5 Penyesalan Terbesar Oleh Self-Made Billionaire

Nak menjadi seorang bilionaire memerlukan pengorbanan yang tinggi. Sifat putus asa dan tidak mudah mengalah tidak wujud dalam kamus hidup mereka.

Setiap bilionaire mempunyai kisah yang tersendiri dan ada sebahagian kisah hidup mereka, boleh kita jadikan sebagai iktibar dan pengajaran bagi membakar semangat.

Berikut adalah perkara yang dikesali oleh bilionaire terkenal dunia berkaitan perniagaan yang dijalankan oleh mereka.

1. Melepaskan Peluang Keemasan Di Depan Mata

Bilionaire juga merupakan seorang manusia biasa yang melakukan kesilapan dalam perniagaan mereka. Di antara kesilapan yang terbesar yang mereka lakukan adalah terlepas pandang peluang keemasan yang terhidang di depan mata. Hal ini berlaku kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada di depan mata itu dengan tindakan yang pantas.

Tim Draper merupakan seorang pelabur lagenda dalam dunia saham. Beliau yang gemar untuk melabur di dalam syarikat yang belum lagi diapungkan ke pasaran saham. Di antara penyesalan adalah dengan terlepas dua peluang keemasan, apabila beliau tidak membeli saham Facebook ketika syarikat itu masih dalam pembangunan.

Facebook pada ketika itu bernilai $20 juta tetapi dia telah berperang dengan pembida yang lain sehingga harga saham syarikat itu naik kepada $115 juta. Ketika syarikat itu telah naik $115 juta, dia telah menarik diri daripada untuk membeli sebahagian besar daripada saham Facebook itu.

Kini Facebook merupakan syarikat terbesar di dunia.

Selain daripada itu, beliau juga menyesal kerana tidak melabur ke dalam Netflix yang mana pada masa kini merupakan syarikat yang menguasai penstriman rancangan televisyen berbayar di Amerika Syarikat.

Pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini kepada pelabur di luar adalah, jika kita ternampak sebuah peluang yang sangat bagus di depan mata kita, jangan ragu-ragu untuk merebut peluang tersebut.

2. Tak Boleh Nak ‘Move On’

Penyesalan yang kedua adalah tidak hidup di dalam waktu sekarang. Menurut Chip Wilson yang merupakan seorang bilionaire dalam industri pakaian sukan, kesilapan yang dihadapi dirinya adalah terlalu mengenangkan kehidupan yang lepas. Akibatnya, beliau tidak boleh bergerak ke hadapan kerana kenangan tersebut telah membantut perkembangan minda dirinya.

Selepas Chip Wilson berjaya merubah mindset dirinya, kehidupannya menjadi lebih baik. Beliau kini memiliki kekayaan sebanyak $2 bilion melalui syarikat pakaian sukan, terutamanya pakaian untuk yoga.

Untuk lebih berjaya dalam kehidupan kita mesti berfikiran positif untuk menghasilkan hasil kehidupan yang positif.

3. Tak Bermula Awal

Penyesalan yang ketiga adalah tidak bermula dari awal ketika usia masih muda. Menurut Peter Hargreaves bilionaire dari Britain yang mempunyai syarikat menyediakan servis kewangan yang terbesar di negara tersebut, di antara perkara yang menyebabkan beliau menyesal dalam hidup adalah tidak bermula awal.

Bermula awal  dalam karier yang dipilih adalah  penting kerana kita dapat menimba pengalaman dalam perniagaan ketika kita masih muda. Apabila telah berusia 40 tahun dan kita memulakan perniagaan pada usia 20 tahun, kita sudah mendapat 20 tahun pengalaman.

Di situ kita boleh lihat bahawa jika kita memulakan satu perniagaan dari usia yang muda, ianya dapat memberi kita lebih pengalaman dan pengajaran.

Hal ini turut dipersetujui oleh Ron Sim iaitu seorang bilionaire dari Singapura, yang memberitahu tiada masa yang sesuai untuk memulakan sesuatu perniagaan. Tetapi kita perlu melakukan perniagaan itu tanpa mengira masa.

4. Terlalu Takut Untuk Mengambil Risiko

Risiko adalah perkara asas di dalam perniagaan. Risiko adalah perkara yang tidak boleh dielakan tetapi dapat dikawal jika kita mengetahui dengan jelas apa yang kita buat. Untuk menjadi seorang bilionaire, seseorang perlu mengambil risiko untuk berjaya.

Jack Cowin yang merupakan seorang bilionaire dalam industri makanan di Australia mengatakan jika dia masih muda, dia akan mengambil sebanyak mana risiko dengan pertimbangan yang sewajarnya untuk berjaya. Terlalu takut mengambil risiko adalah penghalang utama untuk berjaya dalam perniagaan.

Bak kata Warren Buffet, risiko itu muncul apabila kita tidak tahu apa yang kita buat. Kita mesti tahu mengambil risiko dan perlu menghadapinya, bagi mencapai cita-cita yang ada dalam diri kita.

5. Tidak Berubah Mengikut Keadaan Semasa

Setiap perniagaan berubah mengikut peredaran zaman. Teknologi sentiasa berkembang dan syarikat perlu berubah mengikut perkembangan semasa.

Jutawan perusahaan dari Kanada iaitu Frank Hasenfratz, telah memberi nasihat supaya kita perlu berubah setiap hari kerana jika kita tidak berubah perniagaan kita akan musnah.

Beliau mengambil contoh dirinya yang mempunyai 100 buah kilang pada tahun 1960-an tetapi kerana perubahan yang sangat ketara dalam industri automotif, Frank terpaksa menutup banyak kilang-kilang tersebut walaupun dia mempunyai pengalaman hampir 60 tahun didalam industri automotif.

Kita perlu melihat contoh seperti Kodak yang tidak mahu berubah dengan keadaan persekitaran, dan akhirnya syarikat itu tersungkur walaupun sudah berusia lebih daripada 100 tahun.

Klik di sini untuk baca kisah syarikat Kodak.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.