Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 Dijangka Jana Potensi Perdagangan Dan Pelaburan Bernilai RM2 Bilion

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024), yang berlangsung dari 17 hingga 19 Dis, 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, dijangka menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM2 bilion.

Lebih daripada 500 pempamer dan 10,000 pengunjung perdagangan dijangka menyertai MCS 2024, yang menampilkan ekspo perdagangan dan pameran antarabangsa serta persidangan mengenai kepimpinan.

Sidang kemuncak anjuran Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu yang bertemakan “Prosperity Beyond 50” akan menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China dan berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Pada taklimat media hari ini, Qube dan MATRADE mengumumkan Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) sebagai rakan kongsi strategik untuk MCS 2024.

Selain itu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Star Media Group dan Sin Chew Daily turut diumumkan sebagai rakan kongsi media rasmi.

Ahli Lembaga Pengarah MATRADE Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata perkongsian strategik itu akan membawakan sinergi dinamik syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) dan syarikat besar, bagi memastikan kejayaan sidang kemuncak tersebut dalam merangsang hubungan perdagangan dan peluang pelaburan yang kukuh antara Malaysia, China dan ASEAN.

“Komitmen kami untuk memperjuangkan MTC Malaysia, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan pekerjaan, dicerminkan menerusi perkongsian ini. 

“Mereka telah menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian yang luar biasa di tengah-tengah pelbagai cabaran ekonomi global, memberikan sumbangan penting kepada ekonomi kita,” katanya.

Mohammad Medan berkata MICCI, dengan rangkaian dan pengalaman yang luas dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan antarabangsa, akan memastikan penyertaan kukuh daripada pelbagai industri bagi menjadikan sidang kemuncak itu sebagai hab perbincangan dan kerjasama yang bermakna.

“Perkongsian ini akan memudahkan integrasi perniagaan, daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hinggalah kepada syarikat besar, memperkukuh impak sidang kemuncak itu untuk menarik penglibatan pemain industri utama dan pembuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Richard Teo berkata MTC Malaysia akan melengkapkan penglibatan besar rakan usahawan dari China, yang berminat untuk menjalin kerjasama perniagaan.

“Syarikat China ini mewakili pelbagai sektor dinamik, termasuk bahan binaan, alatan perkakasan, hiasan rumah, automotif, produk kegunaan harian, perkakas, elektronik, budaya, seni dan kraf, liburan, fesyen dan gaya hidup.

“Saya yakin akan wujud sinergi yang ketara antara syarikat Malaysia dan China pada sidang kemuncak itu kerana mereka boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing dan membangunkan perkongsian yang saling menguntungkan,” katanya.

Teo berkata organisasi itu akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam perbincangan, pembentangan perniagaan, pelancaran produk, pemeteraian memorandum persefahaman dan pameran inovasi yang memupuk hubungan dan menjana potensi perniagaan dengan China dan ASEAN.

Presiden MCMTC Martin Ang berkata perkongsian itu sejajar dengan misi mereka untuk membawa MTC ke persada serantau dan global dengan menjalin kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan.

“MCMTC menyasar untuk menimba dan berkongsi pengetahuan, mengakses sumber baharu dan memacu pertumbuhan pasaran sambil mengukuhkan hubungan dua hala pada sidang kemuncak itu.

“Penyertaan kami dalam MCS 2024 adalah sejajar dengan misi kami untuk memupuk pakatan strategik, menggerakkan kepakaran dan menggalakkan pertumbuhan mampan, memupuk ekosistem perniagaan yang kukuh untuk MTC,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) BERNAMA Azlina Aziz berkata BERNAMA akan memainkan peranan penting dengan menyediakan laporan yang tepat dan mengetengahkan kemajuan penting dalam perdagangan, inovasi dan pembangunan mampan. 

“BERNAMA komited untuk melaporkan rumusan daripada perbincangan utama, perjanjian dan sidang kemuncak itu kepada khalayak global. Kami percaya pelaporan yang baik akan mencerminkan nilai dan aspirasi bersama antara Malaysia dan China,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian