Kenanga Investors Lancarkan Kenanga Growth Fund Series 2

Kenanga Investors Berhad (“Kenanga Investors”) telah melancarkan Kenanga Growth Fund Series 2 (“KGFS 2” atau “Dana”).  Dana ini berusaha mencapai pertumbuhan modal jangka panjang bagi pelabur dengan melabur terutamanya dalam portfolio terpelbagai ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti syarikat-syarikat pertumbuhan Malaysia dan asing dengan model perniagaan yang mampan.

Strategi peruntukan taktikal Dana membolehkan portfolio berusaha mencapai pertumbuhan dalam keadaan pasaran yang positif dan juga melindungi modal dalam keadaan pasaran yang kurang baik. Prestasinya dinilai berasaskan tanda aras pertumbuhan 8% setahun* dan dibenarkan melabur sehingga 30% daripada dana dalam pelaburan serantau sebagai sebahagian daripada strategi peruntukan asetnya.

“Kami telah mencatatkan kejayaan besar melalui Dana utama kami, Kenanga Growth Fund (“KGF”) dan kami bercadang untuk menyusun langkah serupa dengan KGFS 2. Setakat ini, saiz dana KGF berjumlah RM1,395.68 juta sejak pelancarannya pada 2000. Ramai pelabur telah bertanya tentang kemungkinan melancarkan siri baharu ini dan kami gembira untuk menawarkannya kepada orang ramai pada waktu ini. KGFS 2 akan memanfaatkan sepenuhnya gaya pelaburan Kenanga Investors yang menggunakan kaedah pemilihan saham dari bawah ke atas dengan memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat dengan asas yang kukuh dan rekod pencapaian terbukti,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis.

Ketua Pegawai Pelaburan Lee Sook Yee mengulas, “Kami mencari syarikat berteraskan model perniagaan mampan, pendapatan telus dan lembaran imbangan kukuh apabila memilih saham. Selain daripada mencapai peningkatan modal menerusi pelaburan dalam syarikat yang berpotensi mencapai pertumbuhan di Malaysia dan luar negara, Dana ini berusaha mengurangkan risiko kejatuhan menerusi portfolio terpelbagai yang tidak dikekang oleh sebarang penanda aras.”

“Kami berusaha untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menyediakan penyelesaian bagi mempelbagaikan risiko portfolio mereka. Kami akan terus memanfaatkan model perniagaan berbilang sudut dan pengkhususan pelaburan kami untuk menawarkan campuran produk yang menyeluruh,” tambah Encik Ismitz.

Dana akan disediakan dalam kelas MYR dan USD sekali gus memberikan pilihan kepada pelabur untuk melabur dalam mata wang pilihan masing-masing. Jumlah pelaburan minimum ialah RM1,000 (kelas MYR) atau USD250 (kelas USD) dan ditawarkan di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut tentang Kenanga Investors, sila layari www.kenangainvestors.com.my.      

*Kadar ini bukan pulangan terjamin, tetapi penanda aras untuk mengukur prestasi Dana. Dana mungkin berjaya atau gagal mencapai pulangan terkompaun tahunan sasaran 8% setiap tahun tetapi menetapkan sasaran untuk mencapai tahap pertumbuhan ini dalam jangka panjang meliputi tempoh 3 – 5 tahun.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.