Hisashige Tanaka, Peneraju Kejayaan Toshiba

Kehidupan kini menjadi lebih sukar sekiranya kita tidak memiliki pelbagai peralatan dan teknologi canggih. Daripada pembakar roti sehinggalah alat bantuan pembedahan, teknologi sebegini telah dicipta bagi memudahkan kehidupan kita seharian.

Toshiba adalah jenama dari Jepun yang turut menyumbang kepada kemajuan ini. Dengan adanya teknologi, pekerjaan seperti kerja-kerja rumah, memasak serta lain-lain lagi menjadi lebih lancar dan cepat.

Hisashige Tanaka Pengasasnya

Kebijaksanaan dan pengalaman membuatkan Toshiba menempuh kejayaan yang amat luar biasa apabila ia menjadi permintaan dan keperluan masyarakat. Toshiba masih kekal dalam industri pembuatan selama beberapa dekad dengan sangat gah.

Perjalanan Toshiba yang bersejarah bermula pada tahun 1873 ketika Kementerian Kejuruteraan menyedari bahawa perlunya kemodenan bagi negara Jepun.

Kemudiannya, kerajaan negara telah memberikan Hisashige Tanaka modal yang diperlukan untuk menghasilkan peralatan telegrafik. Hishashige Tanaka selepas itu telah menubuhkan Tanaka Engineering Works (yang kemudian dinamakan semula sebagai Shibaura Engineering Works).

Sumbangan Tanaka Engineering Works

Kredit Gambar: Tofugu

Tanaka Engineering Works telah menghasilkan pelbagai peralatan elektrik seperti suis untuk sistem komunikasi. Pada tahun 1878, Ichisuke Fujioka yang merupakan seorang pelajar Imperial College of Engineering telah membina mentol pertama di Jepun.

Beliau juga telah membina penjana kuasa pertama Jepun dengan bantuan Miyoshi Shoichi, seorang pekerja Tanaka Engineering Works. Pada tahun 1890, Hakunetsu-Sha Co., Ltd ditubuhkan oleh Fujioka untuk menghasilkan mentol secara komersial.

Selepas kematian Hishashige Tanaka pada tahun 1881, sebahagian daripada hak milik syarikat Tanaka Engineering Works telah diambil alih oleh General Electric. Kemudian pada tahun 1893, syarikat itu diambil alih oleh Mitsui Bank dan menamakannya sebagai Shibaura Seisakusho.

Era Perang Menaikkan Shibaura Seisakusho

Pada era 1930-an, pemerintah Jepun melarang pengeluaran peralatan rumah dan menumpukan tumpuan kepada pembuatan peralatan perang. Pada tahun 1939, Tokyo Denki dan Shibaura Seisakusho digabungkan untuk membentuk Tokyo Shibaura Denki (sekarang Toshiba) dengan General Electric Company memegang 24% bahagian.

Syarikat ini telah berkembang semasa era peperangan kerana ianya menyediakan kelengkapan perang seperti keperluan ketenteraan, radio dan penjana.

Selepas era peperangan, syarikat itu kembali fokus untuk menghasilkan peralatan elektronik dan mengembangkan perniagaannya dengan mengeksport mesin tersebut ke Asia Tenggara.

Penjenamaan Toshiba Sehingga Kini

Kredit Gambar: Japan Forward

Pada tahun 1984, syarikat itu dijenamakan semula sebagai Toshiba bagi menggantikan Tokyo Shibaura Denki. Pada akhir 1990-an pula, mereka menubuhkan syarikat baru untuk berkembang, termasuklah Toshiba Music Industries, Toshiba Chemical, dan banyak lagi.

Kejayaan Toshiba pada hari ini adalah berpunca daripada founder asalnya iaitu Hishashige Tanaka yang telah mencipta peralatan canggih pertama di Jepun pada ketika itu.

Kini, Toshiba menghasilkan produk dan perkhidmatan elektronik terbaik di seluruh dunia dan semakin berkembang pesat dari setahun ke setahun.

Mungkin selepas ini jika kita melihat nama Toshiba di mana-mana, maka ingatlah Hishashige Tanaka. Beliau sangat hebat dan dikenali seluruh dunia, lantas menerima jolokan “Thomas Edison of Japan”.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.