
KUALA LUMPUR, 5 Januari 2026 – CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (“CGS MY”) memulakan tahun 2026 dengan momentum baharu susulan peralihan kepimpinan yang diumumkan pada 25 November 2025. Khairi Shahrin Arief bin Baki telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) manakala Alan Inn Wei Loon sebagai Ketua Negara (Country Head).
Dalam peranan masing-masing, Khairi akan mengetuai perniagaan strategik dan operasi tempatan, sementara Alan memberi tumpuan kepada sokongan pertumbuhan serantau dan rentas sempadan. Perubahan ini mempercepatkan langkah CGS MY seiring permulaan tahun baharu.
Khairi berkata, “Pengerusian ASEAN oleh Malaysia serta tema pertumbuhan dalam teknologi digital, peralihan tenaga dan penjagaan kesihatan telah membawa CGS MY ke beberapa pencapaian penting pada tahun 2025. Pada 2026, kami menantikan untuk berkongsi hasil progresif daripada usaha-usaha ini, ketika CGS MY terus berperanan sebagai pintu masuk penting untuk menghubungkan dan memudah cara perkongsian strategik serta aliran modal bagi merealisasikan aspirasi ekonomi Malaysia yang bernilai tinggi dan berpertumbuhan pesat.
Dengan warisan unik China-ASEAN CGS MY, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong Malaysia dan perniagaan tempatan dalam menjalin kerjasama dengan syarikat China merentasi pelbagai industri seperti teknologi digital, tenaga boleh baharu dan kecerdasan buatan (AI) – sama ada dari perspektif G2G, B2G atau runcit. Pada tahun 2025, kami melaksanakan lapan Memorandum Persefahaman bersama pelbagai institusi awam dan swasta, termasuk kerjasama dengan Bursa Malaysia dan Fullgoal Asset Management (HK) Ltd yang berpangkalan di Shanghai bagi memudah cara penyenaraian dana dagangan bursa berasaskan aset luar negara.
Kami juga berusaha memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam evolusi landskap kewangan yang pesat. CGS MY akan terus memperluas inisiatif literasi kewangan. Tahun baharu ini akan menyaksikan pelancaran kempen-kempen baharu dan menarik, dengan memanfaatkan pelbagai strategi seperti gamifikasi kandungan pendidikan bagi melibatkan golongan belia dan dewasa yang mencari pengetahuan asas kewangan dengan lebih berkesan.”
Di bawah peranan terdahulu Khairi sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, CGS MY telah memajukan perniagaan runcit, institusi dan pengurusan kekayaan persendirian melalui penyelesaian inovatif dan relevan dengan pasaran, termasuk dalam kewangan Islam serta bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Pada tahun 2025, CGS MY melancarkan dagangan pecahan (fractional trading) di aplikasi UP bagi 30 syarikat teratas Bursa Malaysia, satu inisiatif pertama dalam pasaran yang bertujuan meningkatkan literasi pelaburan dalam kalangan golongan muda dan pelabur kali pertama melalui akses pasaran yang lebih baik, disokong oleh kandungan terpilih daripada pasukan penyelidikan CGS International yang memenangi anugerah.
Sebagai CEO baharu CGS MY, Khairi akan terus memacu kecemerlangan strategik dan operasi dengan penekanan kukuh terhadap tadbir urus peraturan serta peluasan pasaran.
“Seperti yang diketengahkan dalam Laporan Navigating Malaysia CGS MY, kami memasuki tahun 2026 dengan asas yang kukuh, dengan sasaran KLCI ditetapkan pada paras 1,810. Ini disokong oleh pendedahan Malaysia yang rendah terhadap risiko tarif global, pengecualian tarif timbal balik Amerika Syarikat yang menggalakkan dalam ASEAN, kestabilan ringgit hasil jurang kadar faedah AS–Malaysia yang semakin mengecil, serta persekitaran dasar yang stabil. Dengan latar belakang ini, kami bergerak pantas untuk memanfaatkan sentimen semasa dan merebut peluang lebih awal pada tahun baharu,” kata Khairi.
Sementara itu, Alan sebagai Ketua Negara akan menerajui pertumbuhan merangkumi pengurusan aset dan kekayaan, perbankan pelaburan, ekuiti persendirian serta peluang rentas sempadan, dengan memanfaatkan pengalaman luas beliau dalam perbankan pelaburan bagi mempercepatkan kerjasama serantau.
Alan berkata, “Saya teruja untuk bekerjasama dengan Khairi dan rakan sekerja yang dihormati ketika kami terus memacu kemajuan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama. Pasaran Malaysia terus mengatasi prestasi banyak rakan ASEAN, dan kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong perniagaan serantau yang melaksanakan strategi China Plus One, khususnya melalui inisiatif rentas sempadan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Melangkah ke hadapan, kami yakin mampu mencapai RM3 bilion aset di bawah pengurusan dalam tempoh tiga tahun, dipacu oleh peningkatan penyertaan pelabur dalam sektor domestik yang berdaya tahan serta pelaksanaan inisiatif strategik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.
Mempunyai rakan strategik dengan hubungan kukuh di China kini lebih penting berbanding sebelum ini. China terus mendahului dalam banyak sektor berkaitan teknologi dan tenaga boleh baharu, sekali gus membuka peluang besar untuk dihubungkan melalui inisiatif Jalur dan Laluan China 2.0. Ini merupakan peluang penting untuk pembangunan kapasiti, selain perkongsian kepakaran dan pengetahuan bagi mencontohi kejayaan tersebut di Malaysia. CGS MY berhasrat menghubungkan peluang ini dengan rakan tempatan, mengumpul modal melalui cabang perbankan pelaburan kami serta menyediakan akses kepada pelanggan untuk melabur dalam teknologi baru muncul melalui portfolio Pengurusan Aset dan Kekayaan kami.”
Khairi mengakhiri kenyataannya dengan berkata, “Dengan portfolio tempatan dan serantau CGS MY yang berkembang pesat serta aspirasi kami untuk menjadi rumah pelaburan global Asia, saya amat terdorong dengan sokongan dan keyakinan kukuh yang ditunjukkan oleh para pemegang kepentingan sepanjang peralihan kepimpinan ini. Alan dan saya akan terus memacu agenda pertumbuhan bercita-cita tinggi CGS MY ke hadapan.”
CGS MY akan memulakan tahun ini dengan penganjuran Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 pada 7 Januari 2026. Bertemakan “Racing Towards Singularity”, persidangan ini akan membincangkan inisiatif-inisiatif utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2026 seperti rangka kerja AI Nasional, Cukai Karbon dan lain-lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai Laporan Navigating Malaysia CGS MY, sila hubungi [email protected]










