Berjaya Miliki 3 Rumah Di Usia Muda, Sekarang Hadiahkan Kereta Pula Untuk Ibu

Namanya mula viral selepas berjaya memiliki rumah pada usia muda meskipun mula bekerja dengan gaji RM1,600.

Ketika orang lain merungut tentang kekangan dan taraf hidup yang makin tinggi serta gaji yang tidak cukup, gadis manis ini berjaya memiliki aset sendiri pada usia muda.

Persoalannya, gaji yang tidak cukup atau gaya hidup yang menjadikan gaji tidak cukup?

Utamakan Keperluan Terlebih Dahulu

Berkongsi pandangan tentang gaya hidup anak muda sekarang, gadis dengan nama Siti Nursyafieqah Abu Bakar, 26, berkata, ramai anak muda menghabiskan duit gaji untuk memenuhi keinginan, bukannya keperluan.

Menurutnya, ramai anak muda yang terus membeli kereta selepas mendapat kerja, ‘santak’ loan sebanyak yang boleh dan menghabiskan duit untuk membeli gajet.

“Mungkin ramai yang rasa selamat sebab masih ada ibu dan ayah sebagai ‘back up’ jika ada masalah kewangan. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa jika satu hari nanti hidup susah, tiada siapa yang akan tolong melainkan diri sendiri,” ujarnya.

Berjaya melunaskan impian memiliki tiga buah rumah sebelum usia 30, gadis bijak ini baru sahaja membelikan sebuah kereta Honda City untuk ibunya, Hanizah Harun pada 26 April lalu.

Bijak merancang kewangan, dia menjadikan ibu sebagai idola dan pembakar semangat untuk bekerja keras. Oleh sebab itu, dia sedaya upaya memenuhi keperluan dan menggembirakan hati ibunya.

Bekerja Keras Untuk Ibu

Memuliakan dan mementingkan ibu dalam segala hal, mungkin menjadi salah satu asbab untuk gadis muda ini berjaya dalam kehidupannya. Tapi tidaklah bermakna perjalanan hidupnya tidak diiringi cabaran.

Mari kita tengok trivia tentang gadis ini sehingga berjaya menjadi seperti sekarang.

1. Menyifatkan diri sebagai individu biasa yang perlu berusaha keras untuk berjaya dan bukan gifted, dia sentiasa melakukan kerja dengan bersungguh untuk berjaya. Ketika pengajian peringkat diploma di Melaka, dia sentiasa mendapat Anugerah Dekan.

2. Ketika masih belajar, dia sudah membuat simpanan paksa dengan pinjaman ASB

3. Ketika mula bekerja, dia mewajibkan diri untuk memberi duit poket kepada ibunya. Dia bermula dengan memberi RM50 sebulan sebelum jumlah itu ditambah dari tahun ke tahun.

4. Pernah bekerja sebagai pegawai bank dan ditugaskan di cawangan yang terletak dalam pusat beli-belah. Dia perlu menahan nafsu melihat rakan-rakan dan orang lain berbelanja kerana tidak mahu duit gajinya dihabiskan begitu sahaja.

5. Pada usia 26 tahun, dia sudah berjaya memiliki sebuah rumah di Kuala Lumpur dan dua buah rumah di Negeri Sembilan.

6. Dalam perancangan untuk menambah kereta, tapi menangguhkan niat dan membeli kereta untuk ibunya dahulu kerana kereta lama (ibu) terlibat dalam kemalangan.

7. Baru sahaja memohon kad kredit selepas beberapa kali cubaan. Katanya hanya mahu digunakan ketika kecemasan sahaja.

8. Seorang yang workaholic kerana dia tidak akan makan selagi kerjanya belum siap.

9. Kini bekerja sebagai Agency Supervisor di CIMB Wealth Advisors dan Life Planner di AIA.

Jom tengok perkongsian tips kewangan dan kehidupan anak muda daripada gadis ini istimewa untuk pembaca Majalah Labur :

Tips Kewangan Anak Muda

1. Bila mula kerja, jangan beli kereta sampai separuh gaji kita, tetapi mula lah dengan simpan 3 ke 6 bulan gaji kita

2. Sebagai permulaan dalam membina kewangan, tetapkan matlamat sejelas-jelasnya. Kalau ada matlamat yang jelas, kita tahu apa yang nak dicapai dan kejar. Selalu ada rasa nak upgrade diri dan keluarga.

Contoh, anda nak beli rumah dalam masa kurang 5 tahun, jadi mula buat kira-kira berapa simpanan yang perlu disimpan setiap bulan, berapa deposit, berapa bayaran bulanan, dan banyak lagi.

3. Anak muda yang baru kerja atau yang baru bermula, jadikan 3 tahun pertama ini sebagai tahun untuk membina kewangan. Kawal perbelanjaan, kawal nafsu berbelanja, kawal beli barang kehendak secara berlebihan dan pastinya ia sukar untuk dilakukan bila kita masih belum cuba.

4. Tukarkan hobi dari banyak membuang masa, melepak, dan aktiviti yang banyak menghabiskan duit kepada aktiviti yang boleh jana pendapatan kedua kita. Sekarang zaman semakin canggih bila kita boleh buat bisnes online, pemandu grab car, dan macam-macam lagi.

5. Kalau boleh elakkan ambil pinjaman peribadi dan kad kredit jika tidak memerlukannya kerana kebanyakan anak muda akan ‘stuck’ apabila kumpul hutang di dua tempat ini.

6. Melatih diri dengan menyimpan terlebih dahulu sebelum kita merancang untuk beli rumah. Simpanan sukar dibuat bila kita tak nampak tujuan simpanan itu dilakukan. Lakukan save & forget sebelum kita berbelanja.

7. Review kewangan kita setiap kali dapat gaji. Buat penolakan wajib dan komitmen setiap bulan, selepas itu tolak simpanan dan akhir sekali baru belanja. Disarankan simpan di tabung haji dan ASB agar menyukarkan/mengelakkan kita untuk mengeluarkan duit lebih cepat/mudah.

8. Berkawanlah dengan lingkungan kawan yang baik dan positif sebab ia sangat membantu. Mereka boleh membantu dan memberi semangat pada kita untuk terus maju lagi.

Tukar kecenderungan melihat laman sosial yang menjual barangan murah dan mendorong kita untuk membeli belah kepada page ilmiah. Banyak perkongsian ilmu secara percuma dikongsikan dalam laman sosial seperti Facebook. Nescaya kita pun terikut dan ada mind set untuk jaga kewangan dan kumpul aset di usia muda.

Tips Inspirasi Untuk Kehidupan

1. Jaga hubungan dengan Tuhan, keluarga dan kawan-kawan kerana di dunia ini kita sentiasa memerlukan antara satu sama lain

2. Bahagiakan mak ayah kita sementara mereka masih ada. Doa mereka adalah doa yang paling mustajab. Jaga hati mereka, berbakti pada mereka dan doakan kesejahteraan mereka. Abila kita menjaga keluarga kita, Inshaa Allah dimudahkan rezeki kita.

3. Cukupkan apa yang tidak cukup dalam keluarga kita. Sebelum kita bantu orang luar, kita bantu keluarga kita terlebih dahulu. Kita sendiri tak nak lihat keluarga kita hidup susah.

4. Jangan takut untuk bersedekah dan selalu memberi, rezeki kita semakin murah. Percayalah dengan rezeki dariNya.

5. Jadikan seseorang (yang betul) itu role model kerana secara tak langsung kita akan belajar, dan ikut apa yang dilakukannya untuk terus maju. Kita mungkin tak dapat tiru 100%, tapi kita on track untuk terus ke depan.

6. Letakkan matlamat dan rasa tanggungjawab dengan diri dalam keluarga. Bila kita mula rasa macam ni, kita akan mula merancang untuk masa depan sendiri dan keluarga. Ingat, mak ayah semakin lama semakin meningkat usia, kudrat mereka makin lemah. Tiba masa untuk kita ambil alih dan bantu cari rezeki untuk keluarga

7. Usia muda rebut peluang untuk lakukan sehabis baik dalam hidup kita, lagi-lagi mereka yang belum ada komitmen untuk berkeluarga ketika masih banyak masa, muda dan kudrat masih kuat. Jadikan hari ini paling terbaik dalam hidup kita.

Sempat menitipkan pesanan, Syafieqah menyeru supaya anak muda mempunyai perancangan kewangan sebelum terus ‘melompat’ dalam apa jua pelaburan. Jelas gadis ini, duit simpanan pelaburan dan simpanan (saving) perlu diasingkan kerana merupakan dua benda berbeza.

“Selain ilmu ikhtisas, seseorang wajib belajar ilmu kewangan kerana ramai yang sangkut dengan bankrupsi sebab tidak mengurus kewangan dengan baik.

“Saving dulu, baru nikmati duit anda”

Rajin-rajinlah follow beliau di Facebook.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.