Sijil Pematuhan Cukai : Beruntungnya Peniaga Yang Patuh

Dalam pembentangan Bajet 2022 yang lalu kerajaan telah mencadangkan pengenalan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate sebagai sebahagian prasyarat untuk syarikat dan para pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan bermula pada 1 Januari 2023.

Hal ini bermakna, setiap pembekal atau syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada kerajaan adalah diwajibkan untuk memperolehi Sijil Pematuhan Cukai terlebih dahulu. Tanpa sijil ini pembekal atau syarikat berkenaan berkemungkinan tidak akan berjaya mendapat projek tersebut dan ia sudah pasti akan menjejaskan keuntungan mereka kerana tidak lagi berpeluang untuk membuat urusniaga dengan kerajaan.

Apakah Sijil Pematuhan Cukai & Bagaimana Serta Mengapa Ia Dilaksanakan?

Sijil Pematuhan Cukai merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sebagai bukti bahawa pembayar cukai telah memfailkan dan membayar semua cukai yang perlu dibayar sewajarnya.

Cadangan ini bukanlah satu amalan baharu tetapi ia telah lama diamalkan secara meluas di negara-negara lain di dunia seperti United Kingdom (UK), Ireland, Singapura, Fiji, Afrika Selatan dan sebagainya. Menurut laporan daripada Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai telah berjaya meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai dan ia merupakan langkah berkesan untuk mencegah ketirisan hasil cukai.

Secara tidak langsung langkah ini juga akan mendisiplinkan semua pembekal terutamanya syarikat yang ingin mendapatkan kontrak atau tender daripada kerajaan agar patuh kepada undang-undang percukaian. Ia juga mampu memperluaskan asas cukai pendapatan apabila setiap pembekal dan syarikat akan memastikan mereka mempunyai fail cukai dengan HASiL dan membuat pengisytiharan cukai pada setiap tahun serta melunaskan amaun cukai yang dikenakan kepada mereka. Keadaan ini sekaligus akan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang selama ini patuh kepada undang-undang cukai.

Pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai ini akan mewajibkan semua pembekal atau syarikat untuk mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan bagi mengakses sistem perolehan. Bagi pembekal yang tidak mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan, mereka hendaklah membuat permohonan nombor berkenaan kepada HASiL terlebih dahulu.

Permohonan nombor berkenaan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Daftar di www.hasil.gov.my atau secara manual di mana-mana Kaunter Perkhidmatan Percukaian dan Pejabat Cawangan HASiL . 

Terdapat dua kriteria khusus yang diambil kira oleh HASiL dalam pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai. Kriteria berkenaan ialah seperti yang berikut:

  1. Pematuhan yang baik dalam hal pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP); dan
  2. Pematuhan yang baik dalam hal bayaran cukai pendapatan.

Dalam hal pematuhan bayaran cukai pendapatan, mana-mana pembekal atau syarikat yang telah diberikan kelulusan untuk pembayaran cukai secara ansuran turut akan dikategorikan sebagai pembayar cukai yang patuh dengan syarat mereka mestilah mematuhi jadual pembayaran ansuran yang telah ditetapkan oleh HASiL.

Bagi pembekal atau syarikat yang tidak memenuhi kriteria pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai yang ditetapkan oleh HASiL, adakah peluang mereka untuk mendapatkan sijil ini akan tertutup sepenuhnya? Jawapannya ialah TIDAK.

Hal ini kerana Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa bagi kes-kes tidak patuh yang disebabkan oleh isu teknikal (rayuan), kes-kes mahkamah dan sebab-sebab lain, Sijil Pematuhan Cukai boleh dikeluarkan berdasarkan merit kes dan juga tertakluk kepada kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Sebagai usaha memudahkan urusan pengeluaran sijil ini, HASiL akan menyediakan sistem permohonan agar semua permohonan oleh pembekal dan syarikat boleh dibuat secara dalam talian mulai Januari 2023. Tempoh sah laku sijil ini pula ialah satu tahun, maknanya pembekal boleh menggunakan Sijil Pematuhan Cukai yang sama untuk membida kontrak dengan mana-mana agensi kerajaan dalam tempoh satu tahun sijil tersebut dikeluarkan. Setelah tempoh satu tahun tersebut tamat, pembekal atau syarikat boleh membuat permohonan Sijil Pematuhan Cukai yang baharu.

Sehubungan dengan itu, setiap pembekal dan syarikat adalah disarankan agar memastikan urusan cukai pendapatan mereka ditadbir dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak menghadapi masalah apabila cadangan ini mula dilaksanakan pada tahun 2023. Sebarang pertanyaan berkaitan cadangan ini boleh diajukan kepada HASiL melalui:

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan 
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas 

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public

Disediakan oleh:

Bahagian Komunikasi
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Sama ada anda makan gaji, buat bisnes kecil-kecilan mahu pun besar-besaran, peniaga online atau “trader tegar”, silap urus cukai boleh buat untung bocor tanpa sedar. Ilmu yang betul boleh tukar “bayar lebih” kepada jimat lebih. Kami bercadang untuk menerbitkan e-book tentang penjimatan cukai. Jika berminat boleh isi borang ini –> 70 Rahsia Penjimatan Cukai

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.