Bonia: Anak Penoreh Getah Yang Menjadi Jutawan Fesyen Dan Syarikat Tersenarai Di Pasaran Saham

Kami pasti kebanyakan daripada kita mesti pernah mendengar nama Bonia bukan? Syarikat ini mengeluarkan pelbagai rekaan beg, kasut, serta pelbagai lagi aksesori dengan rekaan serba mewah dan eksklusif.

Bila kita dengar namanya saja, pasti ramai yang menyangka produk ini adalah buatan luar negara kan?

Bagi yang belum tahu, Bonia telah diasaskan oleh Chiang Sang Sem pada tahun 1974. Anak sulung daripada 9 adik-beradik ini bukanlah berasal dari golongan berada.

Bapanya cuma bekerja sebagai seorang penoreh getah. Seawal usia 15 tahun beliau telah bekerja di kilang beg tangan bapa saudaranya yang terletak di Pulau Pinang. Mungkin dari situ, minat terhadap beg tangan serta barangan kulit mula muncul.

Pada tahun 1971, beliau mengambil keputusan untuk bekerja di Singapura kerana tawaran gaji yang lebih tinggi iaitu SGD60 sebulan. Pada tahun 1974 pula beliau telah mengambil langkah berani dengan membuka sebuah kilang kecil di Singapura dengan pekerja hanya seramai 7 orang.

Beliau menggunakan modal sebanyak RM3,800 yang dipinjam serta wang simpanan sebanyak RM1,200 untuk membuka kilang ini.

Asal-Usul Nama Bonia

Kredit Gambar: Sparrow Publishing House

Anda mesti nak tahu bagaimana nama Bonia ini muncul sebagai jenamakan? Satu ketika dahulu, Chiang Sang Sem pernah melawat sebuah tempat di Itali yang bernama Bologna.

Sejak dari itu, nama Bologna sering bermain di fikirannya. Jadi pada tahun 1979, apabila beliau mengambil keputusan untuk menjenamakan perniagaannya, nama Bonia telah dipilih.

Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, jenama Bonia telah menjadi salah satu jenama terkemuka di Malaysia dan Singapura. Semua ini hasil daripada kempen pengiklanan yang rancak dilaksanakan mereka.

Walaupun harga untuk produknya mahal sedikit, ianya tidak menghalang orang ramai daripada membelinya. Kini, Bonia bukan sahaja menjadi jenama yang eksklusif di rantau Asia, tetapi mereka juga telah menembusi pasaran Timur Tengah.

Sekitar tahun 90-an, Bonia telah pun disenaraikan di Bursa Malaysia. Hari ini, jualan produk Bonia mencecah jutaan Ringgit setiap tahun.

Kredit: Malaysiastock.biz

Daripada segi pendapatan ada penurunan sedikit disebabkan pandemik Covid-19, tetapi syarikat masih lagi mencatatkan keuntungan yang baik.

Kalau nak tahu lagi, Chiang Sang Sem juga mengasaskan pelbagai lagi jenama seperti Carlo Rino, Braun Buffel dan juga Sembonia.

Penat lelah beliau memang sangat berbaloi dengan kejayaan yang dikecapinya hari ini. Namun beliau masih belum lagi mahu berhenti.

Menjadikan jenama antarabangsa lain seperti Louis Vuitton, Coach dan Gucci sebagai pesaing rapat, jenama ini terus berusaha memberikan design serta kualiti terbaik kepada pengguna. Semoga kisah anak penoreh getah ini dapat dijadikan inspirasi kepada kita semua untuk terus berjaya.

Sumber Rujukan:

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, tahun 2021 ini kami terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Buku Malaysia Melabur Saham ini juga boleh dibeli di Shopee!

Previous ArticleNext Article

RNG Tech Berhad Sediakan Langkah Ke IPO Pasaran Ace Untuk Memacu Pengembangan

Kuala Lumpur, 16 Jun 2026 – Pengendali perkhidmatan kerusi urut layan diri jenama “Rest N Go”, RNG Tech Berhad (“RNG Tech” atau “Syarikat”), hari ini melancarkan prospektusnya bersempena dengan pelaksanaan tawaran awam permulaan (“IPO”) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”).

RNG Tech Berhad, melalui anak-anak syarikatnya (secara kolektif dikenali sebagai “Kumpulan”), terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan kerusi urut layan diri di bawah jenama “Rest N Go”. Dari segi hasil, ia merupakan pengendali kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 66.2% pada tahun 2025.

Kumpulan menawarkan perkhidmatan urutan yang mudah, boleh diakses dan mampu milik melalui kerusi urut layan diri yang ditempatkan secara strategik di kawasan menunggu bertrafik tinggi termasuk pusat beli-belah, lapangan terbang dan kawasan rehat lebuh raya. Operasinya disokong oleh infrastruktur digital bersepadu yang merangkumi sistem bacaan meter yang membolehkan pemantauan jarak jauh secara masa nyata. Aplikasi mudah alih RNG yang mempunyai lebih daripada 600,000 ahli berdaftar turut menyokong pembayaran digital serta meningkatkan penglibatan pelanggan.

Sejak menubuhkan stesen RNG pertama di Selayang Mall, Selangor pada tahun 2009, Kumpulan telah mengembangkan kehadirannya ke Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam. Sehingga 18 Mei 2026, Kumpulan memiliki dan mengendalikan 5,611 kerusi urut layan diri di 1,438 stesen RNG dan outlet premium RNG yang terletak di lima negara tersebut. Selain itu, sebanyak 2,458 kerusi urut layan diri lagi ditempatkan di Vietnam dan Filipina menerusi perjanjian pelesenan.

Pengarah Urusan RNG Tech, Datin Sophia Tan Sok Fei (拿汀陈淑菲) berkata, “Pelancaran prospektus hari ini merupakan satu pencapaian penting bagi RNG Tech ketika kami semakin hampir untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai. Sepanjang tempoh operasi kami, kami telah membina jenama ‘Rest N Go’ yang kukuh dan dikenali ramai, disokong oleh rangkaian serantau yang luas, kedudukan peneraju pasaran serta keupayaan digital yang bersepadu.”

“Dana hasil IPO berjumlah RM16.4 juta akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui pengembangan rangkaian kerusi urut layan diri, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf stesen RNG serta outlet premium RNG, selain mengukuhkan keupayaan operasi kami.”

RNG Tech bercadang untuk mengumpul RM16.4 juta daripada terbitan awam di bawah IPO. Dana tersebut dijangka digunakan seperti berikut:

Penggunaan DanaRM juta%
Pembukaan stesen RNG dan outlet premium RNG baharu4.929.9%
Baik pulih dan naik taraf stesen RNG serta outlet premium RNG sedia ada2.213.3%
Perbelanjaan pemasaran1.06.1%
Pembayaran balik pinjaman3.018.3%
Modal kerja1.16.8%
Anggaran perbelanjaan penyenaraian4.225.6%
Jumlah16.4100.0%

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”), Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM49.3 juta, meningkat 22.3% berbanding RM40.3 juta pada TK2024. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pengembangan stesen RNG dan outlet premium RNG dengan pertambahan jumlah kerusi urut di lokasi bertrafik tinggi.

Keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM6.0 juta, berbanding RM14.5 juta pada TK2024. Penurunan PAT ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan aset berjumlah RM2.5 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, selain peningkatan kos akibat pengembangan pesat Kumpulan. Kos tersebut termasuk perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi, kos operasi langsung serta kos kakitangan yang merupakan pelaburan awal untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.

Datin Sophia menambah, “TK2025 merupakan tahun penting bagi RNG Tech dari segi pengembangan, dengan sumbangan daripada tiga pasaran baharu yang diperoleh iaitu Thailand, Kemboja dan Brunei. Kami menjangkakan sumbangan pasaran ini akan terus meningkat pada tahun kewangan berikutnya apabila kami memperluaskan lagi rangkaian kerusi urut di negara-negara tersebut.”

Pada September dan November 2025, Kumpulan berjaya memperoleh kontrak untuk menubuhkan stesen RNG di lokasi yang diuruskan oleh Lotus Thailand dan Big C Thailand. Dengan memanfaatkan hubungan perniagaan tunggal bersama pengendali rangkaian yang menguruskan pelbagai lokasi, Kumpulan berjaya mengembangkan rangkaian kerusi urut layan diri di Thailand dengan ketara.

Pelaksanaan IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 126.1 juta saham biasa baharu (“Saham Terbitan”), mewakili kira-kira 16.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan syarikat, serta tawaran jualan sebanyak 78.8 juta saham sedia ada (“Saham Tawaran”), mewakili kira-kira 10.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Daripada 126.1 juta Saham Terbitan tersebut:

  • 39.4 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian;
  • 11.8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak (“Peruntukan Borang Merah Jambu”);
  • Baki 74.9 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, daripada 78.8 juta Saham Tawaran:

  • 23.6 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan MITI;
  • Baki 55.2 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

Selepas penyenaraian, RNG Tech dijangka mempunyai permodalan pasaran sekitar RM102.4 juta, berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 788.0 juta saham dan harga IPO RM0.13 sesaham.

Susulan pelancaran prospektus ini, permohonan bagi terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 24 Jun 2026, jam 5.00 petang. RNG Tech dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 7 Julai 2026.

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.