Hab Baharu GDEX Pertingkat Kapasiti Kepada 350,000 Penghantaran

PETALING JAYA, 30 Mei (Bernama) — Penyedia perkhidmatan penghantaran ekspres, GDEX Bhd menjangkakan kemudahan hab auto baharunya bernilai RM25 juta, dapat meningkatkan kapasiti pengisihannya kepada 350,000 penghantaran sehari dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teong Teck Lean berkata kemudahan pengisihan automatik sepenuhnya berukuran 145,000 kaki persegi itu menggunakan teknologi pintar dengan ketepatan 99.99 peratus bagi memendekkan masa.

Ini juga dapat mengurangkan risiko kerosakan bungkusan, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan kumpulan.

“Hab Auto GDEX ini melengkapkan lagi inisiatif transformasi GDEX 2.0 yang merangkumi pembinaan ekosistem logistik serba lengkap dan berasaskan teknologi dalam memenuhi keperluan pelanggan yang kian dinamik.

“Kami akan terus memanfaatkan asas dalam kejuruteraan proses dan penyepaduan penyelesaian teknologi terkini operasi untuk menawarkan aspek kelancaran dan kebolehpercayaan kepada perniagaan.

“Bersandarkan cara ini, kami secara strategik dapat mentransformasi kaedah penghantaran selain menggerakkan perniagaan secara lebih pantas lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian hab auto itu di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi GDEX Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Teong berkata dengan 30 peratus kapasiti lebih besar daripada hab sebelum ini di Petaling Jaya, Hab Auto GDEX tersebut menggunakan pengisih dua tingkat dengan talian rentas bagi memaksimumkan ruang kapasiti.

Selain itu, Hab Auto GDEX itu turut menggunakan kelengkapan mesra alam seperti forklift elektrik dan palet yang dijana oleh bateri boleh dicas semula yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GDEX untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi harian kumpulan.

“Sektor penghantaran pantas dan logistik kekal menjadi komponen penting dalam ekonomi negara serta menjadi tulang bekalang kepada kebanyakan perniagaan lain.

“Oleh itu, kami akan terus memainkan peranan aktif dalam perkembangan industri serta memperkukuh kedudukan sebagai peneraju di Asia Tenggara,” katanya.

Teong berkata  GDEX akan terus mengemudi inisiatif GDEX 2.0 untuk memupuk ekosistem berasaskan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, menyediakan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan serba boleh selain dapat mengembangkan jangkauan kepada pelbagai pelanggan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI