E-Dagang Dan Brick-And-Mortar Perlu Wujud Bersama Demi Kerancakan Ekonomi

Walaupun ekonomi Malaysia kini sedang bangkit semula dengan unjuran pemulihan 6.5% hingga 7.5%* pada tahun 2021, perjalanan ini dijangka tidak menentu dan bergantung pada peningkatan kes Covid-19. Shopee, semasa pelancaran 12.12 Jualan Ulang Tahun, hari ini mengumumkan beberapa langkah yang dilaksanakan bersama perniagaan yang berasaskan kedai fizikal atau brick-and-mortar businesses, organisasi amal dan juga para pengguna yang penting kepada kerancakan ekonomi Malaysia.

Menurut Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh, banyak usaha harus dilakukan kerana ekonomi telah mengalami kerugian yang diunjurkan berjumlah hingga RM67 bilion* akibat kesan pelaksanaan PKPD dan PKPB. Permintaan konsumer yang lemah dan kecairan yang ketat telah menyebabkan perniagaan-perniagaan menghentikan operasi sama ada secara kekal atau sementara. Ia difahamkan bahawa sektor Makanan dan Minuman (F&B) telah mengurangkan sebanyak 35% daripada tenaga kerja mereka semasa PKP pada bulan Mac**.

Goh menambah, “Perbelanjaan penggunaan peribadi akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2021 yang dijangka merangkumi hingga 60%* daripada KDNK negara. Oleh itu, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian harus mencari kaedah baharu untuk berkembang maju dalam persekitaran pasca pandemik untuk mengekalkan pekerja mereka. Ini terutamanya kerana kadar pengangguran dan kehilangan sumber pendapatan mungkin menjejaskan kuasa pembelian pengguna yang penting untuk pertumbuhan ekonomi.”

“Salah satu cara adalah dengan mengintegrasikan strategi luar talian dan atas talian bagi mengatasi perubahan yang diwujudkan oleh kebiasaan baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital yang semakin meningkat. Sumbangan e-dagang kepada KDNK meningkat daripada RM89 bilion pada tahun 2015 kepada RM127 bilion atau 8.4%* daripada KDNK pada tahun 2019. Walaupun sumbangan jualan atas talian kepada jualan runcit secara keseluruhan masih kecil, ruang sememangnya wujud untuk ia menyaksikan pertumbuhan yang kuat,” katanya.

Oleh itu, Shopee telah menerajui usaha untuk membawa masuk atau onboard lebih daripada 1,000 perniagaan yang secara tradisionalnya beroperasi melalui kedai atau lokasi fizikal. Bersama dengan pusat membeli-belah, pawagam, kedai makanan dan minuman, stesen minyak, salon kecantikan, dan banyak lagi di seluruh negara, mereka berusaha untuk mengukuhkan ekosistem dan terus maju ke hadapan meskipun berada dalam keadaan ekonomi yang sukar. Shopee juga mengumumkan kerjasama baharu dan akan datang sempena 12.12 Jualan Ulang Tahun dengan rakan kongsi seperti:

Pusat Membeli-belah: Lot10, Quill City Mall, dan Tropicana Gardens Mall di Kuala Lumpur; Gurney Paragon Mall di Pulau Pinang, dan The Spring Mall di Sarawak

Pawagam: TGV Cinemas dan MBO Cinemas

Sektor Runcit: FamilyMart, Padini, Pandora, Mydin, Caring

Makanan & Minuman: Starbucks, Coca-Cola, Gong Cha, Kenny Rogers Roasters, Tealive

Kerjasama ini akan menyaksikan Shopee menggunakan kelebihannya untuk berinteraksi dengan pengguna atas talian secara serta-merta dan menggalakkan pembelian produk, tawaran set menarik dan baucar tunai. Ketua Pengurusan Peniaga Shopee Malaysia, Zed Li berkata, “Kami mempersoalkan bagaimana kami dapat menyumbang ke arah kelangsungan bagi perniagaan yang beroperasi secara fizikal, dan mendapati peluang untuk memanfaatkan trafik kami yang tinggi bagi menarik pelanggan untuk mengunjungi kedai mereka. Selain itu, para pengguna juga dapat memainkan peranan dalam membantu syarikat kegemaran mereka mengekalkan aliran tunai yang lebih stabil dengan membeli tawaran mereka secara atas talian sebelum ke kedai untuk membuat penebusan.”

Li menambah, “Sifat berdaya tahan dengan sendirinya pada saat krisis tidak bersifat mampan. Semua industri perlu menjangkaui batas dan berganding bahu demi melindungi masa depan ekonomi Malaysia dan kesejahteraan rakyatnya.”

Tambahan kepada tiket dan baucar, peruncit luar talian mampu mencapai pengunjung yang lebih ramai ke kedai mereka dengan sokongan pulangan tunai setiap hari hingga RM8 apabila pengguna melakukan transaksi menggunakan dompet mudah alih ShopeePay. Penekanan pada pembayaran tanpa sentuhan juga mendorong rakyat Malaysia untuk membeli-belah dan berbelanja dengan selamat dalam gelombang penularan jangkitan ketiga ini.

Shopee akan terus menyokong komuniti perniagaan, sama ada syarikat besar mahupun peniaga mikro menerusi insentif penjual dan pendidikan mengenai e-dagang seperti 12.12 Bengkel E-dagang Percuma yang dilancarkan baru-baru ini. Modul bengkel ini termasuk literasi digital, cara untuk meningkatkan jualan dan pendedahan semasa kempen dan banyak lagi.

Selain menyokong perniagaan, platform e-dagang tersebut mengumpul sokongan untuk golongan kurang bernasib baik serta memberi ganjaran kepada pengguna pada 12.12 Jualan Ulang Tahun ini.

Inisiatif Amal #ShopeeGivesBack: Pandemik Covid-19 juga telah memberi kesan kepada organisasi-organisasi amal. Banyak organisasi seperti ini sedang mengalami kesukaran untuk meneruskan operasi. Oleh itu, Shopee bekerjasama dengan lebih daripada 30 rumah dan organisasi amal seperti MERCY Malaysia dan Zoo Negara bagi mengumpul dana demi usaha masing-masing melalui #ShopeeGivesBack. Inisiatif ini disokong oleh ahli Shopee Selebriti Skuad seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Neelofa, Erma Fatima, Fahrin Ahmad, Irma Hasmie, Datin Rita Sosilawati dan Zoey Rahman. Shopee juga mensubsidi bayaran yang dikenakan bagi transaksi pembayaran untuk jangka masa 6 bulan demi mempertingkatkan lagi sokongannya kepada organisasi-organisasi ini.

Jualan Ulang Tahun untuk seluruh rakyat Malaysia: Melalui kerjasama dengan jenama, peruncit dan penjual, Shopee kini mengadakan perayaan terbesarnya untuk rakyat Malaysia sempena meraikan ulang tahunnya yang kelima. Dari sekarang hingga 12 Disember 2020, para pengguna dapat menikmati penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM12, tawaran RM1 semasa Jualan Kilat Shocking Sale, aiskrim FamilyMart percuma setiap hari daripada Shopee Farm, dan banyak lagi.

Shopee juga memperkenalkan rancangan permainan langsung baharu, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran wang tunai hingga RM12,000 kepada pengguna. Disiarkan di Shopee Live pada pukul 9 malam setiap hari Isnin hingga Khamis dengan sesi istimewa pada 11 dan 12 Disember, pengguna yang bertuah perlu menjawab satu soalan mudah sebelum diberi peluang untuk membuka satu daripada enam kotak yang disediakan. Setiap kotak mengandungi nilai yang berbeza dengan nilai tertinggi berjumlah RM12,000. Sejak dimulakan, rancangan permainan tersebut telah memberi ganjaran kepada dua orang peserta masing-masing dengan wang tunai sebanyak RM12,000.

Shopee juga menyajikan hiburan kepada penggunanya dengan rancangan countdown secara langsung – 12.12 Birthday Bash pada 11 Disember dari pukul 9 malam. Disiarkan di Shopee Live, Astro Ria, Astro Gempak dan YouTube, konsert ini dibarisi bintang ternama seperti Sheila Majid, Faizal Tahir, Ruffedge, Misha Omar, Khai Bahar dan Dolla. Para pengguna juga berpeluang memenangi 12 juta Syiling Shopee daripada Goyang Shopee dan Shopee Tangkap, serta hadiah wang tunai bernilai hingga RM24,000 dengan bermain Shopee Kotak Duit.

Rumus Li, “Tahun 2020 telah membuka mata kita dan menunjukkan kepentingan dan kemampuan teknologi untuk benar-benar membolehkan sesuatu perubahan positif. Kami terus komited dalam memacu pertumbuhan e-dagang pada tahun 2021 dan selanjutnya dengan membawa elemen ‘sentuhan manusia’ kepada pengalaman membeli-belah atas talian, memperibadikan serta mencipta perjalanan pelanggan yang lancar melalui pembayaran dan logistik bersepadu. Ciri-ciri yang menggalakkan penglibatan dan pengalaman inovatif yang menambah nilai kepada keseluruhan perjalanan membeli-belah di Shopee turut diperkenalkan. Ketika kita mengakhiri tahun ini dengan 12.12 Jualan Ulang Tahun, marilah kita terus menyokong antara satu sama lain, membantu mereka yang memerlukan dan menyambut tahun 2021 dengan semangat yang positif.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Shopee 12.12 Jualan Ulang Tahun, layari https://shopee.com.my/m/12-12

*Sumber: Menteri Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Penyelidikan Ekonomi & Pasaran Global UOB
**Sumber: Tinjauan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Mac 2020

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.