Abdul Wahid Terima Anugerah Saleh Kamel Untuk Ekonomi Islam Di Madinah

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar menerima Anugerah Saleh Kamel yang berprestij untuk Ekonomi Islam pada Simposium Ekonomi Islam AlBaraka ke-45 di Madinah.

Beliau adalah antara 10 perintis perbankan Islam menerima anugerah itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 pembangunan perbankan Islam.

Gabenor Wilayah Madinah Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz Al-Saud menyampaikan anugerah itu, menandakan satu peristiwa penting bagi mengiktiraf sumbangan selama berdeakad kepada kemajuan kewangan Islam.

Abdul Wahid menghadiri simposium itu pada 16 dan 17 April lepas sebagai moderator dan penceramah.

Beliau tidak menjangka untuk menerima pengiktirafan tersebut bagaimanapun menyifatkannya amat bermakna terutama sekali acara itu diadakan di kota suci Madinah.

“Saya berbesar hati dan rasa rendah diri dengan anugerah ini. Ini merupakan pengiktirafan bukan sahaja kepada kakitangan dalam pelbagai entiti perkhidmatan kewangan yang pernah saya kerja seperti Bursa Malaysia, Malayan Banking Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Amanah Capital Group Bhd dan Bumiputra Merchant Bankers Bhd tetapi juga untuk Malaysia dan pengawal selia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan seluruh sektor kewangan Islam.

“Malaysia sememangnya berada di barisan hadapan dalam pembangunan perbankan Islam, kewangan dan pasaran modal. Saya berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada sektor berkenaan untuk meningkatkan dan berinovasi dalam menyokong dunia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anugerah Saleh Kamel untuk Ekonomi Islam ditubuhkan bertujuan memperingati sumbangan perintis Allahyarham Sheikh Saleh Kamel dan bagi mempromosikan kecemerlangan dalam penyelidikan.

Ia juga menyokong pengeluaran akademik khusus, menyerlahkan bakat baharu muncul dalam kewangan dan perundangan Islam serta mengembangkan pengaruh global dalam perbankan Islam.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Peniagawati Mengumumkan Majlis Minum Petang DiRaja 2026 Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45

KUALA LUMPUR, 26 November Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), persatuan usahawan wanita Bumiputera premier di Malaysia, hari ini mengadakan sidang media di Pavilion Peniagawati, Dewan 3, Aras 1, MITEC Kuala Lumpur bagi memperkenalkan acara Majlis Minum Petang DiRaja 2026 sempena ulang tahun ke-45 persatuan.

Majlis berprestij ini akan dihadiri oleh dua Tetamu Kehormat DYMM Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, dan DYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu. Majlis Minum Petang DiRaja dijangka menghimpunkan kira-kira 400 tetamu, termasuk ahli, rakan kerjasama, dan tetamu kehormat.

Sejak 1980, Peniagawati menjadi tulang belakang kepada pembangunan usahawan wanita Bumiputera. Ulang tahun ke-45 ini menandakan komitmen baharu untuk memperkasakan wanita melalui program pembangunan kapasiti denagan adanya lima zon Chapter baru, rangkaian strategik, dan pengukuhan organisasi di bawah kepimpinan Presiden Dato’ Hjh Emmy Suraya Hussein.

Peniagawati turut mengumumkan pelancaran lima zon Chapter-Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta kemas kini kepada Perlembagaan Peniagawati bagi memperkukuh tadbir urus, operasi Chapter, dan sokongan kepada ahli.

Antara acara utama ialah pengumuman Logo Rasmi Ulang Tahun Ke-45 yang dipilih daripada penyertaan seluruh negara, membawa simbolik kepada perpaduan, kemajuan dan semangat wanita Peniagawati.
Maklumat lanjut mengenai Majlis Minum Petang DiRaja 2026 termasuk tiket dan penajaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.