“Buang Sifat Yang Paling Negatif, Untuk Tingkatkan Kadar Kejayaan,” Mark Cuban

Mark Cuban, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang pelaburan, perniagaan, teknologi, ekonomi dan sebagainya. Beliau yang sering muncul dalam rancangan realiti televisyen Shark Tank, dan menjadi tumpuan utama sebagai ikon pelaburan dalam rancangan tersebut. Sebelum kita masuk kepada kupasan isu topik utama, Majalah Labur terpanggil untuk berkongsi sedikit sebanyak mengenai rancangan realiti televisyen Shark Tank.

Shark Tank adalah siri rancangan realiti televisyen, yang memfokuskan kepada perniagaan dan pelaburan di Amerika Syarikat dan mula di pertontonkan pada 9 Ogos 2009 oleh rangkaian televisyen ABC. Para usahawan akan mempersembahkan produk mereka kepada 5 pelabur (jerung/shark), lalu pelabur akan memutuskan sama ada mahu atau tidak melabur ke dalam syarikat tersebut. Kita semua tahu, syarikat yang disenaraikan dalam sesuatu bursa adalah syarikat awam, namun dalam rancangan ini, sangat jelas memaparkan konsep private company kepada tontonan orang awam.

Majalah Labur sangat berbesar hati untuk mengesyorkan para pelabur di Malaysia walau apa jua peringkat kemahiran pelaburan, untuk menonton rancangan ini. Ini disebabkan, ia  mampu memberi pelbagai input ilmu, pengetahuan, dan memanfaatkan masa berhibur atau bersosial sambil menambah ilmu pelaburan. Tahukah anda, konsep rancangan realiti televisyen Shark Tank, diambil berdasarkan rancangan realiti televisyen di Jepun yang bertajuk Tigers of Money(Dragons’ Den) yang di terbitkan pada tahun 2001?

Membina Empayar Perniagaan

Cuban sangat terkenal dengan etika kerjanya yang sangat tinggi. Pelbagai kisah kejayaan telah beliau kongsikan, diadaptasikan berdasarkan kepada perjalanan karier beliau. Menurut Cuban, beliau seorang yang sangat dahagakan pembelajaran mengenai teknologi.

Sekiranya ada benda atau teknologi baharu, yang berkaitan komputer atau rangkaian internet, beliau akan sedaya upaya untuk mempelajari perkara tersebut, dan sentiasa mengikuti perkembangannya. Lebih menarik apabila hasil pembelajaran dan pencarian maklumat beliau, pada peringkat awalnya dibangunkan secara manual.

Beliau banyak membaca buku, majalah, mengikuti persidangan industri, teknologi, perniagaan, ekonomi dan sebagainya, hanya semata-mata untuk mencari ilmu dan maklumat. Hasilnya tidak sia-sia, menurut Forbes, nilai aset kekayaan Cuban ketika ini lebih kurang bersamaan $4.5 bilion.

Sumber : Forbes

Tabiat Buruk Cuban

Merumus kata Cuban, kejayaan dan kecemerlangan perjalanan karier beliau dibina secara berperingkat. Kemahiran tersebut mengambil sedikit masa untuk berkembang, namun ada satu sifat buruk yang sukar beliau buang ketika mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan, iaitu sifat suka berteriak atau meninggikan suara.

Sedikit baik apabila Cuban memberitahu, beliau tidak akan meninggikan suara terhadap para pekerjanya tetapi individu yang secocok dengan perwatakannya ketika itu ialah rakan kongsinya iaitu Martin Woodall. Ini adalah kata-kata yang beliau gambarkan mengenai rakan kongsinya:

“We could drive each other crazy, He would give me incredible amounts of s*** about how sloppy I was. I would give him the same amount back because he was so anal he was missing huge opportunities.”

Walaupun mereka sama-sama suka meninggikan suara, namun yang baiknya mereka saling melengkapi kekurangan dan kelebihan masing-masing. Jika Cuban mempunyai masalah kerja, Woodall akan hadir dengan penyelesaian, sehinggalah kombinasi antara mereka berjaya mengembangkan syarikat mereka iaitu MicroSolutions pada masa itu.

Meninggalkan Sifat Negatif Tersebut

Sumber : Fortune

Cuban tahu dan sedar sifatnya tersebut bukanlah sesuatu yang elok dalam persekitaran beliau, kerana ia mampu menjejaskan orang di sekelilingnya iaitu para pekerja mereka seterusnya memberi impak negatif yang lebih besar. Beliau bertekad untuk membuang sifat negatif tersebut dengan belajar untuk mengawal tahap tekanan perasaan (stress). Jika tekanan tersebut diluar kawalannya, ia akan menyebabkan produktiviti, daya saing dan keuntungan syarikat akan menurun.

Hasil dari perubahan sifat buruk tersebut telah memberi impak yang besar kepada perniagaannya dan seluruh personaliti dirinya. Sebagai pelabur atau pedagang, apakah sifat negatif yang sukar di buang dalam diri anda? Adakah anda sudah cuba untuk menyelesaikannya?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.