Rakuten Trade Lantik Ketua Pegawai Eksekutif Baharu

Rakuten Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade) telah mengumumkan pelantikan En. Kazumasa Mise (44 tahun) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa 16 Oktober 2020, selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Mise menggantikan En. Kaoru Arai, yang merupakan Pengarah Urusan Rakuten Trade sejak dilancarkan pada Mei 2017. Arai menunaikan tanggungjawabnya menerajui syarikat sehingga dipilih sebagai Syarikat Teknologi Kewangan (FinTech) Terbaik Tahun 2018 di samping kejayaan mencatatkan untung dalam tempoh tidak sampai tiga tahun. Arai kini akan memegang jawatan Pengarah Perniagaan Antarabangsa dan memimpin usaha Rakuten Trade untuk mengembangkan sayap di peringkat serantau.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Arai atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada syarikat kami,” kata Datuk Chay Wai Leong, Pengerusi Rakuten Trade.

Mengenai pelantikan Mise, Datuk Chay berkata, “Dalam tahun yang dilanda ketidakpastian global ketara akibat pandemik semasa, yang menyebabkan ketidakstabilan pasaran saham, Mise telah memainkan peranan penting untuk menggalakkan pendaftaran jumlah rekod pelabur runcit baharu. Kami yakin beliau mampu memimpin Rakuten Trade dalam fasa pertumbuhan seterusnya.”

Rakuten Trade ialah usaha sama antara Rakuten Securities, Inc. (RSec) di Jepun dan Kenanga Investment Bank Berhad, dan satu-satunya broker ekuiti digital di Malaysia.

Menurut En. Yuji Kusunoki, Presiden Rakuten Securities, Inc., “Dalam tempoh tiga tahun lepas, Mise telah dapat menggabungkan amalan terbaik daripada kedua-dua syarikat di bawah satu jenama – Rakuten Trade. Saya sukacita dengan pelantikan baharu Mise sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade. Beliau disokong oleh pasukan pengurusan yang mantap, dengan ilmu Teknologi Kewangan dan Pendigitalan dalam perdagangan ekuiti dan pengurusan aset daripada RSec. Kami mengunjurkan masa depan yang cerah bagi syarikat kami dalam tempoh beberapa tahun akan datang.”

Mise telah berpindah ke Kuala Lumpur pada 2017 dan memainkan peranan penting untuk menubuhkan Rakuten Trade bersama Arai. Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Pemasaran Perniagaan Rakuten Trade dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Pemasaran. Sebelum menyertai Rakuten Trade, beliau berkhidmat untuk RSec selama 13 tahun di mana beliau telah mengasah bakat dalam bidang ekuiti Jepun, dengan memberi tumpuan mengukuhkan urus niaga margin dan dana dagangan bursa (ETF). Beliau memegang ijazah Sarjana Muda Sains (Kewangan dan Ekonomi) daripada Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rakuten Trade, sila layari www.rakutentrade.my.

Mengenai Rakuten Trade Sdn Bhd (“Rakuten Trade”)

Rakuten Trade(楽天トレード) ialah hasil usaha sama antara bank pelaburan bebas terulung di Malaysia Kenanga Investment Bank Berhad dan Rakuten Securities, Inc. sebahagian daripada Rakuten Group (“Rakuten”), syarikat pelopor inovasi global. Rakuten Group memperkasakan masyarakat, sambil menyediakan perkhidmatan inovatif yang mudah digunakan oleh pelanggannya di seluruh dunia. Dipilih sebagai Syarikat FinTech (Teknologi Kewangan) Terbaik 2018, Rakuten Trade telah menggegar dunia industri perbankan pelaburan pada 19 Mei 2017 apabila dilancarkan secara rasmi sebagai broker saham digital pertama negara di Malaysia. Platform FinTech mereka memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati pengalaman pembrokeran saham dalam talian sepenuhnya dari pembukaan akaun, saluran pasaran secara langsung, pelaksanaan dan penjelasan dagangan, laporan penyelidikan dan juga ganjaran. Rakuten Trade juga merupakan broker perdagangan ekuiti pertama untuk melancarkan sistem ganjaran sendiri menerusi kerjasama dengan tiga rakan program mata kesetiaan utama di negara ini – AirAsia BIG, B Infinite dan BonusLink. Pelanggan menerima mata Rakuten Trade apabila mereka berurusan dengan Rakuten Trade. Rakuten Trade memegang Lesen Perkhidmatan Modal Pasaran (“CMSL”) daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjual beli sekuriti tersenarai dan memberikan nasihat pelaburan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kumpulan Kenanga Lancar Dana Pasaran Wang Token Pertama di Malaysia

Pelancaran ini menandakan langkah penting dalam memperluas penyertaan pelabur runcit Malaysia dalam produk kewangan melalui teknologi blockchain.

Tokyo, 26 Februari 2026 – Kenanga Investment Bank Berhad (“Kumpulan Kenanga”), bank pelaburan terkemuka di Malaysia, bersama Stellar Development Foundation (“Stellar”), sebuah organisasi dari AS yang menyokong rangkaian Stellar, semalam memperkenalkan Myrra. Myrra adalah platform token khas yang menggunakan blockchain Stellar untuk membolehkan aset sebenar ditukarkan kepada bentuk digital (tokenisasi).

Langkah pertama di platform Myrra ini melibatkan tokenisasi bagi Kenanga Money Market Fund (“KMMF”) dan Kenanga Islamic Money Market Fund (“KIMMF”) (secara kolektif dipanggil “Dana”) yang diuruskan oleh Kenanga Investors Berhad (“Kenanga Investors”).

Butiran Utama Pelancaran:

  • Dana Unit Amanah Token Pertama: Dana ini merupakan unit amanah token pertama yang beroperasi secara langsung di pasaran Malaysia.
  • Transaksi Digital: Pelabur kini boleh melakukan urus niaga berasaskan blockchain melalui Myrra.
  • Nisbah 1:1: Token dikeluarkan pada nisbah 1:1, di mana setiap token mewakili satu unit bagi setiap dana.
  • Integriti Operasi: Ini memastikan token digital berfungsi tepat seperti unit dana tradisional, dengan mengutamakan pematuhan peraturan dan kesetaraan undang-undang dengan pemegang unit sedia ada.

Pengumuman ini dibuat di Blockchain Summit 2026 yang diadakan bersempena Japan Fintech Week. Dengan menukarkan dana pasaran wang Ringgit Malaysia kepada bentuk token menggunakan infrastruktur Stellar yang dipercayai, Kumpulan Kenanga membawa produk ini terus kepada segmen pelabur Malaysia yang lebih luas melalui portal web Myrra.

Dari kiri: Betty Sun-Lucas, Pengarah Serantau, APAC, Stellar Development Foundation; Jose Fernandez da Ponte, Presiden & Ketua Pegawai Pertumbuhan, Stellar Development Foundation; Datuk Chay Wai Leong, Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad; Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Kenanga Investors Berhad; dan Ranjit Gill, Pengarah, Ketua Pembangunan Produk & Pasaran, Kenanga Investors Berhad

Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Datuk Chay Wai Leong, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga berkata:

“Pelancaran dana pasaran wang token pertama di Malaysia melalui platform Myrra ini merupakan satu langkah besar dalam komitmen kami untuk memacu inovasi digital merentas pasaran modal tempatan. Dengan memanfaatkan rangkaian Stellar, kami berupaya menyumbang kepada pembangunan infrastruktur digital awam yang selari dengan visi Malaysia untuk menjadi pusat serantau bagi kewangan berasaskan blockchain.”

Sementara itu, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kenanga Investors menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah langkah strategik untuk memodenkan proses pengedaran dan operasi syarikat.

“Pelaksanaan tokenisasi ini membolehkan kami memanfaatkan kecekapan operasi yang ditawarkan oleh Teknologi Lejer Teragih (DLT). Kami percaya inisiatif ini akan memacu penyertaan pelabur yang lebih luas tanpa menjejaskan piawaian kawal selia dan ketelusan yang sedia ada.”

Mengenai Teknologi Stellar:

Stellar telah beroperasi lebih sedekad dan direka khas untuk menyokong pembayaran serta penerbitan aset secara telus. Ia turut digunakan oleh institusi besar seperti Franklin Templeton untuk dana pasaran wang Perbendaharaan AS, serta menyokong MoneyGram dalam urusan tukaran tunai-ke-kripto di 170 buah negara.

Potensi Pasaran:

Myrra menjadi pencapaian penting dalam menangani peluang aset token di Malaysia yang dianggarkan mencecah US$43 bilion menjelang 2030. Inisiatif ini juga menyokong usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memajukan produk pasaran modal token dalam kerangka yang mengimbangi inovasi dan perlindungan pelabur.

Mengenai Dana KMMF & KIMMF:

  • KMMF: Bertujuan memberikan aliran pendapatan tetap sambil mengekalkan kestabilan modal melalui pelaburan dalam instrumen pasaran wang, debentur, dan deposit.
  • KIMMF: Menawarkan faedah yang serupa tetapi diuruskan mengikut prinsip Syariah.
  • Kedua-dua dana ini sesuai untuk pelabur yang mahukan pulangan jangka pendek yang stabil dengan risiko yang sangat rendah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Myrra, sila layari myrra.my.

Nota Penting: Pelabur dinasihatkan untuk membaca Prospektus Induk Penggantian dan Helaian Sorotan Produk (PHS) yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.


Apa Bezanya Dengan Cara Lama?

Jika kita melihat kepada landskap pelaburan secara menyeluruh, pengenalan platform ini membawa anjakan paradigma yang besar berbanding sistem tradisional. Sebelum ada zaman token ini, pelaburan unit amanah biasanya bergantung kepada sistem rekod berpusat dan banyak proses manual yang agak lambat. Kadangkala, nak tunggu transaksi disahkan atau selesai sepenuhnya pun memakan masa.

Kini, melalui platform Myrra, perbezaan ketara dapat dilihat dari segi:

  • Kecekapan: Pelabur tak perlu lagi lalui proses birokrasi yang renyah. Sekarang, anda boleh beli atau jual unit dana secara terus melalui portal web Myrra. Semuanya jadi lebih pantas dan efisien.
  • Integriti Digital: Walaupun nampak seperti pelaburan unit amanah biasa, setiap token digital ini sebenarnya dilingkungi teknologi blockchain yang sangat telus. Ini bermakna rekod transaksi anda tersimpan dengan selamat dan tidak boleh diubah sesuka hati, memberikan ketenangan fikiran kepada pelabur.
  • Akses Lebih Luas: Kalau dulu produk pasaran wang ini mungkin nampak terhad, sekarang teknologi ini membawanya terus kepada segmen pelabur yang lebih luas di Malaysia. Ia membuka pintu untuk pelabur runcit menyertai pasaran modal dengan cara yang lebih moden.

Tahhniah, langkah ini bukan sahaja satu pencapaian bagi Kenanga, malah meletakkan pelabur Malaysia pada kedudukan utama dalam peralihan global ke arah ekonomi digital yang lebih telus dan pantas.