Amanah Hartanah Bumiputera Umum Agihan Pendapatan Interim 2.50 Sen Seunit

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan PHB Asset Management Bhd (PHBAM) mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana unit amanah patuh syariah, untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2026.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PHB dan PHBAM berkata agihan itu merangkumi pendapatan sebanyak 2.06 sen seunit serta bonus 0.44 sen seunit, dengan bonus tersebut ditanggung oleh PHB selaku penaja dan dibayar bagi pegangan satu juta unit pertama setiap pemegang unit.

“Sejumlah RM118.74 juta akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 pemegang unit, menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan AHB sejak penubuhannya pada 2010 sebanyak RM2.5 bilion,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata agihan pendapatan akan dibayar dalam bentuk unit kepada pelabur yang memegang kurang daripada 10,000 unit, manakala mereka yang memiliki 10,000 unit dan ke atas akan menerima bayaran tunai yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing pada 13 April, 2026.

“Agihan ini adalah bersih selepas cukai dan zakat, sekali gus membolehkan pemegang unit menerima agihan bersih tanpa perlu menolak zakat atau kewajipan lain,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Mazuki Abdullah @Muhammad berkata agihan tersebut mencerminkan daya tahan portfolio AHB serta pendekatan berdisiplin PHB dalam mengdepani persekitaran pasaran yang dinamik.

“Disokong portfolio aset komersial utama yang pelbagai, kami kekal komited untuk memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pemegang unit,” katanya.

Beliau berkata AHB terus membuktikan kekukuhannya sebagai dana unit hartanah patuh syariah yang menawarkan nilai berdaya saing kepada pelabur bumiputera, disokong pengurusan aset yang berkesan serta strategi pelaburan jangka panjang.

“PHB akan terus memperkukuh portfolio menerusi strategi agihan aset yang tersusun, pengurusan modal berhemat serta pemerolehan dan pelupusan aset secara berdisiplin bagi memastikan AHB kekal berada pada kedudukan baik untuk memberikan pulangan agihan pendapatan mampan, di samping menyokong agenda nasional penciptaan kekayaan Bumiputera,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM Zulkifli Ishak berkata selaku pengurus dana AHB, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada inisiatif celik kewangan dan program kesedaran bagi menekankan kepentingan perancangan kewangan yang kukuh, selain memperluas akses kepada komuniti Bumiputera.

Beliau berkata usaha itu akan disokong strategi pemasaran yang lebih agresif bagi memperluas jangkauan dan menggalakkan penyertaan berterusan.

Pemegang unit boleh menyemak agihan pendapatan masing-masing mulai 13 April 2026 menerusi pengedar sah AHB iaitu PHBAM melalui www.myahb.my, selain Maybank, AmBank, Bank Islam dan Bank Kerjasama Rakyat.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Khidmat Pelanggan PHBAM di talian 03-7734 0555 atau melayari www.phbam.com.my.
– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.