SC Ketengah Kedudukan Malaysia sebagai Hab Kewangan Mampan di Ekspo 2020 Dubai

Persidangan Maya Minggu Kewangan Mampan akan diadakan bermula 8-10 November 2021 dan mengetengahkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan mampan dengan memanfaatkan keupayaan kewangan Islam negara
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan Minggu Kewangan Mampan dari 8 hingga 12 November 2021 di Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Acara utama semasa Minggu Kewangan Mampan ini ialah persidangan maya yang diadakan dari 8 hingga 10 November 2021.

Persidangan maya tiga hari itu dijangka akan menarik peserta dari seluruh dunia yang meliputi pengawal selia, pengantara sektor kewangan, pengurus dana dan pelabur pasaran swasta.

Bertemakan “Membolehkan Pembangunan Mampan melalui Kewangan Islam”, persidangan itu memberi peluang untuk mengetengahkan peranan kewangan Islam sebagai pemacu untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan juga, kedudukan Malaysia sebagai penggerak awal dalam menyelaraskan pembangunan mampan dengan kewangan Islam.

Program ini akan akan menampilkan temu bual ucap utama bersama Menteri Kewangan YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang akan membicarakan agenda kemampanan Malaysia.

Expo Dubai 2020, juga dikenali sebagai ‘Pameran Hebat’, merupakan Ekspo Dunia pertama yang diadakan di rantau MEASA (Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan). Ia merupakan ekspo global yang paling dipelbagai sehingga kini, dengan penyertaan 192 negara bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

“Kewangan Islam menyediakan khidmat kepada populasi yang lebih meluas secara sama rata dan tidak lagi dianggap khusus kepada orang Islam sahaja. Di peringkat global, industri kewangan Islam dijangka mencapai saiz US$3.69 trilion menjelang 2024, meningkat daripada US$2.88 trilion pada 2019, berikutan minat yang kukuh secara berterusan sebagai kaedah pengumpulan dana dan pelaburan,” menurut Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

“Malaysia dikenali ramai kerana berada di kedudukan hadapan dalam kewangan Islam, dengan pencapaian yang membanggakan, disokong oleh ekosistem yang kondusif, rangka kerja kawal selia yang berkesan dan pembangunan modal insan yang kukuh. Membuka jalan ke arah pemulihan, kewangan sosial Islam dijangka memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Antara tajuk perbincangan yang akan dirangkumi dalam Minggu Kewangan Mampan ini termasuk:

  • Bagaimana Malaysia membangunkan pasaran ekuiti yang menekankan faktor kemampanan
  • Inisiatif kawal selia dalam memacu kemampanan melalui sektor perbankan Malaysia
  • Peraturan dan inisiatif yang inovatif untuk memacu pertumbuhan dalam kewangan mampan
  • Inovasi dalam pengurusan aset sebagai pemacu pertumbuhan SRI

Penceramah lain di persidangan maya itu nanti termasuk Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Fraziali Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Abu Dhabi Global Market Authority Mark Curtis, dan Ketua Pegawai Eksekutif Climate Bonds Initiative Sean Kidney. Selain itu, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan pembangunan perniagaan akan dianjurkan untuk mengetengahkan peserta pasaran swasta Malaysia dengan kepakaran dalam pelaburan mampan.

Gambar : Berita Harian

Orang ramai yang berminat untuk menghadiri persidangan maya Minggu Kewangan Mampan boleh mendaftar di mysustainablefinanceweek.com.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Umum Pengarah Baharu Pasaran Modal Islam

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz (“Azizan”) sebagai Pengarah Pasaran Modal Islam (ICM), berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Azizan akan memegang peranan baharu ini selain jawatan semasanya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan fokus berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islamnya seiring dengan keutamaan strategik yang lebih luas.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata, “Pelantikan Azizan memperkukuh fokus kepimpinan Bursa Malaysia terhadap Pasaran Modal Islam pada waktu pertumbuhan pasaran yang berterusan dan penyertaan antarabangsa yang semakin berkembang. Pengalaman, kepakaran kewangan dan pemahaman institusi beliau meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memberikan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam kami, di samping terus memastikan pengurusan kewangan yang kukuh sebagai CFO.”

Pasaran modal Islam Malaysia kekal sebagai tonggak utama pasaran modal domestik, berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025, dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Mencerminkan kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan, syarikat patuh Syariah merangkumi lebih daripada 80% syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah ICM, Azizan akan menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam Bursa Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM. Sebagai CFO, beliau akan terus menyelia fungsi kewangan keseluruhan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penganggaran bajet.

Azizan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat. Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan Rakan Kongsi Penggabungan dan Pengambilalihan di Deloitte Southeast Asia Ltd., serta pernah memegang jawatan kanan di KPMG Financial Services Advisory di United Kingdom dan Malaysia, antara lain. Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan & Kewangan dari University of Plymouth, UK, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).