Proton Sasar Jual 2,000 Unit Model X70 2025 Sebulan

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) — Proton Holdings Bhd menyasarkan untuk menjual model terbaharu, Proton X70 2025 sehingga 2,000 unit setiap bulan berikutan permintaan kukuh untuk model semasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata Proton X70 telah menjadi kegemaran ramai dengan jualan lebih 1,000 hingga hampir 2,000 unit sebulan.

“Untuk Proton X70 2025, kami menyasarkan angka jualan dalam julat yang sama, lebih 1,000 dan sehingga 2,000 unit berdasarkan peningkatan dan harga kompetitif yang kami perkenalkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Proton terbaharu itu.

Roslan berkata selain daripada pasaran sedia ada, Proton juga merancang untuk mengeksport model itu ke lebih 10 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata pelancaran Proton X70 2025 menandakan kejayaan baharu dalam perkongsian Proton-Geely.

“Dengan begitu banyak kejayaan dalam tempoh 18 bulan lepas…pelancaran Proton X90 dan X70, pengenalan kenderaan elektrik, pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan di China dan pelancaran e.MAS, Proton mencatat pelbagai kejayaan sejak pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton pada 2018,” katanya.

SUV segmen B Proton (versi terbaharu yang dipertingkatkan) boleh didapati dalam varian Standard, Executive, Premium dan Premium X pada harga antara RM98,800 hingga RM126,800.

Sempena pelancaran itu, Proton menawarkan sehingga RM23,500 ciri-ciri nilai tambah tanpa kos tambahan untuk 3,000 pelanggan pertama mendaftar pembelian Proton X70 2025.

Model baharu itu dilengkapi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data lima tahun dengan satu gigabait (GB) sebulan dan enam kali perkhidmatan buruh secara percuma.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengeluaran PROTON e.MAS 7 Dipertingkat Susulan Permintaan Tinggi

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) — Proton Holdings Bhd (Proton) sedang meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) e.MAS 7 dengan tambahan 3,000 unit bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan 3,000 tempahan bagi kenderaan itu dalam tempoh enam bulan, tetapi ia telah melepasi sasaran dalam tempoh kurang sebulan.

“Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.

“Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran  terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.

“Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70. Apa yang penting adalah matlamat negara yang sedang menuju ke arah Mobiliti Karbon Sifar,” katanya.

Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia  merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.

Ditawarkan dua varian iaitu Prime pada harga bermula RM109,800 dan Premium (RM123,800).

Ia dilengkapi dengan sistem motor 12 dalam 1, audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan.

— BERNAMA