itu, mereka turut mengenalpasti risiko tingkah laku yang kritikal, khususnya tahap kesedaran keselamatan yang rendah serta penggunaan topi keledar yang usang atau rosak dalam kalangan murid Tahun 1 hingga Tahun 3.

Sebagai langkah susulan, pasukan ini telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Bandaraya Miri (MCC) bagi memohon pembinaan lintasan zebra di hadapan sekolah. Mereka turut melancarkan kempen keselamatan menyeluruh bertemakan “See + Go = Safe. Helmet On, Worries Gone,” yang menyepadukan elemen pendidikan dengan penglibatan aktif komuniti. Antara pengisian utama kempen tersebut ialah penganjuran ‘Kem Mobiliti Selamat VIA’ yang melibatkan lebih 1,200 murid, pertandingan melukis, serta perhimpunan keselamatan jalan raya interaktif. Program ini turut diperluaskan melalui Karnival Keselamatan Jalan Raya komuniti, acara Walk for Safe Mobility di Taman Bulatan Miri, serta sesi perkongsian rakan sebaya di SMK Pujut Miri yang berjaya menjangkau 1,000 pelajar sekolah menengah.

Inisiatif ini telah membuahkan hasil apabila pihak majlis bandaraya kini sedang menjalankan penilaian teknikal bagi pembinaan lintasan pejalan kaki khas di hadapan SJKC Chung Hua Tudan. Sebagai maklum balas langsung kepada permohonan para murid tersebut, barisan jurutera telah pun menyelesaikan proses pengukuran tapak peringkat awal.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.